Topik diikuti
Pergi ke BHkuStesen MRT Keppel, Cantonment, Prince Edward Road di Laluan Circle dibuka 12 Julai
Stesen MRT Keppel, Cantonment, Prince Edward Road di Laluan Circle dibuka 12 Julai
Stesen MRT Keppel, Cantonment, Prince Edward Road di Laluan Circle dibuka 12 Julai
Tiga stesen terakhir bagi Laluan Bulatan (CCL) akan mula beroperasi pada 12 Julai, sekali gus melengkapkan gelung antara stesen HarbourFront dan Marina Bay, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow.
Beliau mengumumkan perkara itu di luar acara pertunjukan fesyen lulusan Maktab Seni LaSalle di stesen Cantonment – salah satu daripada tiga hentian baharu tersebut.
Dua lagi stesen baharu ialah Keppel dan Prince Edward Road, yang membentuk fasa keenam dan terakhir bagi projek CCL.
Menjelang pembukaannya, orang ramai boleh meninjau dan menaiki tren secara percuma di antara ketiga-tiga stesen berkenaan pada 4 Julai, dari 9.30 pagi hingga 9 malam, menurut kenyataan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 14 Mei.
Encik Siow berkata pembukaan stesen-stesen tersebut menandakan tamatnya projek CCL Fasa 6, dan ia kini telah “melengkapkan kitarannya”.
Diumumkan pada 2015, laluan sepanjang 4 kilometer itu pada asalnya dijadualkan beroperasi pada 2025, namun tertangguh akibat pandemik Covid-19.
Ia kemudian dijadualkan dibuka pada separuh pertama 2026, sebelum garis masa itu disemak semula kepada pertengahan 2026, memandangkan kerja-kerja pengukuhan terowong perlu disiapkan sebelum baki kerja fasa terakhir dapat diteruskan.
Fasa keenam CCL dijangka memendekkan masa perjalanan dan memberi penumpang laluan alternatif tanpa perlu melalui stesen pertukaran yang sibuk di City Hall dan Raffles Place.
Dengan siapnya fasa ini, keseluruhan laluan tersebut akan mempunyai 33 stesen merangkumi jarak 39 kilometer. Sebanyak 12 daripada stesen berkenaan merupakan stesen pertukaran.
LTA menyatakan penumpang akan menikmati masa perjalanan lebih singkat antara kawasan barat Singapura, seperti Pasir Panjang dan Kent Ridge, dengan pusat bandar serta bahagian timur seperti Paya Lebar.
Sebagai contoh, perjalanan dari Telok Blangah ke Marina Bay kini memerlukan pertukaran antara CCL, Laluan Timur Laut (NEL) dan Laluan Utara-Selatan (NSL). Pembukaan stesen baharu ini akan mengelakkan keperluan untuk bertukar tren dan memendekkan masa perjalanan kira-kira 10 minit.
Stesen Keppel, yang terletak di Keppel Road, akan menawarkan khidmat kepada kawasan perumahan dan pembangunan komersial masa hadapan di Greater Southern Waterfront, serta meningkatkan akses ke hab perniagaan berdekatan seperti Keppel Distripark.
Aliran udaranya – bagi udara keluar masuk ruang sempit – diinspirasikan daripada kereta kabel ikonik di HarbourFront.
Stesen Cantonment yang terletak di bawah bekas Stesen Keretapi Tanjong Pagar, akan berkhidmat untuk kawasan seperti estet Spottiswoode Park dan Everton Road. Sebahagian reka bentuk stesen kereta api lama telah disepadukan ke dalam stesen MRT ini, termasuk siling melengkung dan lukisan besar pada dinding di bahagian platform.
Stesen Prince Edward Road akan meningkatkan ketersambungan rangkaian kereta api bagi pekerja dan pengunjung di Shenton Way. Reka bentuknya mengambil inspirasi daripada sejarah maritim kawasan itu, khususnya kawasan dermaga lama Singapura.
CCL, yang mula dibuka pada 2009, bermula dengan lima stesen: Bartley, Serangoon, Lorong Chuan, Bishan dan Marymount.
Dari 11 April hingga 17 Mei 2026, waktu perkhidmatan hujung minggu bagi laluan tersebut dipendekkan bagi memberi laluan kepada ujian integrasi sistem terakhir.
Pada Sabtu, perkhidmatan tren tamat lebih awal pada jam 11 malam, manakala pada hari Ahad, ia bermula lewat pada jam 9 pagi.
Sejak 13 April lalu, tren-tren baharu juga telah mula beroperasi di laluan tersebut. Tren generasi ketiga Alstom Metropolis C851E yang berwarna jingga itu menampilkan kabin yang lebih berwarna-warni, serta peta laluan dikemas kini yang merangkumi tiga stesen baharu tersebut.
Tren baharu ini dilengkapi dengan sistem pemantauan dipertingkat yang boleh menjejaki keadaan tren secara individu, prestasi peralatan, serta keadaan landasan.
