Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura suntik $740j dana baru bagi rangsang sektor pelancongan
S’pura suntik $740j dana baru bagi rangsang sektor pelancongan
Grace Fu: Perbelanjaan sektor pelancongan cecah paras tertinggi $32.8 bilion pada 2025; suntikan dana baru bukti komitmen teguh demi masa depan sektor ini bagi S’pura
S’pura suntik $740j dana baru bagi rangsang sektor pelancongan
Singapura bakal menyuntik dana sebesar $740 juta dalam projek pelancongannya sepanjang lima tahun akan datang.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu, pada 8 Mei mendedahkan bahawa perbelanjaan sektor pelancongan mencecah paras tertinggi $32.8 bilion pada 2025.
Jumlah perbelanjaan luar biasa itu jauh melepasi unjuran Lembaga Pelancongan Singapura (STB) sebanyak $29 bilion hingga $30.5 bilion bagi 2025, malah, menunjukkan peningkatan 10 peratus yang memberangsangkan berbanding angka 2024.
Berucap di Persidangan Industri Pelancongan 2026 di Pusat Konvensyen Resorts World, Cik Fu turut mengumumkan bahawa ketibaan pelawat antarabangsa mencapai angka memuaskan iaitu 16.9 juta pada 2025.
Bagi 2026, STB kini mengunjurkan ketibaan pelawat antarabangsa akan melonjak antara 17 juta dengan 18 juta, dengan perbelanjaan pelancongan dijangka mencecah paras $31 bilion hingga $32.5 bilion.
Namun begitu, di tengah-tengah krisis tenaga di Timur Tengah yang menjejas perbelanjaan pengguna sejagat, pemerintah tetap memperkenalkan pembiayaan baharu bernilai $740 juta, jelas Cik Fu.
Suntikan dana itu melebihi dua kali ganda daripada $300 juta yang pernah disalurkan ke dalam Dana Pembangunan Pelancongan (TDF) pada 2024, menandakan komitmen besar untuk masa depan sektor tersebut.
Pembiayaan baru itu akan menyokong aspirasi Singapura di bawah pelan, ‘Pelancongan 2040’, bagi memastikan Singapura terus kekal memiliki tarikan.
Di bawah ‘Pelancongan 2040’, Singapura menyasarkan perbelanjaan pelancongan antara $47 bilion dengan $50 bilion menjelang 2040.
Pembiayaan itu bertujuan meningkatkan kedudukan Singapura sebagai hab penting dan dipercayai, bandar raya bertaraf dunia, serta pusat perniagaan berdaya tahan dengan tenaga kerja mahir.
Melalui TDF yang diperbesar, sebanyak $5 juta disalurkan kepada geran bagi membantu perniagaan meningkatkan kehadiran ke acara perniagaan melalui kegiatan pemasaran.
Dana peluasan pasaran baru bernilai $5 juta turut diperkenalkan bagi membantu perniagaan berkembang ke pasaran baru dengan mengurangkan risiko kewangan.
Dana bagi pengubahsuaian hotel akan dilanjutkan setahun lagi, manakala projek di bawah dana pemula akan menerima sehingga $1 juta bagi projek perintis baru, meningkat daripada had sebelumnya sebanyak $250,000.
Daripada 16.9 juta pelawat antarabangsa pada 2025, China, Indonesia dan Australia merupakan pasaran perbelanjaan tertinggi.
Pasaran jarak jauh seperti Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat pula mencatat pertumbuhan dua digit tahun ke tahun.
