Topik diikuti
Pergi ke BHkuSentosa ketengah tarikan biodiversiti pada Mei-Jun
Sentosa ketengah tarikan biodiversiti pada Mei-Jun
Lawatan berpandu percuma disediakan bagi pelajari hidupan liar, usaha penyejukan pulau
Sentosa ketengah tarikan biodiversiti pada Mei-Jun
Sentosa, yang menarik ramai pengunjung dengan tarikan dan pantai berpasirnya, akan memberi tumpuan kepada kepelbagaian kehidupan semula jadi pada Mei dan Jun.
Pengunjung boleh menyertai lawatan percuma untuk mempelajari tentang hidupan liar, serta usaha pemuliharaan di galeri Sentosa Nature Discovery, termasuk replika kubu tentera yang menjadi sarang koloni burung walit terbesar di Singapura.
Lawatan anjuran Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) bersama Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) ini, turut memperkenalkan langkah penyejukan di pulau tersebut.
Nod penyejukan akan diperkenalkan di seluruh pulau dalam beberapa tahun akan datang sebagai tempat singgah untuk pengunjung berehat daripada haba.
Setiap nod dilengkapi ciri penyejukan berbeza seperti tempat berteduh, kipas dan cat pemantul haba, yang boleh mengurangkan suhu permukaan sehingga 2 darjah Celsius.
Pengunjung juga akan meneroka amalan mampan di Siloso Beach Resort serta melawat ‘wormery’, sebuah bangsal yang menempatkan 100 dulang cacing tanah yang boleh menukarkan sisa makanan resort tersebut kepada 300 kilogram baja setiap bulan.
Lawatan mengenai usaha kemampanan dan pemuliharaan Sentosa ini merupakan salah satu daripada pelbagai aktiviti semasa Ayuh Hijau SG 2026, gerakan tahunan oleh Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE).
Gerakan ini menggalakkan rakyat, perniagaan dan masyarakat mengambil tindakan bersama ke arah Singapura yang lebih mampan dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
Program ini berlangsung dari 11 Mei hingga 28 Jun, menawarkan lebih 1,000 aktiviti oleh 500 rakan kerjasama, termasuk usaha meningkatkan kesedaran perubahan iklim.
MSE telah menetapkan 2026 sebagai Tahun Penyesuaian Iklim Singapura, menandakan tindakan perubahan iklim sebagai keutamaan nasional apabila menghadapi cuaca lebih panas dan ancaman kenaikan paras laut.
“Penting bagi orang awam memahami apa itu penyesuaian iklim dan hubungannya itu dengan mereka,” kata Cik Gloria Tan, Pengarah Bahagian Rangkaian 3P (sektor manusia, awam dan swasta) NEA.
“Lawatan berpandu ini memberi peluang kepada semua pengunjung merasai pengalaman secara langsung.
“Penerangan di bilik darjah hanya mampu memberi gambaran tertentu, tetapi melihat sendiri menjadikan pengalaman itu lebih bermakna.”
Pengarah Kemampanan SDC, Encik Anthony Tan berkata: “Kemampanan ialah bidang luas dan sering tertumpu pada pelepasan karbon. Namun sebagai penjaga pulau ini, kami mengambil pendekatan menyeluruh, merangkumi pengurangan karbon serta perlindungan warisan semula jadi dan sejarah.”
Ayuh Hijau SG bermula sebagai Minggu Tindakan Iklim pada 2019 dan dijenamakan semula pada 2023, mencerminkan peningkatan minat dan kerjasama antara sektor 3P serta rakyat Singapura. Edisi 2025 melibatkan lebih 232,000 peserta dalam lebih 900 aktiviti.
Antara kegiatan yang dijalankan bagi edisi 2026 ialah lawatan pembelajaran ke loji tenaga sisa di Pulau Jurong, bengkel kendalian Majlis Fesyen Singapura (SFC) mengenai industri fesyen, serta lawatan Earth Observatory of Singapore yang mengetengahkan isu seperti kenaikan paras laut dan penggunaan sebenar penyelidikan.
Pihak awam boleh mendaftar untuk aktiviti khas terbaru, seperti lawatan di sebalik tabir ke kemudahan pengisihan milik perusahaan sosial Cloop.
Dilancarkan pada 2020, Cloop bertujuan menangani sisa tekstil dan penggunaan berlebihan di Singapura.
Perusahaan sosial ini menganjurkan pertukaran pakaian serta menguruskan tong sumbangan bagi orang ramai menghantar pakaian, aksesori dan mainan lembut yang masih elok.
Apabila rakyat Singapura melihat sendiri cara dan kerja di sebalik tabir, pengasas bersama Cloop, Cik Jasmine Tuan berharap lebih ramai terdorong untuk menderma, mengitar semula pakaian tidak digunakan dan mengamalkan penggunaan berhemah.
“Ramai tidak sedar apa berlaku selepas pendermaan pakaian. Ia hilang dari pandangan dan fikiran. Mereka mungkin membeli pakaian baru lagi,” katanya.
Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh didapati di http://www.gogreen.gov.sg mulai 8 Mei.
