Topic followed successfully
Go to BHkuS’pura kerjasama dengan wadah media sosial perketat kawalan usia demi lindungi kanak-kanak
S’pura kerjasama dengan wadah media sosial perketat kawalan usia demi lindungi kanak-kanak
Josephine: Usaha lain termasuk lindungi ‘AI chatbot’ dengan ciri keselamatan, perkenal ‘label nutrisi’ bagi perkhidmatan digital
S’pura kerjasama dengan wadah media sosial perketat kawalan usia demi lindungi kanak-kanak
Singapura sedang bekerjasama dengan platform media sosial untuk memperkukuh langkah pengesahan usia.
Tujuannya adalah untuk memastikan kanak-kanak mengakses kandungan sesuai dengan usia mereka dan dilindungi daripada bahan berbahaya di alam maya, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.
Dalam era digital yang semakin mencabar dan meluas ini, pemerintah telah mengutamakan keselamatan kanak-kanak di ruang siber melalui pelbagai langkah.
Walaupun pelbagai perlindungan sudah tersedia, keberkesanannya masih perlu ditingkatkan lagi, kata Cik Teo dalam wawancara bersama media tempatan pada 27 Mac yang diadakan di Lorong AI di One-North.
“Kita perlu mampu menentukan usia pengguna dengan tepat agar perlindungan sewajarnya dapat diberikan.
“Anda mungkin mempunyai apa yang dipanggil akaun remaja… tetapi jika kita tidak tahu kita berurusan dengan seorang remaja, apa gunanya akaun itu?
“Justeru, pengesahan usia adalah sesuatu yang pasti akan kami laksanakan.
“Kami telah membincangkannya, dan ia merupakan sebahagian daripada peningkatan kepada peraturan keselamatan dalam talian yang sememangnya akan kami jalankan,” kata beliau.
Mulai 1 April 2026, Singapura mewajibkan kedai aplikasi atau ‘app store’ melaksanakan langkah pengesahan usia, selaras dengan Tataamalan Keselamatan Dalam Talian bagi Perkhidmatan Pengedaran Aplikasi.
Langkah itu menetapkan kedai aplikasi yang beroperasi di Singapura perlu menapis dan menyekat pengguna di bawah 18 tahun daripada memuat turun aplikasi tidak sesuai, termasuk yang menawarkan perkhidmatan janji temu (dating) atau kandungan seksual.
Kedai aplikasi boleh mengesahkan usia pengguna sama ada melalui semakan dokumen pengenalan diri rasmi, atau dengan menganalisis usia wajah atau data penggunaan dalam talian.
Cik Teo turut menyuarakan kebimbangan ibu bapa bukan sahaja terhadap kandungan dalam talian yang tidak sopan atau tidak sesuai untuk kanak-kanak, malah ciri interaktif seperti mesej langsung (direct messaging), dengan pengguna muda mungkin berhadapan perhatian atau interaksi tidak diingini daripada orang asing.
Justeru, beliau memaklumkan pemerintah juga sedang meninjau langkah lain bagi memperkukuh keselamatan siber.
Antara langkah itu termasuk melindungi bot sembang kecerdasan buatan (AI chatbot) dengan ciri keselamatan terbina dalam.
Satu lagi daya usaha yang dikaji adalah pengenalan ‘label nutrisi’ bagi perkhidmatan digital.
Ibarat label pada bungkusan makanan yang memaparkan kandungan kalori dan bahan, label digital itu akan memberi gambaran jelas tentang tujuan platform media sosial atau perkhidmatan AI, serta potensi risikonya.
Ia bertujuan membolehkan pengguna dan ibu bapa membuat pilihan lebih bijak dan termaklum sebelum menggunakan sebarang perkhidmatan atau aplikasi.
Beberapa negara mengambil langkah melarang atau menyekat akses media sosial untuk kanak-kanak – khususnya remaja bawah 16 tahun – atas kebimbangan keselamatan dan kesihatan mental mereka.
Contohnya, Australia menjadi negara perintis yang melarang akses media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun sejak Disember 2025, menyekat mereka daripada platform utama seperti TikTok dan Instagram.
Lebih dekat, Indonesia turut melaksanakan larangan serupa bermula Mac 2026.
Sementara itu, Malaysia pula merancang untuk tidak membenarkan pendaftaran akaun media sosial bagi mereka yang di bawah usia 16 tahun mulai tahun yang sama.
Namun begitu, ada juga negara dan bandar yang memilih pendekatan berbeza.
Estonia, misalnya, menitikberatkan kecelikan digital dan tanggungjawab ibu bapa, berbanding larangan atau sekatan media sosial.
New York pula telah menggubal peraturan ketat yang menyasarkan ciri ‘ketagihan’ seperti ‘auto-play’ dan penatalan tanpa henti (infinite scrolling) untuk pengguna bawah umur.
Di Singapura, pemerintah telah mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan keselamatan dalam talian bagi kanak-kanak, termasuk memperkenalkan Tataamalan Keselamatan Dalam Talian – Khidmat Media Sosial oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) sejak 2023.
Di bawah tataamalan itu, enam platform media sosial utama – Facebook, HardwareZone, Instagram, TikTok, X, dan YouTube – wajib meningkatkan keselamatan siber di Singapura dan menyekat penyebaran kandungan berbahaya di perkhidmatan mereka.
Pada 31 Mac, IMDA telah mengeluarkan Laporan Penilaian Keselamatan Dalam Talian 2025 yang mendapati bahawa kebanyakan khidmat media sosial yang ditetapkan itu telah menunjukkan peningkatan dalam keberkesanan mengambil tindakan terhadap laporan pengguna mengenai kandungan berbahaya, kecuali TikTok.
Ditanya sama ada Singapura mungkin melarang platform yang gagal mematuhi piawaian, Cik Teo menjawab:
“Jika anda dapati sesuatu perkhidmatan itu tidak selamat untuk digunakan, maka anda perlu berfikir secara serius untuk mengeluarkannya.
“Itulah jenis pendekatan yang sedia kami ambil. Kami akan meneliti secara khusus reka bentuk perkhidmatan tersebut.
“Kami akan meninjau ciri keselamatan kanak-kanak khusus yang boleh diperkenalkan dan kemudian kami akan membuat penilaian.
“Dan ya, jika kami perlu menyekat perkhidmatan tersebut, kami mungkin terpaksa melakukannya,” ujar beliau tegas.
“
“Kita perlu mampu menentukan usia pengguna dengan tepat agar perlindungan sewajarnya dapat diberikan. ... Justeru, pengesahan usia adalah sesuatu yang pasti akan kami laksanakan. Kami telah membincangkannya, dan ia merupakan sebahagian daripada peningkatan kepada peraturan keselamatan dalam talian yang sememangnya akan kami jalankan.”“
“Jika anda dapati sesuatu perkhidmatan itu tidak selamat untuk digunakan, maka anda perlu berfikir secara serius untuk mengeluarkannya. Itulah jenis pendekatan yang sedia kami ambil. Kami akan meneliti secara khusus reka bentuk perkhidmatan tersebut. Kami akan meninjau ciri keselamatan kanak-kanak khusus yang boleh diperkenalkan dan kemudian kami akan membuat penilaian. Dan ya, jika kami perlu menyekat perkhidmatan tersebut, kami mungkin terpaksa melakukannya.”
