SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Indonesia laksana larangan media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun

Indonesia laksana larangan media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun

TikTok, Roblox, X antara wadah media sosial berkata mereka sedia patuh
Mar 28, 2026 | 5:43 PM

Indonesia laksana larangan media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun

Indonesia terus melaksanakan sekatan tersebut mengikuti kebimbangan terhadap tahap pendedahan kanak-kanak kepada kandungan berbahaya yang tinggi.
Indonesia terus melaksanakan sekatan tersebut mengikuti kebimbangan terhadap tahap pendedahan kanak-kanak kepada kandungan berbahaya yang tinggi. - Foto EPA

JAKARTA: Indonesia mula menguatkuasakan sekatan ke atas akaun media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun pada 28 Mac, menjadikannya negara pertama di Asia Tenggara yang melaksanakan kawalan nasional ketika pemerintah di seluruh dunia memperketat usaha membendung kandungan berbahaya dalam talian.

Dasar ini, dipengaruhi oleh langkah Australia, menandakan antara usaha paling tegas untuk mengawal penggunaan platform digital oleh golongan bawah umur di negara keempat paling ramai penduduk di dunia.

Ia dilaksana di tengah-tengah kadar keprihatinan yang meningkat terhadap pembulian siber, pornografi, penipuan dalam talian dan penggunaan masa skrin secara berlebihan di sebuah negara di mana penggunaan media sosial semakin berleluasa.

Sekitar 70 juta penduduk di Indonesia berusia bawah 16 tahun.

Namun, peraturan baru ini bukan larangan mutlak terhadap semua akaun kanak-kanak.

Platform “berisiko tinggi” seperti YouTube, TikTok, Instagram, Facebook, X dan Roblox mesti menyekat pengguna bawah 16 tahun, termasuk memadam atau menutup akaun mereka.

Perkhidmatan berisiko rendah masih boleh digunakan dengan perlindungan lebih ketat seperti tetapan privasi tinggi, kawalan ibu bapa serta had penjejakan lokasi dan pengumpulan data.

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia, Cik Meutya Hafid, platform seperti X, Bigo Live, TikTok dan Roblox telah mula membuat perubahan sejak 27 Mac.

TikTok akan melumpuhkan akaun pengguna bawah 16 tahun secara berperingkat, manakala Roblox melaraskan ciri untuk pengguna bawah 13 tahun. Roblox juga menambah kawalan kandungan dan perhubungan untuk pengguna bawah umur 16 tahun di Indonesia.

X menaikkan umur pengguna terendah kepada 16 tahun.

Meta Platforms turut menyokong pelaksanaan berkesan dan akan terus berunding dengan pemerintah, sambil memaklumkan sejak peraturan itu diluluskan pada 2025, puluhan juta belia telah ditukarkan ke “akaun remaja” yang berisiko rendah.

Dalam pada itu, YouTube Indonesia berkata ia menyokong pendekatan berasaskan risiko, bukan larangan mutlak.

TikTok tidak memberikan maklum balas.

Indonesia memulakan sekatan menyusuli kebimbangan terhadap kandungan berbahaya yang semakin berleluasa dalam kalangan kanak-kanak.

Kajian disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2023 mendapati kira-kira separuh kanak-kanak pernah terdedah kepada imej bersifat seksual, manakala hampir separuh menjadi mangsa buli dalam talian.

Cik Meutya berkata semua platform digital mesti mematuhi piawaian baru.

“Melindungi kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama,” katanya, sambil menegaskan kepatuhan firma gergasi teknologi penting untuk beroperasi di Indonesia.

Syarikat yang gagal mematuhi undang-undang baru ini boleh dikenakan sekatan termasuk sekatan penggunaan, dan perlu menjalankan penilaian keselamatan kanak-kanak menjelang Jun.

Penyokong peraturan baru berkata langkah ini membantu ibu bapa mengawal penggunaan internet anak-anak, manakala pengkritik menyifatkannya terlalu mudah dan boleh membataskan perhubungan serta luahan diri, terutamanya di kawasan terpencil.

“Tumpuan sepatutnya pada keselamatan, bukan pengecualian kanak-kanak,” kata Pengarah Eksekutif Amnesty International, Encik Usman Hamid.

Seorang bapa di Jakarta, Encik Tagor Ricardo, berkata beliau masih menunggu bagaimana larangan baru ini dilaksanakan.

Beliau menambah beliau belum jelas tentang kesan dasar tersebut, namun akur “secara umum pendedahan akan lebih terkawal”.

Langkah Indonesia ini menyusuli tindakan Australia yang mengenakan denda sehingga A$49.5 juta ($44 juta) terhadap platform yang gagal mematuhi sekatan umur.

Negara lain seperti Denmark dan Brazil dijangka turut bergerak ke arah penggubalan undang-undang yang sama.

Malaysia juga merancang langkah serupa, dengan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan tindakan Indonesia sebagai “tepat pada masanya dan positif”.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg