SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

S’pura, Kemboja meterai perjanjian beras demi keselamatan makanan

S’pura, Kemboja meterai perjanjian beras demi keselamatan makanan

Apr 10, 2026 | 6:34 PM

S’pura, Kemboja meterai perjanjian beras demi keselamatan makanan

Memorandum Kerjasama, Kemboja, Singapura, beras, perjanjian
Di bawah Memorandum Kerjasama yang ditandatangani pada 10 April, Kemboja akan menyokong penjualan beras berdasarkan syarat yang dipersetujui bersama atas permintaan pemerintah Singapura. - Foto REUTERS

Singapura dan Kemboja telah menandatangani satu perjanjian untuk memperkukuh keselamatan makanan serta perdagangan beras dua hala, dan memastikan perdagangan antara kededua negara kekal terbuka.

Di bawah Memorandum Kerjasama yang ditandatangani pada 10 April, Kemboja akan menyokong penjualan beras berdasarkan syarat yang dipersetujui bersama apabila diminta oleh pemerintah Singapura.

Demikian menurut kenyataan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE).

Ini merupakan perjanjian ketiga berkaitan perdagangan beras yang dirasmikan oleh Singapura dalam beberapa bulan kebelakangan ini, selepas perjanjian serupa dengan Vietnam dan Thailand, pada akhir 2025.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu, dengan Menteri Perdagangan Kemboja, Cik Cham Nimul.

Cik Fu berkata: “Ketegangan politik sejagat yang berterusan meningkatkan ancaman gangguan bekalan makanan sedunia.

“Penandatanganan Memorandum Kerjasama ini memberi manfaat kepada kededua pihak dan mengutuhkan semula kerjasama rapat antara kededua negara dalam memperkukuh perdagangan dan keselamatan makanan dua hala.”

Perjanjian tersebut dirasmikan tiga hari selepas Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, memberitahu Parlimen, rakyat Singapura perlu bersedia menghadapi kemungkinan ketiadaan bekalan makanan dari sesetengah negara, serta perlu lebih terbuka membuat pilihan lain, di tengah konflik di Timur Tengah.

Rakyat Singapura juga dinasihatkan agar bersedia menghadapi kenaikan harga makanan dan elektrik.

Sejak 2025, Singapura telah menandatangani perjanjian dengan beberapa negara bagi mengekalkan bekalan makanan dan memperkukuh perdagangan semasa gangguan bekalan, sebagai sebahagian usaha baharu memperkukuh keselamatan makanan.

Memandangkan Singapura mengimport lebih 90 peratus makanannya, sebahagian perjanjian itu menjamin tiada sekatan perdagangan ke atas barangan makanan.

Singapura juga telah memeterai perjanjian dengan New Zealand mengenai barangan makanan utama pada Oktober 2025, dan sedang meneroka pembentukan zon makanan agroteknologi bersama Brunei.

“Singapura akan terus meneroka perjanjian yang saling menguntungkan dengan ekonomi sehaluan untuk memperkukuh daya tahan bekalan makanan kami,” kata MSE.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg