SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Singapura, Shandong meterai 10 perjanjian untuk kerjasama ekon lebih erat

Singapura, Shandong meterai 10 perjanjian untuk kerjasama ekon lebih erat

Apr 1, 2026 | 1:45 PM

Singapura, Shandong meterai 10 perjanjian untuk kerjasama ekon lebih erat

Singapura, Shandong, meterai perjanjian ekonomi, Jeffrey Siow
Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow (kiri), bersama Gabenor Shandong, Encik Zhou Naixiang, di Hotel Shandong di Jinan, China, pada 31 Mac. Encik Siow berada di Jinan bagi mesyuarat ke-26 Majlis Perniagaan Singapura-Shandong. - Foto ENTERPRISE SINGAPORE

JINAN (China): Daripada usaha mengautomasikan pengeluaran kasut sukan mewah hingga kepada eksport bahan api bio, demikian antara perjanjian yang dimeterai Singapura dengan wilayah Shandong, China, bagi menandai 33 tahun hubungan ekonomi dengan ikrar kerjasama yang lebih erat merentasi pelbagai industri.

Sebanyak 10 perjanjian telah dimeterai antara entiti-entiti Singapura dan Shandong pada mesyuarat ke-26 Majlis Perniagaan Singapura-Shandong di ibu kota wilayah itu, Jinan, pada 31 Mac.

Perjanjian ini merangkumi beberapa bidang termasuk teknologi hijau, pelancongan dan pertukaran belia.

Mesyuarat tahunan itu dipengerusikan bersama oleh Gabenor Shandong, Encik Zhou Naixiang, dan Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Encik Jeffrey Siow, yang dilantik ke dalam majlis itu pada Julai 2025.

Berucap kepada lebih 100 pegawai pemerintah dan wakil perniagaan, kedua-dua Encik Siow, yang juga merupakan Menteri Negara Kanan (Kewangan), dan Encik Zhou menegaskan bahawa majlis perniagaan itu adalah mekanisme kerjasama ekonomi dan perdagangan peringkat wilayah pertama yang ditubuhkan antara Singapura dengan China.

Sejak majlis itu ditubuhkan pada 1993, perdagangan dua hala antara negara ini dengan ekonomi wilayah ketiga terbesar China itu telah meningkat 35 kali ganda, kata Encik Zhou.

Menurut Enterprise Singapore (EnterpriseSG), perdagangan Singapura-Shandong mencecah 57.13 bilion yuan ($10.68 bilion) pada 2025.

Kini terdapat 657 syarikat Singapura bertapak di Shandong, dengan pelaburan mencecah AS$8.54 bilion ($11 bilion) di wilayah itu.

Dalam pada itu, lebih 300 syarikat Shandong telah membuka pangkalan di Singapura, dan lebih 130 daripadanya menggunakan Singapura sebagai landasan untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Dalam ucapannya, Encik Zhou menyatakan Shandong dan Singapura bertekad untuk menyelaraskan lagi strategi pembangunan mereka.

Beliau menggariskan rancangan untuk melaksanakan projek pembangunan bermutu tinggi bersama di Shandong, khususnya dalam pembangunan hijau, kecerdasan buatan (AI), dan perkhidmatan penjagaan warga emas.

Beliau juga menyebut bahawa Singapura dan Shandong akan bersama memperluas skop kerjasama ekonomi, termasuk dalam bidang pertumbuhan baharu seperti perdagangan digital dan bioperubatan.

Encik Zhou dan Encik Siow turut menekankan kepentingan hubungan sesama insan yang lebih utuh.

“Dalam dunia yang kian berpecah-belah dan dilanda konflik, kita perlu mencari lebih banyak peluang seperti ini untuk membina jambatan dan mengeratkan hubungan antara rakyat,” ujar Encik Siow.

Sepanjang dua tahun lalu, lebih 80 pelajar Singapura telah menyertai program lawatan ke Shandong, manakala lebih 40 pelajar Shandong telah menjalani latihan industri di Singapura di bawah Skim Pertukaran Pelatih (Intern) Belia Singapura-China.

Tema umum semasa mesyuarat di Jinan itu ialah potensi syarikat Singapura dan Shandong untuk membuat dorongan yang lebih besar ke dalam ekonomi hijau.

Peserta mesyuarat itu juga menyoroti potensi kerjasama yang lebih besar dalam sektor perkhidmatan, yang menambah 5.59 trilion yuan dalam nilai kepada ekonomi wilayah itu pada 2025, dan ekonomi digital, yang menyumbang lebih separuh daripada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Shandong.

Encik Siow memberi contoh firma seperti 3E Memtech, sebuah syarikat rawatan air di Singapura yang menghasilkan membran penapisan nano yang lebih tahan lama dan lebih cekap tenaga berbanding teknologi pembersihan air tradisional.

Membran itu telah digunakan untuk merawat 25 peratus air minuman yang dibekalkan di bandar Feicheng, Shandong.

Namun syarikat itu, yang juga mempunyai projek berkaitan air di Singapura, Indonesia dan Malaysia, sedang meneroka bagaimana teknologi itu boleh digunakan dalam industri lain juga.

Sebagai contoh, syarikat itu sedang bekerjasama dengan Akademi Sains China untuk menggunakan membran itu bagi mengekstrak sukrosa daripada tumbuhan, yang kemudiannya boleh digunakan untuk menghasilkan plastik mesra alam yang boleh terurai secara semula jadi.

“Sebab kami memilih Shandong... ialah kerana ia merupakan wilayah dengan rangkaian industri yang paling lengkap di China,” kata pengarah pemasaran 3E Memtech, Encik Zhou Lixin, kepada The Straits Times.

“Ia memiliki 100 juta penduduk dan menjadi pusat utama industri berat, justeru penggunaan produk kami untuk aplikasi industri di sini menjanjikan nilai yang lebih besar,” tambahnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg