Penghibur veteran, Sheikh Haikel, disahkan menghidap barah usus tahap empat dan telah menjalani pembedahan.

Demikian menurut isterinya, usahawan dan selebriti tempatan, Anna Belle Seri Ayu Francis.

Namun, tumor yang dihidapinya bersifat agresif dan beliau kini menjalani rawatan bagi melawan penyakit tersebut.

Dalam satu panggilan telefon bersama Berita Harian (BH) pada pagi 4 September, Anna Belle, 48 tahun, berkata:

“Beliau menghidap barah usus tahap empat dan telah menjalani pembedahan. Namun, tumornya agresif dan telah menjejas hatinya. Kami sedang berusaha untuk merawatnya.”

Pada 19 Ogos lalu, BH menemu ramah Anna Belle bagi laporan Kaki Makan berkaitan pembukaan semula restoran mereka, Hai Ge Ji, di Bussorah Street.

Selepas wawancara selesai, wartawan BH melihat Sheikh Haikel, 51 tahun, memasuki restoran dalam keadaan menahan sakit sebelum berbual dengan Anna Belle.

Beliau kemudian dibawa ke hospital.

Dalam mesej kepada BH, Anna Belle mengakui bahawa bukan mudah bagi keluarga mereka untuk menerima dan berkongsi berita tersebut.

Sheikh Haikel menghidap penyakit itu sejak 2025 dan menjalani kemoterapi selepas menunaikan umrah pada September 2025.

Pasangan yang mempunyai tiga anak itu memilih BH sebagai wadah pertama untuk mendedahkan diagnosis itu kerana menurut mereka, akhbar ini telah mengikuti perjalanan Sheikh Haikel selama bertahun-tahun, daripada muzik, televisyen dan filem hinggalah ke dunia perniagaan makanan dan minuman (F&B).

Di sebalik ujian berat yang sedang dilaluinya, Sheikh Haikel yang kini berehat di rumah, berkata beliau tidak mahu diagnosis barah tahap empat itu menjadi titik noktah kepada perjalanan hidup dan kerjayanya.

Sebaliknya, beliau berhasrat untuk terus bekerja sepanjang menjalani rawatan, termasuk kekal terlibat dalam restoran keluarga mereka.

Beliau juga bakal melancarkan podcast baharu berjudul, Final Applause, yang akan menjadi wadah untuknya berkongsi secara terbuka dan jujur mengenai pengalaman menghadapi penyakit serta menjalani rawatan.

Bagi pasangan itu, berkongsi diagnosis tersebut bukan sekadar untuk memberitahu masyarakat mengenai keadaan kesihatan Sheikh Haikel.

Mereka berharap keterbukaan itu dapat membuka ruang kepada perbualan yang lebih bermakna, memberi sokongan dan membawa manfaat kepada mereka yang mungkin sedang melalui pengalaman serupa.

“Bagi kami, ini tidak terasa seperti penghujung sebuah cerita, sebaliknya, ia terasa seperti permulaan sebuah cerita yang baharu,” tulis Anna Belle.

Anna Belle turut merakamkan penghargaan atas sokongan yang diberikan kepada Sheikh Haikel dan keluarga mereka sepanjang perjalanan kerjaya penghibur tersebut.