Topic followed successfully
Go to BHkuSesi dialog kumpulan kecil sedia ruang selamat bincang isu kaum, agama secara terbuka
Sesi dialog kumpulan kecil sedia ruang selamat bincang isu kaum, agama secara terbuka
50 peserta pelbagai kaum dan agama sertai sesi dialog terbuka anjuran The Whitehatters, NYC
Sesi dialog kumpulan kecil sedia ruang selamat bincang isu kaum, agama secara terbuka
Tidak berapa lama dahulu, Encik Muhammad Nur Hafriz Rosli, sedang berada di dalam lif menuju ke tingkat bawah di blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) beliau di Choa Chu Kang Crescent, apabila lif itu berhenti setengah jalan.
Seorang ibu bersama anak perempuan kecilnya kemudian memasuki lif berkenaan.
Si cilik tersenyum dan menghampiri Encik Nur Hafriz.
Namun, selepas terpandang Encik Nur Hafriz, si ibu segera menarik tangan anaknya dan berdiri di sudut lain lif itu.
“Budak kecil itu bersikap mesra kepada saya, datang menghampiri dan melambai, tetapi ibunya menariknya ke sudut lain lif,” ujar Encik Nur Hafriz, yang menekankan wanita yang ditemuinya itu tidak menimbulkan isu kaum.
Menurutnya, kejadian itu mungkin berlaku kerana sebab lain yang tiada kaitan dengan bangsa atau warna kulitnya.
“Namun itu bukanlah kali pertama saya mengalami insiden sedemikian,” kata Encik Nur Hafriz, 30 tahun, kepada Berita Harian (BH).
Menurutnya, semasa menaiki pengangkutan awam seperti MRT atau bas, beliau turut mengalami detik penumpang lain yang baru naik memilih untuk tidak duduk di sebelahnya.
Sebaliknya, ada penumpang yang mencari tempat lain meskipun terdapat tempat kosong di sebelahnya.
“Ia bukanlah mereka secara terang-terangan mengelak saya semata-mata kerana warna kulit saya. Tiada sesiapa yang berkata, ‘Saya tidak mahu duduk di sebelah anda kerana anda orang Melayu’ atau seumpamanya.
“Tetapi, sama seperti kejadian dalam lif… detik-detik kecil ini membuat saya berhenti sejenak dan merenung. Saya tertanya-tanya mengapa perkara ini berlaku.
“Mungkin iya, insiden-insiden itu berlaku kerana perbezaan kaum. Mungkin tidak juga dan ini hanya andaian saya semata-mata.
“Tapi ia membuat saya berfikir lebih mendalam apabila ia berlaku secara berulang,” kata Encik Nur Hafriz, seorang pembantu jualan.
Encik Nur Hafriz bercakap dengan BH selepas beliau menyertai sekitar 50 peserta pelbagai kaum dan agama yang berkongsi pengalaman peribadi masing-masing dalam sesi dialog kumpulan kecil mengenai isu kaum dan agama yang diadakan di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI), yang terletak di Eunos Road 8, pada 29 Mac.
Sesi tersebut dianjurkan oleh badan bukan pemerintah (NGO) The Whitehatters, dengan sokongan Pelan Belia SG Majlis Belia Kebangsaan (NYC).
Ia merupakan kali pertama Encik Nur Hafriz menghadiri sesi dialog sebegitu.
Sesi dialog tersebut dimulakan dengan peserta menetapkan ‘komitmen berpegang kepada nilai-nilai murni’ untuk mengemudi perbincangan, termasuk prinsip seperti menghormati, empati, dan kejujuran.
Setelah itu, mereka diminta melakukan kegiatan renungan mengenai lingkaran sosial masing-masing.
Secara khusus, mereka memikirkan daripada lima rakan rapat, berapa ramaikah yang berasal daripada kaum berbeza?
Berdasarkan jawapan mereka, peserta dibahagikan dalam kumpulan mengikut bilangan rakan rapat berlainan kaum yang mereka ada.
Ia bertujuan memberi gambaran tentang kepelbagaian atau keterasingan rangkaian sosial mereka.
Peserta kemudian dibahagikan ke dalam bulatan kurang daripada lapan orang untuk membincangkan kes sebenar yang berlaku di Singapura dan menyusuli itu, diminta berkongsi pandangan mereka tentang keadaan yang diketengahkan.
Menurut Pengasas dan Pengarah The Whitehatters, Cik Shahrany Hassan, tujuan sesi dialog tersebut adalah untuk bergerak melepasi aspek teori dan menumpukan kepada pengalaman sebenar peserta.
“Dialog ini bukan mengenai konsep atau teori. Ia bertujuan berkongsi pengalaman sebenar dan bagaimana interaksi ini membentuk cara kita berhubung antara satu sama lain serta pandangan kita terhadap dunia.
“Kami mahu menggunakan kes sebenar yang boleh dikenali orang supaya mereka lebih terbuka dalam berkongsi pengalaman,” katanya.
Kes yang dibincangkan itu merangkumi peristiwa pada Jun 2021, di mana seorang warga Singapura yang ketika itu pensyarah Politeknik Ngee Ann mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap lelaki warga Singapura yang berbangsa separuh India dan separuh Filipina, ketika beliau bersama temanitanya.
Para peserta kemudian diajak merenungi pengalaman mereka sendiri dalam membina hubungan antara anggota masyarakat.
Ia termasuk cabaran yang dihadapi apabila cuba berkawan dengan individu daripada latar belakang berbeza serta sejauh manakah mereka secara aktif berusaha menjalin persahabatan dengan masyarakat lain dan bagaimana mereka melakukannya.
Salah seorang peserta, Encik Dave Teng, 24 tahun, berkongsi bahawa sesi dialog itu membuka ruang untuk memahami pengalaman peribadi peserta lain yang mungkin tidak dapat difahami sekiranya tiada perbincangan sebegini.
“Sebagai contoh, salah seorang peserta menceritakan pengalamannya sebagai seorang Melayu yang kadangkala dianggap sebagai seorang samseng.
“Jika kita tidak diberikan ruang untuk berkongsi pengalaman sebegini, kita tidak akan benar-benar memahaminya.
“Sebagai seorang daripada kaum majoriti, saya tidak akan tahu bagaimana seseorang daripada kaum lain mungkin melalui pengalaman yang saya sendiri tidak pernah alami,” ujar mahasiswa tahun keempat dari Universiti Nasional Singapura (NUS) itu.
Seorang pemudah cara sesi dialog yang ditemui BH, Ustazah Lina Sakina Salim, 33 tahun, mendapati peranannya adalah untuk memastikan peserta, terutama yang hadir buat pertama, berasa selesa untuk berkongsi pandangan tanpa rasa tertekan.
Lantaran itu, beliau turut menekankan bahawa sesi dialog itu bukan sekadar meningkatkan kesedaran tentang isu kaum dan agama.
Bahkan, ia juga berfungsi sebagai sesi panduan yang membolehkan peserta belajar bagaimana membincangkan topik sensitif dengan penuh rasa hormat dan bertanggungjawab.
“Peserta mungkin hanya hadir di sini, tetapi itu tidak bermakna perbincangan berakhir di sini. Mereka boleh membawa perbualan ini ke luar.
“Dengan menyertai serta memerhati cara fasilitator mengendalikan sesi, mereka mendapat gambaran tentang nilai-nilai yang perlu dibawa ketika membincangkan isu sensitif,” kongsi beliau, seorang pendakwah bebas.

