Seni pemasangan bawa pejuang warisan Orang Laut jejaki sejarah, budaya ‘Rumah Laut’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Seni pemasangan bawa pejuang warisan Orang Laut jejaki sejarah, budaya ‘Rumah Laut’

Pengasas Orang Laut SG ingin kisah warga peribumi kekal diingati, tidak terhakis ditelan zaman
Jan 23, 2026 | 4:42 PM

Seni pemasangan bawa pejuang warisan Orang Laut jejaki sejarah, budaya ‘Rumah Laut’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Orang Laut, Firdaus Sani, Light To Night 2026, Orang Laut SG, peribumi, seni pemasangan
Encik Firdaus Sani, keturunan masyarakat laut generasi keempat mempamerkan seni pemasangan tiga bahagian dalam festival Light to Night Singapore 2026. Seni pemasangan beliau mencerminkan sejarah dan warisan masyarakat laut di Singapura yang hampir pupus ditelan zaman. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Niat di hati Encik Firdaus Sani adalah bagi menghidupkan kembali sejarah dan budaya masyarakat peribumi, khususnya kelompok Orang Laut yang pernah mendiami kawasan pesisir pantai, muara sungai, dan pulau-pulau di sekitar Selat Melaka, Selat Singapura serta Kepulauan Riau-Lingga.

Pengasas gerakan pejuang warisan, Orang Laut SG, dan agensi pemasaran, The Black Sampan, ini begitu bersemangat menghasilkan seni pemasangan dengan tiga bahagian bagi menggambarkan hasil warisan golongan peribumi ini.

Beliau melihat kepentingan untuk berkongsi dan memberi pencerahan tentang kearifan ilmu peribumi yang semakin luput kerana warisan budaya ini kian kurang diberi perhatian oleh generasi muda hari ini.

Karya seni pemasangan Encik Firdaus, 37 tahun, merupakan antara kerja seni yang disertakan dalam Festival Light to Night Singapore 2026 yang berlangsung dari 9 hingga 31 Januari ini.

Dianjurkan Galeri Nasional Singapura, pesta yang masuk edisi ke-10 pada 2026 ini memaparkan tema ‘The Power In Us’ atau ‘Kuasa Dalam Diri Kita’ bagi meraikan kekuatan kolektif yang wujud apabila orang ramai dan masyarakat bersatu hati untuk mengimbas, bersembang dan menghasilkan sesuatu yang bermakna dengan bantuan seni.

Edisi festival kali ini meneroka bagaimana kuasa penyatuan boleh mencorak pengalaman bersama dan mencetuskan kemungkinan baru.

Ini bukan kali pertama Encik Firdaus yang akrab dengan warisan Orang Laut berkecimpung dalam dunia seni.

Namun sebelum ini, karya-karyanya lebih tertumpu kepada penulisan puisi berkenaan Orang Laut.

Sebagai keturunan Orang Laut generasi keempat, Encik Firdaus begitu teruja menghasilkan karya Rumah Laut yang mencakupi tiga bahagian yang dipaparkan di Padang, The Art Connector (laluan tertutup di depan Galeri Nasional Singapura dan Katedral St Andrew’s dan ACM Green (ruang hijau di luar Muzium Tamadun Asia).

Karya-karya ini mencerminkan sejarah dan kehidupan Orang Laut yang semakin terhakis akibat proses perbandaran, penambakan tanah, serta kehilangan akses kepada kawasan pesisir pantai.

Bagi Encik Firdaus, karya-karya ini diilhamkan sebagai usaha ‘melawan arus’ pemodenan yang telah melupakan kewujudan dan kebijaksanaan masyarakat peribumi dan Orang Laut.

Berkongsi semangat perjuangannya, beliau berkata: “Di kota moden yang berkembang pesat ini, kita sudah hampir kehilangan banyak daripada tradisi, budaya, sejarah dan bahasa kita.

“Jadi, dengan karya-karya ini, saya cuba untuk melindungi warisan-warisan ini dan menunjukkan keberadaan masyarakat peribumi serta kearifan yang mereka ada.”

Seni pemasangan tiga bahagian ini menampilkan elemen-elemen budaya yang pelbagai dalam kehidupan Orang Laut.

Di Padang, Encik Firdaus telah menghasilkan bayangan rumah laut melalui binaan arca berskala besar.

Selain menonjolkan bahan-bahan tradisional yang biasa digunakan untuk pembinaan Rumah Laut seperti kayu bakau, daun nipah dan kajang, Encik Firdaus juga menyisipkan contoh elemen mistik seperti mantera dan wafak yang diamalkan dalam budaya Orang Laut dahulu dalam kerja seni ini.

Seni pemasangan Rumah Laut yang terletak di Padang menampilkan sebuah binaan arca berskala besar. Seni ini menonjolkan bahan-bahan tradisional yang lazim digunakan oleh Orang Laut.
Seni pemasangan Rumah Laut yang terletak di Padang menampilkan sebuah binaan arca berskala besar. Seni ini menonjolkan bahan-bahan tradisional yang lazim digunakan oleh Orang Laut. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Namun begitu, bukan niat Encik Firdaus untuk mempromosikan amalan-amalan mistik yang diamalkan oleh Orang Laut dahulu.

Beliau menjelaskan: “Saya bukan nak mempromosikan atau mengajar orang tentang amalan yang dianggap khurafat. Saya sekadar ingin menunjukkan elemen mistik ini merupakan tradisi yang pernah diamalkan oleh Orang Laut.”

Selain itu, dua lagi hasil seni Encik Firdaus turut memberi pencerahan tentang kearifan Orang Laut mengenai sekitarannya.

Di kawasan ACM Green, beliau menampilkan hasil pembuatan bubu sebagai warisan budaya yang lazim digunakan oleh nelayan di Pulau Sudong untuk menangkap ikan.

Di Art Connector pula, laluan cahaya daripada susunan bintang yang menjadi panduan pergerakan Orang Laut ketika berlayar di lautan.

Berkongsi tentang perasaannya, Encik Firdaus cuma rasa ‘takut’ akan tanggapan masyarakat Orang Laut yang masih meneruskan kehidupan mereka di sini tatkala melihat karyanya.

“Saya rasa takut dan segan kerana ilmu-ilmu yang ditonjolkan ini saya terima daripada mereka,” jelas beliau.

Pada masa yang sama, Encik Firdaus juga meluahkan rasa bangga dan terharu kerana diberikan kesempatan oleh pihak penganjur untuk berkarya.

Bagi beliau, ini merupakan wadah yang baik bagi meningkatkan kesedaran pengunjung tentang Orang Laut.

Pada akhirnya, Encik Firdaus berharap masyarakat akan jadi lebih celik tentang sejarah dan budaya warisan Orang Laut.

Beliau juga ingin melihat ramai lagi pencinta seni dan warisan tampil membicarakan tentang Orang Laut selepas melihat karya seninya agar budaya dan sejarah mereka tidak hapus dalam ingatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg