Gemadah: Rentas edisi 2026 himpun seniman muzik tempatan
Gemadah: Rentas edisi 2026 himpun seniman muzik tempatan
Peminat muzik tradisi Melayu bakal disajikan dengan Gemadah – Festival Muzik Tradisional Melayu, sebuah acara dua hari yang rancak dengan pelbagai kegiatan dan persembahan oleh penggiat seni.
Festival itu akan berlangsung pada 6 dan 7 Februari.
Antara inti pati utama ialah ‘Rentas’, sebuah program kolaboratif residen yang bersemangat, menjadi sebahagian daripada festival tersebut.
Edisi 2026 ini akan dibimbing oleh komposer dan seniman Aidil Akmal, bersama pemain biola jemputan Ahmad Musta’in.
Para peserta akan mengolah gubahan baharu yang berakar pada irama dan melodi muzik tradisional Melayu, disulam dengan roh, nilai, dan kehalusan warisan tersebut.
Nilai estetika dan pengalaman konsert program itu diperkukuh dengan sentuhan arahan artistik oleh Fadhli Ramlee, seorang seniman pelbagai disiplin termasuk tarian tradisional Melayu, muzik tradisional, serta karya teater dalam lakonan, penulisan, dan pengarahan.
Bagi yang berminat menyaksikan persembahan ini, tiket boleh didapati di laman web, https://www.esplanade.com/rentas#synopsis
Selain itu, seperti edisi lalu, terdapat dua bengkel yang akan dikendalikan, iaitu Rentak Melayu pada Akordion Bes, oleh pengasas dan pengarah Ensembel rakyat dan tradisional Melayu, Sri Mahligai, Ariffin Abdullah; dan juga bengkel, Mengendalikan Ensembel, oleh pengasas bersama dan pengarah muzik Orkestra Sri Temasek (OrST), Megat Firdaus.
Selain itu, tokoh bahasa seperti Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Ketua Perwakilan, Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) Singapura, Dr Azhar Ibrahim Alwee; dan Ketua Orkes Melayu Mutiara, Encik Nasir Abudullah, juga akan berkongsi ilmu kesenimanan mereka dalam sesi sembang santai.

