Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semangat bimbing belia bawa pemuda laku kerja kemasyarakatan

Terajui program sosial sebagai mentor bagi pupuk perpaduan, pembangunan diri dalam kalangan belia
Dec 29, 2025 | 3:09 PM
Haikal Afiq Mohd Rizal, VOLUNTEER
Dalam mengimbangi komitmennya dalam kerja kemasyarakatan, Encik Haikal Afiq Mohd Rizal berkata kepuasan membantu orang lain mendorongnya untuk terus menyumbang. - Foto BH oleh DESMOND WEE

Sebagai Pengurus Kawasan Undi Kelab Masyarakat Siglap, Encik Haikal Afiq Mohd Rizal mengurus sukarelawan dan pertubuhan akar umbi Rangkaian Penduduk (RN) Limau Estate dan Eastwood Ria.

Ini di samping mengetuai kegiatan sosial dan pembangunan pasukan untuk menti lelaki dalam peranannya sebagai Ketua Sosial Lelaki bagi Program Masyarakat Peer Kelab Mendaki di Tampines.

Program Peer bertujuan menyemai nilai positif dalam belia yang dipanggil menti, seperti keyakinan, kecekapan, masyarakat, perwatakan dan perhubungan melalui pelbagai rangkaian kegiatan.

Encik Haikal berkata sebagai Pengurus Kawasan Undi, beliau menggalakkan pemimpin akar umbi merancang dan melaksanakan projek yang dapat mengeratkan hubungan antara penduduk, termasuk sambutan Pesta Pertengahan Musim Luruh, Pesta Halloween dan sambutan Deepavali.

“Misalnya, pada Oktober lalu, kami mengadakan Pesta Pertengahan Musim Luruh dan Pesta Halloween di taman permainan di kawasan kejiranan Siglap supaya semua penduduk dapat menghadirkan diri,” ujar beliau.

Berkongsi kepada Berita Harian (BH), pemuda berusia 26 tahun itu berkata beliau terdorong untuk menyumbang kembali kepada masyarakat selepas mendapat sokongan daripada guru dan rakan-rakannya, yang sentiasa berkongsi pengalaman serta memberikan tunjuk ajar yang diperlukannya.

“Apabila saya semakin dewasa, saya sedar bahawa tidak semua rakan sebaya saya mendapat keistimewaan yang sama.

“Itulah yang mendorong saya menjadi sukarelawan.

“Saya mula menjadi sukarelawan sebagai mentor ketika menjalani Perkhidmatan Negara (NS) dan saya anggap itu cara saya menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Lama-kelamaan, saya mula melibatkan diri dalam kerja kemasyarakatan seperti lawatan rumah ke rumah untuk memahami keperluan demografi berbeza,” ujar beliau, yang juga anak bongsu daripada dua adik-beradik.

Encik Haikal mula bergiat sebagai sukarelawan semasa menjalani NS sebagai mentor di bawah program #amPowered@MTS dan kemudian meneruskan khidmatnya dalam program Peer Kelab Mendaki pada 2022.

Setelah menamatkan program pertukaran pelajar bersama Universiti Oslo di Norway, lulusan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu kembali dengan menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Sosial Lelaki di Program Kelab Mendaki Tampines, peranan yang akan diteruskannya pada 2026.

Antara kegiatan sosial untuk menti lelaki dalam program Peer tersebut yang diterajuinya, termasuk sukan bot naga dan membina istana pasir, yang menurutnya bertujuan memperkukuh hubungan sesama manusia, serta membina keyakinan diri dalam kalangan belia.

Merenung kembali pengalamannya, Encik Haikal berkata setiap kelompok masyarakat mempunyai aspirasi dan cabarannya yang tersendiri.

Tambahnya, kerja kemasyarakatan yang berkesan sentiasa bermula dengan mendengar serta menyelesaikan sesuatu isu bersama.

“Peranan sukarelawan bukan sekadar menetapkan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi golongan yang memerlukan bantuan.

“Sukarelawan perlu mendalami dan memahami keadaan hidup mereka berdasarkan pengalaman hidup yang mereka lalui.

“Kemudian, kita bekerjasama untuk mewujudkan rasa pemerkasaan dalam diri mereka,” ujar beliau.

Peranan sukarelawan bukan sekadar menetapkan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi golongan yang memerlukan bantuan. Sukarelawan perlu mendalami dan memahami keadaan hidup mereka berdasarkan pengalaman hidup yang mereka lalui. Kemudian, kita bekerjasama untuk mewujudkan rasa pemerkasaan dalam diri mereka.
Encik Haikal Afiq Mohd Rizal, Pengurus Kawasan Undi Kelab Masyarakat Siglap.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg