Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Duta warga emas perkukuh sokongan masyarakat lanjut usia

Dec 29, 2025 | 1:42 PM
A A Mehrunnisa, duta Generasi Warga Emas, siglap, SGO
Sebagai Duta Generasi Warga Emas, Cik A A Mehrunnisa (tengah) menjalankan kunjungan rumah bersama sukarelawan lain bagi mendekati warga emas dan memahami keperluan mereka di kejiranan Siglap. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Bantuan, tanpa mengira usia, bangsa atau agama amatlah penting.

Pada usia 60 tahun, Cik A A Mehrunnisa bertekad memikul tanggungjawab ini, berhasrat membantu warga emas sepertinya.

Beliau menerima peranan Duta Generasi Warga Emas dengan hati terbuka, ingin mendekati warga emas di kawasan Siglap.

“Saya membesar dalam keluarga susah, jadi saya faham betapa peritnya apabila tiada sesiapa yang sudi mendengar luahan hati,” kata beliau, yang telah berbakti di Pejabat Generasi Warga Emas (SGO) sejak 2014.

Sukarelawan SGO mestilah warganegara atau penduduk tetap Singapura, berumur sekurang-kurangnya 18 tahun, mahir asas komputer, serta boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris dan satu bahasa lain.

Sebagai sukarelawan, Cik Mehrunnisa dan rakan seangkatannya giat membina jambatan perhubungan dengan warga emas melalui kunjungan ke rumah mereka.

Selain memastikan kesejahteraan, antara tugas Cik Mehrunnisa sebagai duta SGO ialah berkongsi maklumat tentang skim dan bantuan pemerintah yang tersedia.

“Peranan kami adalah untuk merapatkan jurang antara penduduk dengan pemerintah, khususnya bagi warga emas yang mungkin terlepas pandang maklumat kerana kurang celik teknologi, dengan menyampaikan perkembangan terkini di sekeliling mereka,” jelas beliau.

Interaksi Cik Mehrunnisa dengan jirannya sendiri disifatkan sebagai “pengalaman manis, tetapi penuh kejutan”.

“Sebagai sukarelawan, kami perlu membantu setiap lapisan masyarakat.

“Ada demografi yang memang perlukan sokongan, namun masih ada yang enggan tampil meminta bantuan,” ujar beliau.

Cik Mehrunnisa menerangkan, kumpulan yang ditemuinya termasuk mereka yang menetap di estet privet seperti banglo atau kondominium.

Menurutnya, ada antara mereka yang berasa seolah-olah terpinggir daripada skim bantuan pemerintah yang sering fokus kepada golongan berpendapatan rendah.

“Ada yang bersikap agak dingin ketika kami berkunjung.

“Mereka menganggap pemerintah hanya ingin bantu penduduk dengan latar belakang tertentu.

“Lalu mereka bertanya, ‘Bagaimana pula dengan kami? Kami tak perlukan bantuan ke?’” cerita beliau.

Namun, pengalaman luas Cik Mehrunnisa sebagai sukarelawan memudahkannya berinteraksi dengan pelbagai latar belakang dan mengingatkannya sokongan emosi sama pentingnya dengan bantuan kewangan.

Kadangkala, beliau menghabiskan masa berjam-jam bersama sepasang warga emas yang hidup sendirian dan kesepian.

“Sejujurnya, ramai daripada mereka hanya perlukan teman untuk mendengar cerita mereka,” katanya.

“Penting bagi kami sebagai sukarelawan untuk merendahkan hati dan menerima maklum balas dengan hati terbuka,” katanya.

Sebagai warga emas sendiri, beliau juga lebih mudah memahami dan menyelami pengalaman generasi yang dibantunya.

“Saya dapat bersimpati dan faham apabila mereka berkongsi keperluan serta keinginan masing-masing,” katanya lagi. – Insyirah Mohd Shukor

Peranan kami adalah untuk merapatkan jurang antara penduduk dengan pemerintah, khususnya bagi warga emas yang mungkin terlepas pandang maklumat kerana kurang celik teknologi, dengan menyampaikan perkembangan terkini di sekeliling mereka.
Cik A A Mehrunnisa, Duta Generasi Warga Emas.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg