Topik diikuti
Pergi ke BHkuSektor penerbangan pilihan keluarga rentas generasi
Sektor penerbangan pilihan keluarga rentas generasi
Jurutera utama manfaat automasi,cetakan 3D, kurangkan beban kerja manual, tingkat keselamatan operasi
Sektor penerbangan pilihan keluarga rentas generasi
Sektor penerbangan begitu dekat di hati keluarga Encik Fahmi Ishak memandangkan bapa, isteri dan bapa mentuanya juga berkecimpung dalam bidang tersebut yang menekankan ketelitian dan disiplin kerja.
Jurutera utama bagi teknologi dan peralihan di syarikat yang membangun, membina dan menyelenggara enjin pesawat dan helikopter di peringkat sejagat, Pratt & Whitney ini, menerajui usaha memodenkan operasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), yang secara tradisional bergantung kepada tenaga kerja manual.
Encik Fahmi, 39 tahun, memiliki ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU), serta ijazah Sarjana dalam Tenaga dan Kelestarian dari Universiti Newcastle.
Dalam peranannya, beliau memperkenalkan teknologi baharu – daripada automasi hingga percetakan teknologi tiga dimensi (3D) – ke dalam proses penyelenggaraan pesawat biasa, sekali gus meningkatkan kecekapan, ketekalan dan keselamatan kenderaan itu.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Fahmi berkongsi bagaimana dalam persekitaran sejagat yang tidak menentu pada 2025, beliau menerajui pelbagai inisiatif bagi memperkemas operasi dan mengurangkan kos syarikatnya.
“Dalam keadaan sejagat yang tidak menentu, kami perlu mencari cara untuk kekal cekap dan berdaya saing.
“Banyak inisiatif yang dilaksanakan memberi tumpuan kepada automasi dan pendigitalan supaya kami dapat mengurangkan kebergantungan kepada kerja manual serta meningkatkan ketekalan operasi,” katanya.
Antara projek yang dipimpinnya termasuk pembangunan sistem automatik yang mengambil gambar komponen enjin pesawat, iaitu satu tugas yang sebelum ini memerlukan teknisyen mengambil puluhan gambar secara manual.
Sistem itu berjaya mengurangkan masa pemeriksaan sehingga empat jam bagi setiap enjin serta mengurangkan beban kerja manual sebanyak kira-kira 90 peratus.
Ia sekali gus membolehkan teknisyen memberi tumpuan kepada tugas lain sambil meningkatkan keselamatan di tempat kerja.
“Industri MRO sememangnya bergantung kepada tenaga kerja manual.
“Tumpuan kami adalah menggunakan teknologi untuk mengurangkan tugas berulang supaya teknisyen dapat menumpukan kepada kerja lebih bernilai, selain meningkatkan keselamatan dan ketepatan proses,” katanya.
Beliau turut menerajui penggunaan ‘topeng keras’ (hard masks) yang dihasilkan dengan cetakan 3D.
‘Topeng keras’ itu merupakan pelindung yang digunakan semasa pembaikan enjin, bagi menggantikan kaedah tradisional yang lebih memakan tenaga kerja dan boleh mengurangkan pembaziran bahan.
Usaha itu merupakan sebahagian langkah lebih luas dalam menyepadukan teknologi perkilangan maju seperti automasi, robotik dan sistem digital ke dalam operasi.
Usaha beliau mencerminkan inisiatif lebih luas oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dalam mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab perkilangan maju dan inovasi, meskipun berdepan ketidaktentuan sejagat.
Bagi Encik Fahmi, penerbangan bukan sekadar kerjaya, malah minat yang dipupuk sejak kecil melalui pengaruh keluarga.
Beliau mengimbau kembali kenangan ke Lapangan Terbang Changi bersama bapanya, Encik Mohd Ishak Atan, 69 tahun, seorang penyelia kejuruteraan, yang digelarnya sebagai engine man, dan telah berkecimpung dalam bidang tersebut lebih empat dekad.
Encik Fahmi bukan sahaja gemar melihat pesawat, malah, berpeluang mempelajari cara pesawat berfungsi daripada bapanya.
“Saya sering ke lapangan terbang bersama ayah dan teruja ingin tahu bagaimana pesawat berfungsi.
“Minat itu kekal hingga hari ini dan membentuk laluan kerjaya saya,” katanya.
Isterinya, Cik Nur Sakinah Abdul Aziz, 37 tahun, kini seorang suri rumah, juga pernah bekerja dalam industri penerbangan sebagai pramugari selama lapan tahun.
Malah bapa mentuanya, Encik Abdul Aziz Ali, 76 tahun, turut mempunyai latar belakang serupa dan telah berkhidmat dalam operasi lapangan terbang selama 41 tahun sebelum beliau bersara.
Ia satu kebetulan yang, menurut Encik Fahmi, menunjukkan bagaimana minat terhadap penerbangan boleh merentasi generasi.
Dalam pada itu, walaupun memulakan kerjaya dalam sektor minyak dan gas, Encik Fahmi akhirnya mengambil keputusan menceburi industri penerbangan, bidang yang disifatkan sebagai tempat beliau benar-benar rasa keserasian yang menebal.
Di sebalik cabaran sejagat, beliau kekal optimistik terhadap masa depan industri penerbangan.
“Permintaan terhadap perjalanan udara kekal kukuh, dan saya percaya industri penerbangan akan terus berkembang.
“Ini akan mendorong perlunya berinovasi serta meningkatkan kecekapan dalam operasi,” katanya.
“
“Dalam keadaan sejagat yang tidak menentu, kami perlu mencari cara untuk kekal cekap dan berdaya saing. Banyak inisiatif yang dilaksanakan memberi tumpuan kepada automasi dan pendigitalan supaya kami dapat mengurangkan kebergantungan kepada kerja manual serta meningkatkan ketekalan operasi.”