Topic followed successfully
Go to BHkuKos haji Indonesia naik 26.5%, pemerintah serap beban
Kos haji Indonesia naik 26.5%, pemerintah serap beban
Punca peningkatan sebahagian besar daripada harga bahan api penerbangan
Kos haji Indonesia naik 26.5%, pemerintah serap beban
JAKARTA: Indonesia akan menyerap kenaikan mendadak kos ibadah haji bagi 2026 susulan lonjakan harga minyak sejagat dan risiko geopolitik di Timur Tengah yang meningkatkan kos perjalanan ke Tanah Suci.
Menteri Haji dan Umrah, Encik Mochamad Irfan Yusuf, berkata jumlah keseluruhan kos berkaitan haji meningkat sebanyak 26.5 peratus atau 1.77 trilion rupiah ($131 juta), daripada 6.69 trilion rupiah kepada 8.46 trilion rupiah.
Peningkatan itu sebahagian besarnya berpunca daripada kenaikan harga bahan api penerbangan serta caj tambahan berkaitan risiko.
“Kenaikan ini sebahagian besarnya disebabkan peningkatan harga minyak mentah yang memberi kesan langsung kepada kos penerbangan jemaah haji,” katanya dalam sidang bersama Anggota Parlimen di Jakarta pada 14 April.
Menurut beliau, tambahan kos 1.77 trilion rupiah itu berpunca daripada cadangan syarikat penerbangan yang membawa jemaah haji Indonesia ke Arab Saudi, termasuk Garuda Indonesia dan Saudia Airlines.
Garuda memohon tambahan 974.8 bilion rupiah, manakala Saudia Airlines mengusulkan kenaikan sebanyak 802.8 bilion rupiah.
Walaupun berlaku peningkatan kos yang ketara, Presiden Prabowo Subianto, mengarahkan supaya beban tambahan itu tidak dipindahkan kepada jemaah.
“Presiden telah menegaskan bahawa kenaikan ini tidak boleh ditanggung oleh jemaah haji,” kata Encik Irfan.
Bagi menampung kekurangan tersebut, pemerintah merancang menggunakan dana haji yang dikenali sebagai Biaya Penyelenggaraan Ibadah Haji (BPIH), iaitu dana khusus bagi membiayai keperluan berkaitan ibadah haji.
Encik Irfan turut menjelaskan bahawa kementeriannya sedang menyelaras dengan Pejabat Peguam Negara bagi memastikan asas undang-undang penggunaan dana tersebut, khususnya dalam keadaan ‘force majeure’ atau keadaan luar jangka.
“Ketika ini, kami sedang menyelaras dengan pihak berkaitan untuk memastikan status keadaan luar jangka serta kesahihan sumber pembiayaan,” katanya.
Beliau menambah bahawa kos penerbangan bagi petugas yang mengiringi jemaah akan ditanggung sepenuhnya oleh belanjawan negara.
Dalam masa sama, permintaan terhadap kuota haji di Indonesia terus jauh melebihi bekalan.
Negara itu menerima kira-kira 220,000 kuota anggota jemaah setiap tahun daripada Arab Saudi, namun, mempunyai sekitar 5.7 juta pendaftar di seluruh negara.
Timbalan Menteri, Encik Dahnil Anzar Simanjuntak, berkata tempoh menunggu bagi program haji biasa kini boleh mencecah sehingga 26 tahun di beberapa wilayah. – Agensi berita.

