Topik diikuti
Pergi ke BHkuSee Leng: Belum perlu naikkan penalti lewat beri notis pemberhentian kerja
See Leng: Belum perlu naikkan penalti lewat beri notis pemberhentian kerja
See Leng: Belum perlu naikkan penalti lewat beri notis pemberhentian kerja
Tiada keperluan untuk mengenakan penalti lebih berat terhadap majikan yang gagal mematuhi peraturan wajib notis pemberhentian kerja buat masa ini, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Kebanyakan kelewatan dalam penghantaran notis tersebut berpunca daripada kecuaian pentadbiran, manakala kadar pematuhan kekal tinggi.
Beliau menjawab soalan di Parlimen daripada Encik Patrick Tay (Pioneer), Penolong Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), yang bertanya sama ada pemerintah akan menimbangkan hukuman lebih berat terhadap majikan yang ingkar.
Pada masa ini, syarikat dengan sekurang-kurangnya 10 pekerja wajib mengemukakan notis pemberhentian kerja kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam tempoh lima hari bekerja selepas memaklumkan pekerja berkenaan bahawa mereka akan diberhentikan.
Dr Tan berkata kebanyakan majikan di sini mengemukakan notis pemberhentian kerja tepat pada masanya.
Pada 2025, sebanyak 80 peratus notis pemberhentian difailkan sebelum tarikh akhir lima hari bekerja itu, meningkat daripada 70 peratus pada 2024.
Banyak syarikat turut memaklumkan pemerintah lebih awal dari yang diperlukan.
Pada 2025, sebanyak 77 peratus notis pemberhentian kerja dikemukakan sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum hari terakhir seseorang pekerja itu bertugas, manakala 73 peratus difailkan sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal.
Penyerahan lewat lazimnya berpunca daripada kealpaan pentadbiran, bukan pelanggaran yang disengajakan, tambah Dr Tan.
Majikan yang terlepas tarikh akhir itu diberi surat amaran, dengan kebanyakan majikan mematuhinya selepas itu, katanya.
Majikan yang ingkar akan dikenakan penalti pentadbiran $1,000 bagi pelanggaran pertama, dan $2,000 bagi setiap pelanggaran seterusnya.
“Kadar pematuhan tinggi. Kami fikir tidak perlu menaikkan penalti pada masa ini. Dan saya ingin tegaskan ‘pada masa ini’,” kata Dr Tan.
“Namun begitu, kami akan menyemak pendekatan penguatkuasaan dan penalti kami dari masa ke masa.”
Dr Tan telah berkata pada Mac lalu bahawa MOM akan menilai cadangan Anggota Parlimen (AP) untuk mewajibkan notis pemberhentian awal supaya pekerja yang diberhentikan boleh mendapatkan bantuan lebih awal.
Pada 5 Mei, beliau sekali lagi menegaskan bahawa pendekatan seimbang diperlukan kerana mewajibkan pemberitahuan lebih awal berisiko mempercepatkan keputusan pemberhentian kerja, bukan menggalakkan syarikat menyelamatkan pekerjaan melalui rundingan dalaman.
“Rakan tiga pihak kami (pemerintah, majikan dan pekerja yang diwakili persatuan) mengambil kira kebimbangan tersebut, dan akan terus mengambil pendekatan berhati-hati dan seimbang dalam perbincangan,” katanya.
