Topic followed successfully
Go to BHkuSea sumbang $50j bagi pembangunan bola sepak S’pura
Sea sumbang $50j bagi pembangunan bola sepak S’pura
Inisiatif bagi luaskan penyertaan, sumbang kepada pertumbuhan ekosistem sukan itu
Sea sumbang $50j bagi pembangunan bola sepak S’pura
Sea Limited telah berikrar untuk menyumbang $50 juta bagi menyokong pembangunan jangka panjang bola sepak di Singapura.
Syarikat teknologi yang berpusat di Singapura itu membuat pengumuman tersebut pada 31 Mac, sejurus sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia pasukan bola sepak kebangsaan Singapura menentang Bangladesh di Stadium Negara.
Ia mendedahkan, selain daripada sumbangan $10 juta yang telah diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada awal 2026, baki $40 juta akan disalurkan secara berperingkat-peringkat bagi “menyokong inisiatif bermakna yang dapat meluaskan penyertaan, mengukuhkan laluan pembangunan, dan menyumbang kepada pertumbuhan ekosistem bola sepak yang lebih dinamik di Singapura”.
Dalam kenyataan akhbarnya, Sea juga menyatakan niatnya “untuk bekerjasama rapat dengan pemerintah dan masyarakat bola sepak yang lebih luas untuk menyalurkan dana ini dengan berkesan”.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Sea, Forrest Li, yang juga merupakan Presiden FAS, berkata:
“Kami percaya bola sepak boleh memainkan peranan yang kuat dalam menyatukan masyarakat, membina watak, dan membuka peluang untuk golongan muda.
“Bola sepak mempunyai keupayaan unik untuk membina hubungan dan mencetuskan kebanggaan serta kegembiraan melalui satu tujuan bersama.
“Dengan sumbangan $50 juta daripada Sea, kami berharap dapat menyokong pembangunan jangka panjang bola sepak di Singapura dan memberi kembali kepada masyarakat yang telah memainkan peranan penting dalam perjalanan Sea.”
Dalam dekad lalu, Sea telah melabur secara ketara dalam bola sepak Singapura.
Pada 2016, cabang permainan mereka, Garena, telah menaja pasukan pembangunan Liga Perdana Singapura, Young Lions.
Empat tahun kemudian, Sea memperoleh Home United dan menswastakannya menjadi Lion City Sailors.
Pada 2022, Sailors membuka pusat latihan bernilai $10 juta dengan kemudahan bertaraf dunia seluas 28,000 meter persegi di Mattar Road.
Pada 2024, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kemudian mengiktiraf Akademi Bola Sepak LCS sebagai akademi dua bintang di bawah Skim Belia Elit AFC – salah satu daripada hanya empat akademi seperti itu yang diiktiraf di Asia Tenggara.
Mereka mencapai lagi pencapaian cemerlang pada 2025 apabila mereka mara ke final Liga Juara-Juara AFC Dua, di mana mereka tewas 2-1 kepada pasukan Sharjah FC dari Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Ini juga merupakan kali pertama perlawanan akhir kelab AFC diadakan di Singapura.
Selepas skuad Singa menempah kelayakan bersejarah ke Piala Asia 2027 dengan kemenangan 2-1 di Hong Kong pada November 2025, Li mendedahkan bahawa beliau akan memberi ganjaran kepada pasukan itu dengan bonus sebanyak $2 juta daripada poketnya sendiri atas prestasi mereka.
Sea juga pernah membuat sumbangan besar dalam bidang lain.
Pada 2021, Sea menyumbang $50 juta kepada Universiti Nasional Singapura (NUS) untuk penyelidikan dan pendidikan dalam bidang pengkomputeran.

