Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dari jurulatih digeruni ke mentor dipercayai: Peranan Kadir dalam perjalanan Gavin

Jan 4, 2026 | 5:00 AM
Gavin Lee (paling kanan, barisan bawah) mewakili Singapura dalam pertandingan undangan bawah-15 tahun di Hong Kong pada 2005. Pasukan yang dipimpin Kadir Yahaya itu turut dianggotai kapten Singa, Hariss Harun (paling kiri, barisan bawah) dan Izwan Mahbud (lima dari kiri, barisan atas).
Gavin Lee (paling kanan, barisan bawah) mewakili Singapura dalam pertandingan undangan bawah-15 tahun di Hong Kong pada 2005. Pasukan yang dipimpin Kadir Yahaya itu turut dianggotai kapten Singa, Hariss Harun (paling kiri, barisan bawah) dan Izwan Mahbud (lima dari kiri, barisan atas). - Foto ihsan Kadir Yahaya

Dalam perjalanan panjang Gavin Lee sebagai jurulatih profesional, banyak nama telah muncul sebagai pembentuk watak dan falsafah kepimpinannya.

Sedang bekas jurulatih kelab setempat, Warriors FC, Alex Weaver, sering beliau utarakan sebagai contoh, seorang lagi insan yang memainkan peranan besar dalam perjalanannya sebagai jurulatih ialah Kadir Yahaya.

Menurut Lee, hubungan antara kedua-dua mereka bermula sejak usianya awal remaja lagi.

Ketika itu, Kader bukan sekadar jurulatih, malah figura autoriti yang disegani - bahkan digeruni - oleh pemain muda.

“Versi Coach Kadir dulu sangat berbeza,” kata Gavin sambil tersenyum mengenang kembali zaman awalnya.

“Kami betul-betul takut dengan beliau. Tapi sekarang, kami boleh berbual seperti kawan,” tambahnya.

Lee berkata demikian dalam podcast BHerbual, Berita Harian (BH). Dalam rakaman podcast tersebut, beliau ditunjukkan foto dari 2005 - di mana beliau mewakili pasukan belia Singapura dalam pertandingan undangan di Hong Kong.

Pasukan tersebut dipimpin Kadir sebagai jurulatih, dan selain Lee lain-lain pemain yang beraksi ialah kapten pasukan Singa, Hariss Harun dan penjaga gawang, Izwan Mahbud.

Dua dekad kemudian, tiga individu tersebut mencipta sejarah, secara kebetulan juga dengan kemenangan ke atas tuan rumah di Hong Kong, yang memastikan kelayakan Singapura ke Piala Asia.

“Pada 2005, saya kena dengar cakap Hariss kerana beliau kapten pasukan, kali ini di Hong Kong, beliau pula kena dengar cakap saya,” kata Lee berseloroh.

“Tapi pastinya foto ini membawa pelbagai memori yang kembali membanjiri fikiran saya dan memberi pengertian istimewa kepada kemenangan kami di Hong Kong, terima kasih,” tambah beliau.

Lee berkata sehingga hari ini beliau dan Kadir masih akrab, dan Kadir memainkan peranan besar semasa mereka berdua bertugas dalam pasukan jurulatih Tampines Rovers.

Apabila Lee memulakan langkah awal sebagai jurulatih profesional di Tampines Rovers sambil menjalani kursus lesen kejurulatihan, Kadir sekali lagi memainkan peranan penting.

Namun kali ini, bukan sebagai ketua yang mengarah, tetapi sebagai penyokong di belakang tabir.

“Beliau bukan jenis yang cuba mempengaruhi atau memaksa pandangannya,” jelas Lee.

“Beliau jadi ‘sounding board’ untuk saya kongsi idea dan beliau beri maklum balas. Beliau melindungi saya, menyokong saya, dan membiarkan saya belajar daripada kesilapan sendiri,” tambahnya.

Pendekatan itu memberi kesan mendalam. Ini kerana dalam dunia kejurulatihan yang sering sarat dengan ego dan hierarki, kehadiran mentor yang memberi kepercayaan dianggap satu anugerah.

“Untuk itu, saya akan sentiasa berterima kasih kepada beliau,” tambah Lee.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg