Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) sedang mempergiat usaha mengumpul dana bagi kempen ‘Aid for Gaza 2026’, termasuk mendekati masyarakat Islam India dan merancang membuka reruai di masjid-masjid terpilih semasa solat Jumaat menjelang Ramadan.
Kempen yang berlangsung dari 8 Januari hingga 31 Mac itu antara lain bertujuan menyediakan sokongan perubatan, pendidikan dan psikososial kepada rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Gaza.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) di Masjid Al-Abdul Razak pada 16 Januari, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata sumbangan yang dikumpul akan disalurkan bagi membantu membina semula kehidupan mereka yang terjejas.
“Berikutan gencatan senjata pada akhir 2025, Gaza masih lagi berdepan dengan cabaran yang besar.
“Akses kepada air bersih, makanan dan rawatan perubatan asas masih sangat terhad dan banyak kemudahan prasarana turut terjejas,” katanya.
Dr Faishal menambah bahawa dengan bantuan segera yang kini semakin stabil, tumpuan kini beralih kepada usaha pemulihan dan pembinaan semula kehidupan mereka yang terjejas, termasuk meneruskan pembelajaran bagi kanak-kanak.
“Dengan kerjasama Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC), RLAF akan menyokong dari segi penjagaan kesihatan, sokongan pendidikan, tempat perlindungan, klinik bergerak serta sokongan psikososial untuk kanak-kanak dan keluarga yang kehilangan tempat tinggal,” tambahnya.
Beliau berkata kerjasama tersebut memberi keyakinan kepada penderma bahawa “sumbangan mereka diurus dengan tulus dan akan disalurkan dengan cepat dan bertanggungjawab kepada mereka yang memerlukan, serta memastikan sumbangan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin”.
Dr Faishal berkata demikian selepas solat Jumaat di Masjid Al-Abdul Razak, di mana beliau turut beramah mesra dengan jemaah serta mengunjungi reruai RLAF.
RLAF merancang untuk mengadakan reruai dan tabung amal di masjid-masjid di sini ketika solat Jumaat untuk menarik masyarakat dan memberitahu mereka bahawa badan amal itu sedang melakukan kutipan derma kelima untuk Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid, berkata ini merupakan antara usaha dalam mempergiat pengumpulan dana, selain daripada mendekati masyarakat Islam India menjelang Ramadan.
“Memandang ini merupakan kempen yang panjang, hingga 31 Mac, kami ingin mengadakan beberapa usaha sampingan untuk mengumpul dana bagi tujuan tersebut.
“Kami akan menyantuni beberapa segmen dalam masyarakat kita. Sebagai contoh, masyarakat Islam India dan yang lain untuk mengumpul dana,” katanya kepada BH.
Encik Adnan turut mengharapkan sokongan yang padu daripada masyarakat dalam usaha pembangunan semula Gaza.
“Kami yakin bahawa usaha ini dapat diraih bersama oleh masyarakat.
“Ini memandangkan dalam keempat-empat kempen yang kami lakukan sebelum ini, ia telah menjana lebih daripada $15 juta sejak Oktober 2023.
“Kami harap sambutan bagi pungutan dana kali ini akan terus kuat dan kukuh demi membantu mereka yang terjejas di sana (Gaza),” tambahnya.
Selain RLAF, pelbagai badan telah melakukan usaha pengumpulan dana untuk Gaza sejak 2023.
Ini termasuk Humanity Matters (HM), Palang Merah Singapura (SRC), Mercy Relief, dan Caritas Humanitarian Aid and Relief Initiatives Singapore (Charis).
Kutipan itu merupakan hasil usaha RLAF bersama rakan kerjasamanya, Unicef, ERC dan HM.
Orang ramai boleh membuat sumbangan ‘Aid for Gaza 2026’ menerusi pelbagai saluran:
– PayNow ke RLAF menerusi nombor UEN 200910530ZRLA dan nyatakan ‘AIDFORGAZA2026’ dalam kotak komen;
– Laman web, Giving.sg di pautan, https://tinyurl.com/aidforgaza2026;
– Laman web RLAF di pautan, https://tinyurl.com/aidforgaza26;
– Pemindahan bank ke Akaun Semasa OCBC: 601313315001.
– Hantar cek kepada RLAF dengan menulis nama penderma, nombor telefon serta ‘AIDFORGAZA2026’ ke alamat RLAF, Masjid Yusof Ishak, No 10 Woodlands Drive 17, Level 4, Singapura 737740.
Selain sumbangan secara dalam talian dan pemindahan bank, RLAF juga akan menganjurkan kutipan derma di masjid-masjid terpilih dari 16 hingga 22 Januari.
Kotak derma akan ditandakan dengan logo RLAF serta tujuan rayuan tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg