Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RLAF lancar kempen kumpul dana untuk Gaza jelang Ramadan

Jan 9, 2026 | 5:28 PM
RLAF, kumpul dana, Gaza
Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) berkata kempen, ‘Aid for Gaza 2026’, bertujuan menyokong usaha pemulihan awal dan pembinaan semula Gaza, dengan tumpuan diberikan kepada pemulihan perkhidmatan asas serta prasarana penting.  - Foto fail

Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), dengan kerjasama Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan Bulan Sabit Merah (ERC), mengadakan rayuan derma bagi Gaza dari 8 Januari hingga 31 Mac, bersempena Ramadan.

Dalam satu kenyataan media pada 9 Januari, RLAF berkata kempen, ‘Aid for Gaza 2026’ itu bertujuan menyokong usaha pemulihan awal dan pembinaan semula di Gaza, dengan tumpuan diberikan kepada pemulihan perkhidmatan asas serta prasarana penting.

Daya usaha tersebut menandakan peralihan daripada bantuan kecemasan kepada usaha pemulihan yang lebih mampan bagi wilayah itu.

Kempen tersebut dilancarkan susulan gencatan senjata yang dilaksanakan pada penghujung 2025.

Namun, RLAF menambah, Gaza terus berdepan kekurangan bekalan air bersih, makanan dan sanitasi, selain kemusnahan meluas terhadap kediaman serta perkhidmatan asas.

Keadaan itu memerlukan sokongan berterusan masyarakat antarabangsa bagi membolehkan mereka yang terjejas membina semula kehidupan secara bertahap, tambah badan amal itu.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata inisiatif tersebut mencerminkan iltizam berterusan Singapura untuk membantu rakyat Gaza.

“Usaha ini mencerminkan komitmen Singapura dalam menyokong rakyat Gaza apabila tumpuan beralih daripada bantuan kecemasan kepada pemulihan awal dan pembinaan semula,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, berkata pemerintah Singapura bersedia menyalurkan lebih banyak bantuan wang dalam menyokong usaha mengumpul dana awam bagi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Beliau berkata demikian ketika berucap di edisi kelima acara pembungkusan bantuan kemanusiaan untuk Gaza di gereja Charis Tabernacle, di Tanjong Katong Road, pada 31 Disember 2025, anjuran badan bukan pemerintah (NGO) setempat, Humanity Matters (HM).

Ini setelah Kementerian Ehwal Luar (MFA) mengumumkan dana permulaan $1 juta dalam menyokong usaha mengumpul dana awam bagi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Ia akan diagihkan secara sama rata kepada beberapa badan.

Setakat ini, Singapura telah menyalurkan $25 juta bagi usaha bantuan kemanusiaan di Gaza.

Namun, Encik Shanmugam berkata cabaran terbesar ialah memastikan bantuan tersebut dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.

Dalam pada itu, di bawah kempen RLAF kali ini, ia akan bekerjasama dengan dua rakan pelaksana utama.

Melalui ERC, dana itu akan digunakan bagi menyediakan khemah dan tempat perlindungan sementara; mengadakan klinik kesihatan bergerak untuk meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan asas; serta menubuhkan dapur masyarakat bagi membekalkan makanan panas.

Unicef pula akan melengkapi usaha itu melalui inisiatif pemulihan, termasuk penyediaan khidmat kesihatan, ruang pembelajaran serta sokongan psikososial bagi kanak-kanak dan keluarga yang terpaksa dipindahkan, selain keperluan keutamaan lain.

Dana yang dikumpulkan akan diagihkan sama rata, dengan setiap pihak menerima 50 peratus.

Orang ramai boleh membuat sumbangan menerusi pelbagai saluran:

– PayNow ke RLAF menerusi nombor UEN 200910530ZRLA dan nyatakan ‘AIDFORGAZA2026’ dalam kotak komen;

– Laman web, Giving.sg di pautan, https://tinyurl.com/aidforgaza2026;

– Laman web RLAF di pautan, https://tinyurl.com/aidforgaza26;

– Pemindahan bank ke Akaun Semasa OCBC: 601313315001.

– Hantar cek kepada RLAF dengan menulis nama penderma, nombor telefon serta ‘AIDFORGAZA2026’ ke alamat RLAF, Masjid Yusof Ishak, No 10 Woodlands Drive 17, Level 4, Singapura 737740.

Selain sumbangan secara dalam talian dan pemindahan bank, RLAF juga akan menganjurkan kutipan derma di masjid-masjid terpilih dari 16 hingga 22 Januari.

Kotak derma akan ditandakan dengan logo RLAF serta tujuan rayuan tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg