Topik diikuti
Pergi ke BHkuRLAF kumpul lebih $1.5j bagi bantuan kemanusiaan di Gaza
RLAF kumpul lebih $1.5j bagi bantuan kemanusiaan di Gaza
Dana RLAF disalurkan kepada pembangunan prasarana dan khidmat kemanusiaan di Gaza
RLAF kumpul lebih $1.5j bagi bantuan kemanusiaan di Gaza
Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) berjaya mengumpulkan lebih $1.5 juta bagi kempen ‘Aid for Gaza 2026’.
Dana sebanyak $1,508,632.69 secara keseluruhan itu, yang dikumpulkan dari 8 Januari hingga 31 Mac, akan disalurkan kepada pembangunan prasarana serta khidmat dan bantuan kemanusiaan yang penting, berikutan gencatan senjata konflik Israel-Gaza itu pada penghujung 2025.
Ini termasuk pembinaan tempat berteduh dan dapur masyarakat, serta untuk menjayakan program pemulihan, ruang pembelajaran dan sokongan psikososial untuk kanak-kanak dan keluarga yang terjejas di Gaza, jelas RLAF.
Usaha pengumpulan dana itu merupakan hasil kerjasama dengan Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC).
Hasil kutipan derma yang diraih akan dibahagikan secara sama rata antara kedua-dua pertubuhan tersebut, iaitu sekitar $754,316 bagi setiap pertubuhan, untuk memastikan bantuan disampaikan ke Gaza secara berkesan, kata RLAF.
Unicef merupakan yang pertama antara dua pertubuhan itu untuk menerima sumbangan perkongsian tersebut, dengan wakilnya hadir di satu majlis penyerahan cek yang diadakan di Hab Islam Singapura di Braddell Road pada 8 April.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, hadir selaku tetamu kehormat untuk merasmikan majlis tersebut.
Ditemui media, beliau berkata usaha hasil kempen tersebut bukan sahaja mencerminkan sifat murah hati para penderma, malah komitmen berterusan Singapura untuk menyokong masyarakat yang memerlukan di merata dunia.
“Kami berharap dana ini akan membantu mereka yang terjejas di Gaza untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan asas dan menyokong usaha pembinaan semula,” kata beliau.
Menurut RLAF, sebahagian dana tersebut telah dikumpul melalui kutipan derma semasa solat Jumaat di masjid-masjid dari 16 hingga 22 Januari, dan kutipan derma khas oleh Masyarakat Islam India pada 17 Mac.
“Usaha ini dapat dilaksanakan dengan hasil kepercayaan para penderma terhadap badan-badan seperti RLAF, Unicef dan ERC, serta keyakinan bahawa bantuan akan disalurkan dengan penuh amanah, keprihatinan dan profesionalisme kepada mereka yang paling memerlukannya.
“Usaha bersama seperti ini mampu membawa perubahan yang bermakna,” tambah Dr Faishal.
RLAF menambah bahawa kempen terkini juga menandakan peralihan daripada usaha bantuan kecemasan kepada penyediaan dana pemulihan yang mampan.
Dr Faishal turut menyeru agar semua terus menyokong usaha kemanusiaan, serta mendoakan untuk kesejahteraan masyarakat yang ditimpa musibah.
RLAF, dengan sokongan masyarakat dan rakan seperjuangan, telah berjaya mengumpul lebih $15.4 juta untuk Gaza menerusi empat kempen sebelum ini sejak November 2023.
Baki separuh lagi dana ‘Aid for Gaza 2026’ akan diserahkan kepada ERC dalam satu lagi majlis pada masa hadapan.
