SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Rang undang-undang amalan veterinar dilulus, tubuh Majlis Veterinar pada 2026

Rang undang-undang amalan veterinar dilulus, tubuh Majlis Veterinar pada 2026

Apr 8, 2026 | 6:20 PM

Rang undang-undang amalan veterinar dilulus, tubuh Majlis Veterinar pada 2026

amalan veterinar
Bagi mengawal selia dan mempertingkat amalan perubatan veterinar di Singapura, satu Majlis Veterinar akan ditubuhkan pada 2026. - Foto fail

Satu Majlis Veterinar akan ditubuhkan pada 2026 bagi menguruskan pendaftaran doktor veterinar, menetapkan piawaian tingkah laku profesional dan keperluan bagi peningkatan kemahiran.

Majlis itu juga akan melantik badan yang diperlukan bagi prosiding tatatertib terhadap salah laku dan kecuaian doktor veterinar.

Ia bertujuan mengawal selia dan mempertingkat amalan perubatan veterinar di Singapura.

Langkah tersebut merupakan peringkat pertama bagi Rang Undang-Undang Amalan Veterinar yang diluluskan di Parlimen pada 8 April, kata Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan.

Peruntukan selebihnya, termasuk sistem pendaftaran dan rangka kerja tatatertib bagi doktor veterinar, akan bermula pada 2027.

“Sepanjang dua dekad lalu, jumlah doktor veterinar berlesen telah meningkat lebih daripada lima kali ganda. Terdapat hampir 700 doktor veterinar berlesen setakat akhir 2025.

“Rang undang-undang ini menandakan satu pencapaian penting dalam kematangan sektor veterinar kita.

“Ia akan memperkukuh kebertanggungjawapan profesional, menyokong hasil kesihatan dan kebajikan haiwan lebih baik, serta mengekalkan keyakinan orang awam terhadap sektor ini,” kata Encik Tan.

Majlis itu akan merangkumi gabungan ahli profesional dan pegawai awam yang termasuk sekurang-kurangnya empat doktor veterinar lain dan sekurang-kurangnya dua ahli bukan veterinar.

Antara ciri utama dalam rang undang-undang baru itu membabitkan pendaftaran pakar baru, yang bukan sebahagian rangka kerja pelesenan sedia ada bagi doktor veterinar di bawah Akta Haiwan dan Burung (ABA).

Ia merupakan satu daripada tiga kelas pendaftaran doktor veterinar, yang mana dua kelas lagi adalah pendaftaran penuh dan doktor veterinar dengan pendaftaran terhad.

Pendaftaran pakar terbuka kepada doktor berdaftar penuh yang mempunyai kelayakan possiswazah tambahan atau kemahiran khas dalam bidang tertentu yang membenarkan mereka menggunakan gelaran pakar, seperti veterinar oftalmologi atau patologi.

Sementara itu, pendaftaran penuh ditetapkan bagi doktor yang mempunyai kelayakan yang diiktiraf, setaraf dengan kriteria pelesenan Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) sedia ada, serta memiliki pengetahuan dan pengalaman yang mencukupi.

Kelas terakhir, iaitu pendaftaran terhad, adalah bagi doktor yang mempunyai kelayakan veterinar tetapi tidak memenuhi syarat pendaftaran penuh.

Mereka hanya boleh bertugas di bawah seliaan doktor berdaftar penuh atau di premis tertentu, seperti taman haiwan atau institut penyelidikan, kata Encik Tan.

Selain itu, bagi memastikan doktor veterinar terus menambah baik serta mengemas kini pengetahuan dan kemahiran mereka, doktor veterinar berdaftar juga mesti mendapatkan Sijil Amalan (PC) daripada Majlis Veterinar.

Doktor veterinar wajib memperbaharui PC mereka secara berkala dan memenuhi syarat pendidikan profesional berterusan yang mandatori.

“Keperluan ini memastikan kecekapan yang berterusan dan telah dilaksanakan pada masa ini bagi doktor veterinar berlesen AVS.

“Majlis akan memberikan penjelasan lanjut mengenai keperluan ini apabila ia siap kelak.

“Dengan rangka kerja baru ini, orang awam dapat mengetahui dengan lebih jelas tentang kedudukan profesional dan tahap kecekapan seseorang doktor veterinar,” tambah Encik Tan.

Memandangkan terdapat pertumbuhan dalam pelbagai perkhidmatan berkaitan haiwan yang ditawarkan individu bukan veterinar, kesalahan dan penalti akan diperkenalkan untuk melindungi daripada amalan tidak sah dan salah gambaran oleh atau mengenai individu yang tidak dibenarkan.

Lantas, penalti kewangan maksimum akan dinaikkan kepada $50,000, peningkatan sebanyak $40,000 berbanding penalti tahap semasa iaitu sebanyak $10,000.

Penalti kewangan tersebut memperkukuh kesan pencegahan terhadap motif berasaskan keuntungan dan telah diukur berdasarkan penalti yang dikenakan dalam profesion penjagaan kesihatan manusia.

Ia juga satu kesalahan bagi orang lain, seperti pemilik perniagaan dan majikan, untuk membuat dakwaan palsu bahawa pekerja mereka berkelayakan.

Ini bertujuan memberi jaminan kepada orang awam bahawa haiwan mereka menerima rawatan daripada doktor veterinar yang benar-benar berkelayakan.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg