Operasi menangkap tiga ekor anjing di sebuah ladang di Seletar West oleh seorang kontraktor Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) baru-baru ini dijalankan mengikut protokol sedia ada, kata Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan.
Pada November 2025, salah seekor anjing, dikenali Baby Boy atau Fluffy, mati selepas diserahkan daripada AVS kepada pertubuhan kebajikan haiwan Causes for Animals Singapore (CAS) untuk penempatan semula di bawah program Trap-Neuter-Rehome/Release-Manage (TNRM).
Berucap di Parlimen pada 12 Januari, Encik Tan berkata ketiga-tiga anjing liar itu terlibat dalam beberapa insiden mengejar dan menggigit, serta operasi tersebut dijalankan dengan selamat di bawah pengawasan kakitangan AVS.
“Operasi tersebut dijalankan dengan selamat di bawah pengawasan kakitangan AVS dan selaras dengan protokol sedia ada di bawah TNRM, yang merangkumi pematuhan terhadap piawaian Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (Woah) bagi kawalan populasi anjing liar, bagi memastikan gelung dawai atau tali yang tidak dilindungi tidak digunakan dalam proses penangkapan.
“Selain itu, dengan mengambil kira keselamatan anggota dan haiwan dalam menentukan prosedur kawalan, AVS akan terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan TNRM dalam pengurusan anjing yang berkeliaran bebas bagi melindungi keselamatan awam serta kesejahteraan anjing-anjing tersebut,” katanya.
Beliau juga menambah, pemerintah berhasrat untuk menyemak semula protokol bersama serta memperbaiki komunikasi dan koordinasi, selain memperkukuh saluran kerjasama yang sedia ada.
Selepas berada di bawah jagaan AVS dari 14 hingga pagi 21 November, anjing itu diserahkan kepada CAS bagi menyertai program TNRM.
AVS, di bawah Lembaga Taman Negara, berkata mereka telah berkongsi keputusan ujian darah - yang menunjukkan anemia sederhana serta beberapa keradangan dalaman -dengan klinik veterinar yang dikenal pasti oleh CAS.
Anjing itu kemudiannya dibawa ke klinik veterinar swasta selepas diambil oleh CAS.
Di klinik berkenaan, anjing tersebut mengalami henti jantung ketika diletakkan di bawah sedasi.
Dua lagi anjing masih berada di bawah jagaan AVS dan didapati berada dalam keadaan baik.
Anggota Parlimen (AP) Nee Soon GRC, Lee Hui Ying, turut menyoal penilaian keberkesanan program menangkap, mensterilkan dan menempatkan semula anjing liar setakat ini, serta apa yang akan diliputi dalam semakan itu.
Encik Tan menjawab:
“Sememangnya terdapat banyak perbincangan dan kerjasama antara AVS dengan kumpulan kebajikan haiwan, dan oleh itu kami juga sedang menambah baik protokol TNRM.”
Beliau menambah semakan itu akan merangkumi penambahbaikan protokol, termasuk menilai pelbagai kaedah penangkapan, serta bagaimana meningkatkan kerjasama dan koordinasi antara AVS dengan kontraktor.
Ditubuhkan sejak 2018, Encik Tan berkata program TNRM telah menangkap 4,470 ekor anjing, menempatkan semula 2,048 ekor anjing, serta mensterilkan 80 peratus populasi anjing yang berkeliaran bebas - melebihi sasaran 70 peratus yang ditetapkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg