SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Puan Halimah gesa pemimpin S’pura sedia tangani gangguan bekalan tenaga berlarutan

Puan Halimah gesa pemimpin S’pura sedia tangani gangguan bekalan tenaga berlarutan

Canselor SUSS turut tekankan kepentingan cari jalan tengah konflik Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran yang boleh pecah belah masyarakat
Apr 1, 2026 | 7:19 PM

Puan Halimah gesa pemimpin S’pura sedia tangani gangguan bekalan tenaga berlarutan

DBS, Halimah Yacob, Tan Su Shan, fireside chat, SUSS
Mantan Presiden, Puan Halimah Yacob (kanan), dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBS, Cik Tan Su Shan, membincangkan beberapa isu termasuk kepimpinan wanita dan negara, dalam satu sesi sembang santai atau ‘fireside chat’ pada 1 April. - Foto DBS

Walaupun Singapura kecil, ia berupaya menangani gangguan bekalan tenaga dunia yang berpunca daripada ketegangan geopolitik semasa dengan memanfaatkan kekuatan negara, sumber dan keupayaannya, kata mantan Presiden, Puan Halimah Yacob.

Beliau menambah gangguan itu mungkin mengambil masa bertahun lamanya untuk diperbaiki, justeru kepimpinan Singapura perlu bersedia dalam semua sektor dan menyesuaikan dasar sewajarnya, tanpa menganggap ia hanya sekadar gangguan sementara.

Puan Halimah, yang juga Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), turut menyatakan konflik Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran boleh memecahbelahkan masyarakat, dan beliau menekankan kepentingan mencari jalan tengah.

“Peperangan semasa yang melibatkan serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran telah menjejas Selat Hormuz – laluan penting yang dilalui sekurang-kurangnya 20 peratus bekalan minyak dunia.

“Sama ada kita suka atau tidak, kesannya sudah mula dirasai. Harga gas, elektrik dan bahan api semakin meningkat.

“Malah, kos harian juga bertambah, dan semuanya menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup.

“Kita bernasib baik kerana mempunyai kemajuan teknologi serta keupayaan untuk bertindak balas terhadap cabaran geopolitik dan geoekonomi.

“Kita mempunyai sumber yang mencukupi untuk cuba menanganinya. Oleh itu, kita perlu sentiasa bersedia, tidak kira dalam sektor apa sekalipun,” kongsi Puan Halimah.

Puan Halimah berkata demikian di sesi dialog sembang santai atau ‘fireside chat’, anjuran DBS Bank, sempena Hari Wanita Sedunia.

Sesi itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBS, Cik Tan Su Shan, dan berlangsung selama sejam di Auditorium DBS, Pusat Kewangan Marina Bay (MBFC) pada 1 April.

Ia turut dihadiri kakitangan DBS, selain pihak media.

Menjawab soalan mengenai cara tadbir yang mampan dan terangkum dalam keadaan ketegangan geopolitik yang sangat mencabar, Puan Halimah merujuk kepada 3P – Polarisasi, Polemik dan Pascakebenaran.

Dari sudut polarisasi, masyarakat kini sangat berpecah belah dalam banyak perkara, sama ada kaum, agama, ideologi, atau pelbagai hal lain, yang boleh mengheret orang ramai ke arah sudut ekstrem yang amat berbeza, kata Puan Halimah.

Dari sudut polemik pula, beliau berkata masyarakat mula hilang kepercayaan terhadap golongan yang dianggap sebagai ‘elit’– sama ada elit perniagaan, politik, atau masyarakat secara keseluruhan – kerana mereka menyifatkan golongan elit itu mungkin menjadi punca masalah.

Selain itu, beliau menerangkan pascakebenaran bermaksud fakta yang bukan lagi dianggap sebagai fakta.

“Sepatutnya, jika kita boleh bersetuju dengan sesuatu fakta, barulah kita boleh membina pendapat mengenainya.

“Namun kini, orang mempunyai pandangan berbeza terhadap fakta itu sendiri, yang membuat tugas pentadbiran menjadi amat sukar.

“Anda dapat melihat wujudnya kecenderungan ekstrem yang menarik masyarakat ke arah yang berbeza.

“Oleh itu, barisan kepimpinan perlu memastikan jalan tengah terus diperkukuh,” kongsi Puan Halimah.

Selain itu, sebagai mantan Speaker dan Presiden wanita pertama di Singapura, Puan Halimah menarik minat dan perhatian kakitangan DBS yang hadir untuk mengutarakan soalan mengenai cara ibu bapa dapat membina masa hadapan yang cerah bagi kanak-kanak perempuan serta bagaimana beliawanis dapat membina daya tahan, terutama dengan perubahan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Sebagai respons, beliau berkata masa hadapan yang lebih baik untuk kanak-kanak perempuan bermula dengan memberi mereka ruang untuk bertanya, berhujah dan berfikir secara kritikal, termasuk di rumah.

“Berikan mereka peluang untuk menghadapi cabaran sebenar agar mereka dapat membina keberanian dan keupayaan untuk bertindak sendiri,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Puan Halimah menambah, AI membawa manfaat besar, namun ia datang seiring gangguan dan risiko serius terhadap pekerjaan, kesaksamaan jantina, dan ketagihan dalam diri kanak-kanak.

Beliau menasihati agar wanita muda dalam sektor yang banyak dipengaruhi AI mengenal pasti risiko, meningkatkan kemahiran dan mempersiapkan diri untuk merebut peluang pekerjaan baharu yang muncul.

AI dan geopolitik dijangka akan mengganggu pasaran pekerjaan serta meningkatkan kos sara hidup, di samping berpotensi memperdalam jurang ketidaksamaan.

Pemerintah, institusi kewangan dan masyarakat perlu menetapkan garis panduan, pasukan petugas serta sistem sokongan yang kukuh untuk menangani isu tersebut, kata beliau.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg