Topik diikuti
Pergi ke BHkuPritam diberi surat teguran susulan keputusan panel disiplin
Pritam diberi surat teguran susulan keputusan panel disiplin
Pritam diberi surat teguran susulan keputusan panel disiplin
Parti Pekerja (WP) telah mengeluarkan surat teguran rasmi kepada ketuanya, Encik Pritam Singh, setelah selesai prosiding disiplin terhadapnya.
Dalam satu kenyataan pada 30 April, WP berkata panel disiplin (DP) itu telah mendapati Encik Pritam telah melanggar dua perkara Perlembagaan parti tersebut.
Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) WP – badan tertinggi parti itu – telah menerima dapatan panel itu selepas bermesyuarat pada 28 dan 29 April untuk mempertimbangkan laporannya.
Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim; naib pengerusinya, Encik Faisal Manap; dan Encik Pritam telah menarik diri daripada mesyuarat CEC, kata parti itu.
Dalam kenyataannya, WP berkata CEC telah secara berasingan mempertimbangkan bahawa Encik Pritam “tidak mempunyai niat untuk bertindak dengan cara yang bertentangan dengan prinsip, matlamat atau objektif parti, atau memudaratkan kebajikan parti”.
Ia menambah bahawa tindakannya akhirnya “mencerminkan keputusan penghakiman yang perlu dibuatnya”.
Sebelum ini pada 4 April, WP berkata notis persidangan anggota kader, yang dimohon oleh sekumpulan anggota kadernya, akan dikeluarkan dalam tempoh dua minggu selepas DP membentangkan laporan akhir dan cadangannya kepada CEC.
Antara isu yang ingin dibangkitkan di persidangan anggota kader adalah sama ada Encik Pritam harus meletak jawatan sebagai ketua parti.
DP itu, yang terdiri daripada Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, Cik He Ting Ru dan Profesor Madya Jamus Lim, serta mantan AP Hougang, Encik Png Eng Huat, dibentuk oleh CEC pada Januari selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan Encik Pritam pada Disember 2025 susulan rayuannya.
Mahkamah mendapati bahawa Encik Pritam telah mendorong mantan AP Cik Raeesah Khan, untuk mengekalkan pembohongan yang diceritakannya di Parlimen pada Ogos 2021, dan bahawa beliau berbohong kepada jawatankuasa itu tentang tindakannya memintanya supaya berterus terang.
Pada Januari, kesemua 11 AP WP yang hadir di Parlimen mengundi dan menentang usul yang dikemukakan oleh Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah, yang mendapati Encik Pritam tidak sesuai untuk meneruskan jawatan Ketua Pembangkang (LO).
Susulan itu, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 15 Januari telah melucutkan Encik Pritam daripada jawatan tersebut, atas alasan sabitan jenayahnya dan berdasarkan pendapat Parlimen.
Encik Wong telah menjemput WP untuk mencalonkan seorang AP untuk mengisi jawatan LO, tetapi parti itu menolak, menyebabkan jawatan itu kekal kosong.
