Topic followed successfully
Go to BHkuPanel disiplin WP selesai siasat jika Pritam langgar perlembagaan parti
Panel disiplin WP selesai siasat jika Pritam langgar perlembagaan parti
Laporan akhir akan dibentang kepada jawatankuasa eksekutif pusat parti pada Apr
Panel disiplin WP selesai siasat jika Pritam langgar perlembagaan parti
Sebuah panel disiplin yang meneliti sama ada ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh telah melanggar perlembagaan parti, selepas sabitan kesalahannya kerana berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen, telah selesai siasatannya.
Dalam satu kenyataan pada 4 April, WP berkata panel itu akan membentangkan laporan akhir dan cadangannya kepada jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti pada April.
Notis persidangan anggota kader, yang dimohon oleh sekumpulan anggota kadernya, akan dikeluarkan dalam tempoh dua minggu selepas itu.
Panel disiplin, yang terdiri daripada Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, Cik He Ting Ru dan Profesor Madya Jamus Lim, serta mantan AP Hougang, Encik Png Eng Huat, dibentuk oleh CEC pada Januari selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan Encik Pritam pada Disember 2025 susulan rayuannya.
Mahkamah mendapati bahawa Encik Pritam telah mendorong mantan AP Cik Raeesah Khan, untuk mengekalkan pembohongan yang diceritakannya di Parlimen pada Ogos 2021, dan bahawa beliau berbohong kepada jawatankuasa itu tentang tindakannya memintanya supaya berterus terang.
Apabila pembentukan panel disiplin diumumkan pada 3 Januari, WP berkata CEC telah menetapkan garis masa proses disiplin itu akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan, “untuk mengelakkan kelewatan yang tidak wajar”.
Panel itu terdiri daripada anggota kanan parti iaitu Cik He, bendahari WP, manakala Profesor Madya Lim berkhidmat sebagai timbalan ketua penyelidikan dasar.
Encik Png merupakan AP Hougang selama lapan tahun sebelum berundur diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020).
Beliau juga merupakan anggota badan pembuat keputusan tertinggi parti itu hingga 2022, dan kekal sebagai tokoh yang dihormati dalam WP.
WP juga berkata pada masa itu CEC membuat kesimpulan bahawa adalah wajar untuk mengadakan persidangan anggota kader khas selepas panel disiplin menyelesaikan kerjanya, memandangkan keperluan untuk proses sewajarnya.
Surat yang menyeru diadakan persidangan itu ditandatangani oleh lebih 20 kader, lapor The Straits Times.
Antara isu yang mereka harap dapat dibangkitkan adalah sama ada Encik Pritam harus meletak jawatan sebagai ketua parti.
Pada Januari, kesemua 11 AP WP yang hadir di Parlimen mengundi dan menentang usul yang dikemukakan oleh Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah, yang mendapati Encik Pritam tidak sesuai untuk meneruskan jawatan Ketua Pembangkang (LO).
Susulan itu, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 15 Januari telah melucutkan Encik Pritam daripada jawatan tersebut, atas alasan sabitan jenayahnya dan berdasarkan pendapat Parlimen.
PM Wong telah menjemput WP untuk mencalonkan seorang AP untuk mengisi jawatan LO, tetapi parti itu menolak, menyebabkan jawatan itu kekal kosong.

