Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis S’pura, M’sia tumpas sindiket ubah wang haram di JB

Aug 19, 2024 | 5:19 PM
Warga Malaysia, Besmond Huan Yu Kang (tengah), 22 tahun, ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram menggunakan akaun bank Singapura.
Warga Malaysia, Besmond Huan Yu Kang (tengah), 22 tahun, ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram menggunakan akaun bank Singapura. - Foto SPF

Satu sindiket berpangkalan di Johor Bahru yang disyaki melakukan pengubahan wang haram hasil penipuan ditumpaskan menyusuli satu operasi bersama oleh polis Singapura dan Malaysia.

Seramai 12 warga Malaysia ditahan dalam satu serbuan pada 9 Ogos kerana disyaki terlibat dalam pelbagai kegiatan pengubahan wang haram menggunakan akaun bank Singapura.

Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan pada 18 Ogos, ia bekerja rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk berkongsi maklumat penting mengenai kes penipuan.

Melalui penyiasatan dan pengumpulan bukti, pasukan polis dari kededua negara itu mengenal pasti satu sarang kegiatan mengubah wang haram yang beroperasi di Johor, Malaysia.

Pegawai PDRM daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Johor menyerbu dua lokasi di negeri itu pada 9 Ogos dan menahan suspek tersebut.

Salah seorang yang ditahan, Besmond Huan Yu Kang, 22 tahun, diekstradisi ke Singapura pada 18 Ogos dan didakwa di Mahkamah Daerah di sini pada 19 Ogos.

Menurut SPF, Huan dipercayai bertanggungjawab membawa warga asing ke Singapura untuk membuka akaun bank bagi memudahkan kegiatan mengubah wang haram hasil penipuan.

Huan menghadapi satu tuduhan kerana menjadi sebahagian daripada komplot jenayah untuk memperoleh maklumat perbankan dalam talian dan mendapatkan akses tanpa kebenaran kepada maklumat dalam komputer.

Dia didakwa bersubahat dengan, Tan Kang Yung, dan beberapa individui lain, untuk mendapatkan pengenalan pengguna dan kata laluan bagi sebilangan akaun bank Singapura, lapor The Straits Times (ST).

Kertas tuduhan terhadapnya tidak menyatakan jumlah wang yang dipercayai diubah secara haram melalui akaun bank tersebut.

Huan kini ditahan dan kesnya akan didengar lagi pada 23 Ogos.

Jika disabit kesalahan, dia boleh dipenjara hingga tiga tahun dan didenda.

Pengarah Jabatan Ehwal Komersial (CAD) SPF, Encik David Chew, menyifatkan sindiket tersebut sebagai pemain utama dalam pergerakan dana haram.

Menurut beliau, akaun bank Singapura yang disyaki disediakan oleh sindiket itu digunakan untuk mengubah wang haram hasil pelbagai penipuan melalui sistem kewangan Singapura.

SPF akan terus bekerja rapat dengan PDRM untuk mengesan dan menghalang kegiatan sindiket jenayah merentasi sempadan, tambahnya.

“Tidak ada tempat selamat bagi mereka yang cuba menyalahgunakan kepercayaan dan keselamatan institusi kewangan kita,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg