Kesatuan Sekerja Persekitaran Binaan dan Perdagangan Bandar (Batu) kekal berpandangan jauh, dengan menerapkan teknologi dan bekerjasama rapat dengan golongan majikan bagi mereka bentuk semula tugas supaya pekerja dapat meraih manfaat daripada transformasi industri.

Menyatakan demikian dalam hantaran di Facebook pada 27 April, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menambah, Batu bermula dengan mewakili pekerja dalam industri binaan dan kayu balak, dan sejak itu, berkembang merangkumi khidmat alam sekitar, pembersihan, kemudahan, serta pengurusan hartanah.

“Mereka ini adalah pekerja penting yang memastikan Singapura selamat, bersih, dan berjalan lancar,” kata Encik Wong.

Dalam hantaran yang sama, beliau telah menyerahkan jawatannya sebagai Penasihat Kesatuan kepada Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, sebagai Pengerusi Majlis Penasihat.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, turut menyertai Majlis Penasihat tersebut.

“Terima kasih kepada saudara saudari kami di Batu atas dedikasi, perpaduan, dan usaha anda dalam membantu memastikan Singapura terus teguh!” tambah Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

Awal sebelum itu, dalam satu hantaran berasingan di Facebook pada Februari 2026, Cik Indranee, yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), hadir pada sambutan Tahun Baru Cina anjuran Batu.

Menurutnya, tenaga kerja persekitaran binaan merupakan tulang belakang kemajuan Singapura yang telah membina rumah, membentuk latar langit, dan memastikan prasarana berjalan lancar.

Ditubuhkan pada 1982, Batu merupakan kesatuan industri di bawah naungan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), yang mewakili pekerja dalam sektor pembinaan, pengurusan prasarana, perkhidmatan alam persekitaran, landskap dan perindustrian kayu balak.