Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong: New Zealand, S’pura boleh kerjasama lebih dalam AI
PM Wong: New Zealand, S’pura boleh kerjasama lebih dalam AI
PM Wong: New Zealand, S’pura boleh kerjasama lebih dalam AI
New Zealand dan Singapura boleh merebut peluang baru bersama dalam pelaksanaan kecerdasan buatan (AI), kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong pada 4 Mei.
Terdapat sinergi bagi kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam hal itu apabila mereka meneroka kerjasama dalam ekonomi digital, tambahnya.
“Sebagai dua ekonomi kecil dan terbuka, kami tidak mungkin dapat membina model asas yang terbesar, tetapi kami boleh menjadi pemimpin dalam pelaksanaan AI, dalam penggunaannya,” katanya kepada pemimpin perniagaan dan politik pada pembukaan Forum Kepimpinan Singapura-New Zealand.
Singapura telah pun mengambil langkah dalam bidang tersebut apabila baru-baru ini menubuhkan Majlis Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan untuk memajukan penggunaan AI dalam perkilangan termaju, kewangan, penjagaan kesihatan dan logistik, kata Encik Wong.
Bidang lain yang boleh diusahakan bersama oleh kedua-dua negara adalah ekonomi hijau dan ketahanan rantaian bekalan, katanya.
Sebagai sebahagian daripada usaha untuk bekerjasama, perniagaan dari Singapura dan New Zealand juga harus melihat lebih jauh ke rantau yang lebih luas untuk peluang pertumbuhan, kata Encik Wong.
Asean mempunyai potensi pertumbuhan yang luar biasa dan banyak peluang kerjasama yang belum dimanfaatkan, katanya, menambah bahawa Singapura boleh berfungsi sebagai pangkalan serantau yang berguna bagi syarikat New Zealand untuk beroperasi dan berkembang ke Asia Tenggara.
Forum itu diadakan semasa lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri New Zealand, Encik Christopher Luxon ke Singapura, di mana beliau dan Encik Wong menyaksikan perjanjian perdagangan mengenai bekalan penting.
Encik Wong berkata cabaran seperti pandemik Covid-19, dan baru-baru ini, gangguan akibat krisis Timur Tengah, merupakan peringatan bahawa kejutan sedemikian bukan sesuatu yang berlaku sekali sahaja, dan semakin menjadi sebahagian daripada norma baru dalam persekitaran perniagaan.
“Secara keseluruhannya, dunia sedang mengalami perubahan mendasar. Oleh itu, pemerintah dan perniagaan sama-sama perlu menyesuaikan diri. Dalam persekitaran yang lebih tidak menentu ini, rakan kongsi yang dipercayai lebih penting berbanding sebelumnya,” katanya kepada peserta forum yang diadakan di Shangri-La Singapura.
“Kita perlu mempelbagaikan, mengurangkan risiko dan membina ketahanan dalam sistem kita,” katanya.
“Pemerintah perlu berbuat demikian, saya pasti perniagaan juga perlu melakukannya, sebagai sebahagian daripada pelan kesinambungan perniagaan anda, dan tiada cara yang lebih baik untuk melakukannya selain bekerjasama dengan rakan kongsi yang dipercayai.”
“Singapura dan New Zealand mesti bekerjasama rapat dan kami akan berbuat demikian,” tambah Encik Wong, yang rakan sejawatnya dari New Zealand turut berucap pada acara itu.
Lawatan Encik Luxon itu membina atas Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) yang dimeterai oleh kedua-dua perdana menteri pada Oktober 2025.
Kedua-dua pemimpin mengadakan Mesyuarat Pemimpin Tahunan Sulung pada 4 Mei, dan menyaksikan penandatanganan perjanjian yang akan memastikan aliran perdagangan bekalan penting.
Forum kepimpinan itu, yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Singapura, Enterprise Singapore (EnterpriseSG), Persekutuan Perniagaan Singapura serta New Zealand, pertama kali diumumkan di bawah CSP.
Forum itu menjadi platform bagi pemimpin perniagaan kanan dari kedua-dua negara untuk membincangkan peluang perdagangan dan pelaburan dalam industri seperti makanan dan pertanian, penerbangan, bioteknologi, logistik dan teknologi.
