Perdana Menteri New Zealand, Encik Christopher Luxon, akan berada di Singapura dari 3 hingga 5 Mei bagi menyaksikan kedua-dua negara memperkukuh perkongsian mereka melalui satu perjanjian yang akan menjamin kelancaran aliran perdagangan bekalan penting.

Lawatan rasmi selama tiga hari itu menyusuli Perkongsian Strategik Menyeluruh (CSP) yang dimeterai kedua-dua negara pada Oktober 2025, lapor Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada 3 Mei. 

Kedua-dua pihak sebelum ini berikrar untuk bekerjasama lebih erat dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, keselamatan, inovasi, dan daya tahan rantaian bekalan.

Pada 4 Mei, Encik Luxon dan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan mengadakan Pertemuan Tahunan Pemimpin yang diadakan buat julung kali.

Ini selain menyaksikan majlis menandatangan Perjanjian Perdagangan Bekalan Penting, menurut MFA. 

Kedua-dua pemimpin juga akan berucap dalam satu sidang media bersama.

Perjanjian ini, pertama kali diumumkan semasa pertemuan kedua-dua pemimpin di New Zealand pada Oktober 2025 yang bertujuan mengehadkan kesan gangguan rantaian bekalan. 

Ia juga bagi memastikan aliran barangan penting seperti makanan, bahan api, dan perubatan akan terus berjalan lancar antara Singapura dengan New Zealand, meskipun dalam keadaan krisis.

Kedua-dua negara sebelum ini telah mengekalkan aliran perdagangan tanpa gangguan semasa pandemik Covid-19. 

Makanan seperti telur, buah-buahan, dan daging telah diterbangkan dari New Zealand ke Singapura, manakala produk penting lain termasuk bekalan perubatan turut dibekalkan oleh kedua-dua pihak.

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, akan menyampaikan ucapan bersama Encik Luxon di majlis perasmian Forum Kepimpinan Singapura-New Zealand.

Forum tersebut merupakan wadah bagi pemimpin pengurusan atasan (C-suite) dari kedua-dua negara untuk membincangkan peluang perdagangan dan pelaburan.

Lawatan Encik Luxon merupakan perkembangan terkini dalam siri penglibatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara.

Selain pemeteraian CSP di Auckland pada Oktober 2025, kedua-dua pemimpin tersebut turut mengadakan pertemuan di luar acara Mesyuarat Pemimpin Ekonomi, Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) pada November lalu.

Pada Mac, Encik Wong mengadakan perbincangan di telefon dengan Encik Luxon bagi membincangkan perkembangan di Timur Tengah. 

Pada 4 Mei, Perdana Menteri New Zealand itu akan diraikan dalam satu majlis makan tengah hari oleh Encik Wong, kata MFA.

Semasa tempoh lawatannya, Encik Luxon akan membuat kunjungan ke galeri ExxonMobil dan JTC Corporation di Jurong Island, Pangkalan Tentera Changi serta Gardens by the Bay.

Pada 5 Mei, Encik Luxon dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Tharman Shanmugaratnam dan bertemu dengan Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng.

Kedua-dua negara berkongsi hubungan yang telah lama terjalin. 

Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala Singapura pertama, yang mula berkuat kuasa pada Januari 2001, adalah dengan New Zealand.

Pada 2025, New Zealand merupakan rakan dagang barangan ke-31 terbesar bagi Singapura, manakala Singapura merupakan destinasi eksport kesembilan terbesar dan ekonomi sumber import keenam terbesar bagi New Zealand.