Topik diikuti
Pergi ke BHku18,000 flat dipilih jalani peningkatan di bawah HIP
18,000 flat dipilih jalani peningkatan di bawah HIP
Hampir 409,000 flat dipertingkat sejak 2007; sekitar $5b dibelanja sehingga Mac 2025
18,000 flat dipilih jalani peningkatan di bawah HIP
Sekitar 18,000 flat serata Singapura telah dipilih untuk menjalani kerja peningkatan di bawah Program Peningkatan Rumah (HIP) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Flat tersebut terletak di estet perumahan Bedok, Bukit Batok, Bishan, Jurong West, Pasir Ris, Sengkang, Serangoon, Tampines dan Woodlands.
Kerja-kerja peningkatan termasuk penambahbaikan struktur, dan pemilik rumah boleh memilih peningkatan bersubsidi bagi tandas atau bilik air, kata Menteri Kedua Pembangunan Negara, Cik Indranee Rajah pada 16 Mei.
HDB berkata pemerintah memperuntuk $253 juta bagi kerja peningkatan itu.
HIP dilancar pada 2007 dan bertujuan menangani isu-isu penyenggaraan seperti konkrit yang terkopak dan siling bocor.
Bercakap di sebuah acara masyarakat di Bukit Batok East Nature View, Cik Indranee berkata sekitar 409,000 telah dipertingkat sejak HIP dilancar, dengan sekitar $5 bilion dibelanjakan oleh pemerintah bagi tujuan itu.
Di Bukit Batok East, lebih 1,600 isi rumah daripada 14 blok perumahan telah dipilih untuk menjalani HIP yang akan datang ini, kata Cik Indranee.
Di bawah HIP, flat dipilih untuk menjalani peningkatan berdasarkan usia mereka.
Proses pemilihan kemudian diadakan dalam kalangan penduduk.
Peningkatan hanya akan dijalankan jika sekurang-kurangnya 75 peratus isi rumah warga Singapura yang layak, memilih peningkatan yang ditawarkan itu.
HIP dibahagikan kepada dua bahagian iaitu penambahbaikan wajar dan penambahbaikan tidak wajar, kata Cik Indranee.
Penambahbaikan wajar termasuk kerja-kerja membaiki konkrit yang terkopak atau retakan pada struktur yang bertujuan memastikan flat lebih berusia selamat didiami.
Kerja-kerja penambahbaikan sedemikian dibiayai sepenuhnya pemerintah bagi isi rumah warga Singapura.
Penambahbaikan tidak wajar pula merangkumi kerja-kerja penambahan seperti pagar dan pintu masuk baru dan peningkatan ke atas tandas dan bilik air.
Kerja-kerja sedemikian dibiayai pemerintah sehingga 95 peratus, bergantung pada jenis flat.
HDB berkata isi rumah yang dipilih menjalani HIP juga boleh memilih supaya ciri-ciri mesra warga emas dipasangkan di flat mereka menerusi program Peningkatan Bagi Warga Emas Aktif (Ease).
Cik Indranee berkata: “Ramai dalam kalangan anda tahu mengenai Ease, tetapi sebahagian mungkin tidak sedar Ease telah dipertingkat pada 2024 untuk merangkumi barangan mesra warga emas yang lebih luas, seperti suis rocker dan alat penggera kebakaran.
Suis rocker biasanya bersaiz lebih besar daripada suis biasa dan lebih mudah digunakan warga emas.
Peningkatan sedemikian bertujuan membantu lebih ramai warga emas supaya dapat menua di rumah sendiri dan dalam kejiranan masing-masing, sedang Singapura menjadi masyarakat amat menua pada 2026.
Ini bermakna 21 peratus atau lebih penduduknya berusia 65 tahun dan ke atas, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Program Ease turut menerima subsidi pemerintah, dan isi rumah warga Singapura hanya perlu membayar 5 hingga 12.5 peratus kos, bergantung pada jenis flat.
Penghuni HDB yang tidak dipilih menjalani HIP masih boleh memohon menjalani peningkatan di bawah program Ease (Pendaftaran Langsung) menerusi laman web HDB.
Sekitar 379,000 isi rumah telah meraih manfaat program Ease sejak ia dilancarkan pada 2012.
Menurut HDB, pemerintah telah berbelanja sekitar $190 juta untuk program tersebut sehingga akhir Mac 2025.
Selain HIP, Cik Indranee berkata Majlis Bandaran Jurong-Clementi-Bukit Batok akan mendapatkan maklum balas penduduk berhubung Program Pembaharuan Kejiranan (NRP) yang sedang dijalankan di kawasan itu.
Diperkenalkan pada 2007, kawasan yang dipilih menjalani NRP akan menerima kerja peningkatan seperti pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung, tempat menurunkan penumpang berbumbung dan kemudahan mesra warga emas.
Beberapa blok di Bukit Batok East Street 25 telah dipilih menjalani NRP pada Jun 2024.
Peningkatan di bawah NRP berdasarkan maklum balas penduduk dan dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah.
Pada April, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat mengumumkan 17 projek NRP di beberapa kawasan termasuk Canberra, Hougang dan Toa Payoh.
Bercakap kepada penduduk yang hadir di acara masyarakat pada 16 Mei, Cik Indranee menggesa mereka supaya berkongsi maklum balas mengenai usulan kemudahan di kawasan kejiranan mereka, termasuk kawasan bersenam, taman permainan dan laluan pejalan kaki berbumbung.
