Pemerintah sedang menyemak beberapa peraturan kelayakan utama bagi perumahan awam, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.
Ini termasuk menaikkan had pendapatan bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO); menurunkan had usia individu bujang yang boleh memohon flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB); dan melonggarkan tempoh menunggu 15 bulan bagi pemilik hartanah privet yang ingin berpindah ke flat jualan semula.
Di samping itu, pihak berkuasa akan turut mengkaji proses pengundian untuk Program Peningkatan Rumah (HIP), selepas dua blok HDB di Tiong Bahru pada November 2025 nyaris melepasi had pengundian 75 peratus yang diperlukan bagi program itu dijalankan, ujar Encik Chee.
Ditemui media semasa lawatannya ke estet BTO ParkEdge@Bidadari di Bartley Walk pada 8 Januari, Encik Chee berkata sebarang penyesuaian terhadap peraturan kelayakan utama bagi perumahan awam perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelakkan tekanan permintaan menjadi lebih tinggi.
Apatah lagi jika bekalan flat tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan meningkat, yang boleh menyebabkan tempoh menunggu menjadi lebih lama dan menjejas bilangan pemohon yang berjaya menempah flat.
“Kami sedang memantau keadaan dengan teliti dan meninjau data yang ada.
“Persoalan bilakah kita boleh melaksanakan langkah sedemikian juga akan bergantung pada keadaan pasaran… termasuk bekalan dan permintaan.
“Strateginya adalah untuk menambah bekalan (flat), memastikan bekalan flat BTO kukuh untuk memenuhi permintaan yang tinggi.
“Apabila keadaan pasaran sesuai, barulah kita akan meneliti kenaikan had pendapatan, penurunan had usia bagi individu bujang dan melonggarkan tempoh menunggu 15 bulan itu,” kata beliau.
Encik Chee turut menekankan ketiga-tiga langkah tersebut mungkin dilaksanakan secara berasingan dan tidak semestinya pada masa yang sama, sedang pemerintah terus berusaha mengekalkan kestabilan pasaran dan memberi keutamaan kepada pembeli kali pertama.
“Kami... akan melaksanakannya pada masa yang sesuai. Kami akan dipandu oleh data dan bukti yang ada.
“Namun, saya yakin jika trend semasa berterusan, kita akan dapat membuat langkah terhadap ketiga-tiga isu ini pada masa akan datang,” kata beliau.
Menyentuh tentang HIP pula, Encik Chee berkata pihak berkuasa perlu mengimbangi keperluan menaik taraf flat lama di samping menghormati keputusan pemilik flat.
“Kami maklum tentang pelaksanaan HIP baru-baru ini, dengan blok yang mempunyai bilangan unit lebih kecil mungkin menghadapi cabaran mendapatkan sokongan 75 peratus yang diperlukan bagi menjalankan HIP.
“Oleh itu, Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan HDB akan meneliti perkara ini.
“Kami juga akan berunding dengan pihak berkepentingan mengenai apakah cara yang lebih baik untuk menangani proses ini.
“Kami perlu mencapai keseimbangan dalam mereka bentuk proses pengundian agar dapat mencapai hasil yang baik,” kata beliau.
Sekitar 19,600 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) akan dilancarkan pada 2026, termasuk di Ang Mo Kio, Bukit Merah, Sembawang, Toa Payoh, Tampines, Woodlands dan Yishun.
Daripada jumlah itu, kira-kira 4,000 flat Masa Tunggu Lebih Singkat (SWT) akan ditawarkan, yang membolehkan pemohon menerima kunci flat baru mereka dalam tempoh kurang tiga tahun.
Flat tersebut akan dilancarkan dalam tiga latihan penjualan pada Februari, Jun dan Oktober, dan akan merangkumi gabungan flat Standard, Plus dan Prime.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg