Singapura tidak sekadar dibina atas asas toleransi antara agama, tetapi berkembang sebagai sebuah masyarakat yang berteraskan persahabatan tulen antara penganut pelbagai kepercayaan, kata Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Berucap di majlis Bridges of Faith sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 17 April, beliau menegaskan bahawa negara ini tidak pernah bercita-cita untuk hanya “bertahan” dalam kepelbagaian melalui toleransi semata-mata.

“Sebaliknya, kita memilih untuk menjadi sebuah komuniti antara agama yang berkembang melalui persahabatan sebenar,” ujar beliau.

Menurutnya, hubungan erat ini terbina melalui perkongsian pengalaman, dialog terbuka dan kerjasama berterusan antara pemimpin serta anggota masyarakat berbilang agama selama bertahun-tahun.

Beliau berkata, usaha tersebut telah melahirkan jaringan kukuh yang bukan sahaja terjalin dalam keadaan biasa, malah terbukti penting ketika menghadapi cabaran, termasuk semasa pandemik Covid-19.

Dalam konteks itu, Mufti menekankan bahawa keterbukaan untuk memahami perbezaan dan kesediaan mendengar pandangan orang lain merupakan satu amalan yang bukan sahaja sosial, malah mempunyai nilai keagamaan yang mendalam.

“Usaha menyambut dan memahami pihak lain, serta bekerjasama demi tujuan bersama, adalah sesuatu yang suci dalam ajaran agama,” katanya.

Acara tahunan anjuran Pusat Harmony yang berlangsung di Holiday Inn Singapore, Orchard City Centre itu menyaksikan sekitar 150 tetamu daripada pelbagai masyarakat berbilang agama di Singapura hadir sama meraikannya.

Majlis tersebut dihadiri Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, selaku tetamu terhormat.

Dalam catatan Facebook beliau pada 18 April Dr Faishal berkata keamanan yang dinikmati di Singapura tidak berlaku secara kebetulan. Sebaliknya ia dibina melalui usaha saban tahun untuk kepercayaan, saling menghormati dan persefahaman antara masyarakat.

“Seruan Mufti untuk solidariti dan ihsan meninggalkan kesan kepada saya. Ia mengingatkan kita bahawa nilai-nilai yang kita kongsi bersama seperti amanah, kesyukuran dan keikhlasan bukan hanya kata-kata kosong. Ia perlu membimbing cara kita berinteraksi, lagi-lagi dalam detik-detik mencabar.

“Keharmonian bukan sesuatu yang boleh kita anggap akan sentiasa ada. Kita perlu terus berusaha memupuknya melalui institusi kita, ruang-ruang masyarakat, dan dalam kehidupan harian kita,” kata Dr Faishal.

Sementara itu Mufti turut memberi penghargaan kepada Pusat Harmony yang menyambut ulang tahun ke-20 tahun ini, atas peranannya memperkukuh hubungan antara agama di Singapura.

Institusi tersebut telah memainkan peranan penting dalam mendekati pelbagai lapisan masyarakat, daripada pelajar hingga pemimpin masyarakat, sekali gus memperluas pemahaman dan kepercayaan antara komuniti.

Mengulas cabaran global semasa, Mufti memberi amaran bahawa konflik dan ketegangan di peringkat antarabangsa boleh memberi kesan kepada keharmonian tempatan jika tidak ditangani dengan bijaksana.

Dalam era yang dipengaruhi kecerdasan buatan dan penyebaran maklumat palsu, beliau berkata masyarakat perlu lebih berhati-hati agar tidak terperangkap dalam sentimen yang boleh memecah-belahkan.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak untuk kembali kepada nilai sejagat yang dikongsi semua agama, khususnya dalam melindungi nyawa dan maruah manusia.

“Perbezaan dalam amalan dan kepercayaan tidak seharusnya mengatasi komitmen kita terhadap kemanusiaan,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, beliau menegaskan bahawa kekuatan Singapura terletak pada keupayaannya mengubah kepelbagaian menjadi sumber perpaduan.

“Cabaran dunia mungkin menguji kita, tetapi persahabatan yang kita bina akan memastikan kita terus bersatu,” ujarnya.