Selama lebih 30 tahun, khidmat korban yang diusahakan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) terus memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat Islam menunaikan ibadah korban sambil menyantuni golongan memerlukan di dalam dan luar negara.

Apa yang bermula lebih 30 tahun lalu sebagai usaha membantu sahibul korban (orang yang melakukan ibadah korban) Singapura melaksana ibadah Aidiladha itu kini telah berkembang menjadi satu misi kemanusiaan merentasi sempadan.

Diurus anak syarikatnya, Pergas Investment Holdings (PIH), program korban Pergas kini memberi manfaat kepada ribuan penerima di pelbagai negara yang berdepan cabaran kemiskinan, konflik dan kekurangan bekalan makanan.

Pengurus Kanan PIH, Ustaz Jalalludin Rumi Norman, berkata matlamat utama program ini bukan memastikan ibadah korban dilaksana mengikut syariat, malah menjadikan ibadah korban sebagai cara memperkukuh ukhuwah dan menyampaikan bantuan makanan kepada masyarakat memerlukan.

“Korban membawa makna pengorbanan, kasih sayang dan keprihatinan terhadap sesama insan. Kami mahu para peserta bukan sahaja menunaikan ibadah, malah merasai bahawa sumbangan mereka memberi kesan besar kepada kehidupan orang lain,” ujar beliau.

Bagi 2026, PIH menawarkan pilihan korban di beberapa negara, termasuk Indonesia, Kemboja, Tarim di Yaman, serta negara Afrika seperti Malawi dan Uganda.

Program khas untuk pelarian Palestin di Jordan juga diteruskan menyusuli sambutan menggalakkan masyarakat.

Selain itu, masyarakat Singapura boleh memilih pakej korban Australia dan menikmati sebahagian daging korban bersama keluarga.

PIH juga akan mengadakan program korban secara langsung di Masjid Omar Salamah pada Hari Raya Aidiladha.

Dengan lebih 1,000 tempahan diterima pada 2025 dan lebih 2,500 penerima manfaat berjaya dibantu, PIH berharap lebih ramai orang akan bersama menjayakan misi korban 2026 Pergas.

Untuk tempahan korban, layari pergasinvestment.sg atau hubungi talian 9100- 4251 bagi butir lanjut.