Usaha korban yang digerakkan Pergas Investment Holdings (PIH) – anak syarikat Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) – terus berkembang dan memberi manfaat besar kepada masyarakat memerlukan di pelbagai negara.

Inisiatif ini tidak tertumpu kepada pelaksanaan ibadah korban semata-mata, malah berperanan sebagai jambatan bantuan kemanusiaan yang merentasi sempadan negara, budaya dan latar belakang masyarakat.

Pada Ogos 2025, PIH menyertai sebuah kumpulan ke Jordan bagi memantau sendiri proses pengagihan daging korban kepada pelarian Palestin yang berlindung di negara itu.

Pelibatan PIH itu menjadi bukti nyata komitmennya dalam memastikan proses pengagihan itu dilaksanakan secara telus, teratur dan amanah.

Ia turut memberi peluang kepada pihak terlibat untuk menyaksikan sendiri kesan bantuan itu terhadap kehidupan golongan benar-benar memerlukan.

Menurut Pengurus Kanan PIH, Ustaz Jalalludin Rumi Norman, program korban 2025 menarik lebih 1,000 tempahan, mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha kebajikan PIH.

“Hasil penyertaan itu, lebih 2,500 penerima manfaat di pelbagai negara telah berjaya dibantu melalui agihan daging korban.

“Angka ini mencerminkan tahap kepercayaan tinggi masyarakat terhadap integriti, kecekapan serta pengurusan sistematik yang dilaksanakan oleh PIH.

“Bagi 2026, PIH menawarkan pilihan pelaksanaan korban di beberapa negara, seperti Kemboja, Indonesia, Tarim di Yaman, dan di Afrika, termasuk Malawi dan Uganda.

“Pemilihan destinasi ini dibuat bagi memastikan manfaat ibadah korban dapat sampai kepada golongan lebih memerlukan, sekali gus memperluas manfaatnya merentasi sempadan geografi dan sosial,” ujar Ustaz Jalalludin.

Selain itu, PIH menyediakan pilihan korban tempatan secara langsung, atau ‘live’, di Masjid Omar Salamah. Bagi pakej ini, peserta dapat menyaksikan penyembelihan dan berkongsi daging korban bersama keluarga masing-masing.

Bagi pakej di Australia dan pelarian Palestin, peserta juga boleh menyalurkan sebahagian daging korban kepada keluarga di Singapura.

Melalui pendekatan menyeluruh ini, PIH komited memperluas impak ibadah korban sebagai usaha berterusan membantu umat Islam di seluruh dunia. Dengan sokongan masyarakat, program ini dapat terus berkembang dan mengukuhkan ukhuwah umat Islam merentasi sempadan.

Untuk tempah ibadah korban melalui PIH, layari www.pergasinvestment.sg atau hubungi talian 9100-4251.