JOHOR BAHRU: Walaupun menawarkan kemudahan yang lebih baik, kenaikan tambang yang mendadak di bawah skim teksi rentas sempadan yang baru dipertingkatkan telah mengejutkan dan mengecewakan ramai pengguna.

Antara mereka yang terkejut dengan kadar baru itu ialah pekerja Malaysia, Cik S. Reetha, yang telah berulang-alik ke Singapura selama lebih dua dekad.

“Saya terkejut apabila pemandu memberitahu saya tambangnya. Saya ingat beliau berbohong atau cuba mengenakan caj berlebihan kepada saya kerana saya tidak tahu mengenai skim baru ini.

“Kenaikannya terlalu mendadak dan secara tiba-tiba, tetapi saya tiada pilihan kerana perlu bergegas untuk syif kerja saya,” katanya ketika ditemui di Larkin Sentral, Johor Bahru pada 15 Mei.

Cik Reetha, 52 tahun, yang berulang-alik antara Singapura dan Muar sekali setiap dua minggu, berkata beliau dahulunya membayar jauh lebih murah untuk perjalanan tersebut.

“Dulu hanya RM120 ($38) setiap perjalanan. Biasanya saya akan berkongsi teksi dengan dua penumpang lain supaya boleh bahagi tambang. Kami hanya perlu bayar RM40 setiap seorang, tetapi kini ia naik kepada RM80 seorang – dua kali ganda daripada harga sebelumnya,” kata eksekutif pentadbiran itu.

Pada 30 April, Kementerian Pengangkutan Malaysia dan rakan sejawatnya di Singapura mengumumkan skim teksi rentas sempadan yang dipertingkat.

Dasar yang dikemas kini itu, yang berkuat kuasa pada 4 Mei, membenarkan lokasi naik dan turun teksi yang lebih fleksibel bersama struktur tambang baru.

Tinjauan di terminal teksi Larkin Sentral mendapati ramai pengguna masih tidak tahu mengenai kadar tambang yang disemak semula, dengan sesetengah mereka menyatakan rasa tidak percaya atas kenaikan tersebut.

Pemandu teksi juga kelihatan menerangkan skim baru kepada penumpang dan mempamerkan notis yang memperincikan tambang terkini bagi pelbagai kategori kenderaan.

Seorang pakar terapi rambut dari Singapura, Cik Joan Chin Koon Mei, 48 tahun, yang menggunakan perkhidmatan itu buat kali pertama, berkata kemudahan tambahan itu tidak setimpal dengan kos yang lebih tinggi.

“Saya akan kekal menggunakan bas atau kereta api mulai sekarang, terutamanya selepas mengetahui betapa mahalnya tambang teksi ini. Memang bagus kita kini boleh menempah teksi dari mana-mana sahaja di Singapura, tetapi kemudahan itu datang dengan harga yang sangat tinggi,” katanya.

Suri rumah Cik Jade Ann Baculanta, 37 tahun, mengalu-alukan pengenalan perkhidmatan pintu ke pintu, yang kini membolehkan beliau menempah teksi terus dari rumahnya di Kulai.

“Walaupun tambangnya mahal, bagus ada pilihan untuk menaiki teksi terus, terutamanya ketika bersama keluarga,” kata Cik Baculanta, yang berasal dari Filipina.

Penyelaras perkhidmatan teksi rentas sempadan Larkin Sentral Johor Bahru-Singapura, Encik Abdul Rahman Atan, berkata bilangan penumpang telah merosot dengan ketara sejak skim yang dipertingkatkan itu diperkenalkan.

“Pemandu teksi kini terpaksa menunggu lebih lama hanya untuk mendapat satu perjalanan akibat kenaikan tambang yang mendadak ini,” katanya.

Teksi berlesen kini dibenarkan menurunkan penumpang di mana-mana sahaja di Singapura dan dalam kawasan yang ditetapkan di Johor, iaitu Johor Bahru, Iskandar Puteri, Forest City, Kulai dan Senai.

Perjalanan dari Larkin Sentral dihadkan pada RM240 untuk teksi empat tempat duduk standard, RM360 untuk teksi enam tempat duduk dan RM540 untuk teksi enam tempat duduk premium.

Teksi juga boleh mengambil penumpang secara bebas dalam negara asal mereka, manakala teksi yang beroperasi di negara asing hanya boleh mengambil penumpang melalui tempahan dalam talian dari tiga titik pengambilan yang ditetapkan. – Agensi berita.