Topic followed successfully
Go to BHkuPenggiat dikir barat dan penerima anugerah belia cemerlang seru keberanian kreatif untuk mencuba
Penggiat dikir barat dan penerima anugerah belia cemerlang seru keberanian kreatif untuk mencuba
Penggiat dikir barat dan penerima anugerah belia cemerlang seru keberanian kreatif untuk mencuba
Seramai enam individu menerima Anugerah Belia Cemerlang dalam Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) pada 18 Mac. Diadakan buat julung-julung kali oleh Lembaga Warisan Negara (NHB), anugerah itu mengiktiraf belia yang menonjolkan iltizam dan kepimpinan dalam memelihara warisan di Singapura. Berikut laporan mengenai dua penerima anugerah itu.
Ada yang mungkin melihatnya sebagai seorang pemberontak dalam gelanggang dikir barat – satu gelaran yang tidak ditolak, malah disambut baik olehnya.
Dalam kalangan penggiat dikir berpengalaman, masih ada yang berpegang teguh pada tafsiran sempit tentang seni dikir barat.
Mereka seolah-olah bertindak sebagai penyaring maklumat atau ‘gatekeeper’ yang menentukan apa yang boleh dan tidak boleh, apa yang patut dan tidak patut dalam seni tersebut.
Namun, bagi Muhammad Ilyia Kamsani, pendekatan sedemikian dilihat membatasi perkembangan dan kematangan seni itu sendiri.
“Saya tak menentang mereka, tetapi saya rasa mereka perlu faham bahawa semangat zaman sudah berubah.
“Kita sudah membentuk identiti sendiri, cara kita meluahkan diri, ruang kreatif kita juga telah berkembang – suara anak muda perlu lebih diangkat,” ujarnya.
Menurut beliau, perlu ada anjakan pemikiran, atau apa yang disebutnya sebagai ‘creative audacity’ – keberanian kreatif untuk mencuba.
Muhammad Ilyia, 33 tahun, merupakan penggiat budaya yang telah berkecimpung sebagai penggiat dikir barat belia selama lebih sedekad.
Perjalanannya bermula sejak bersama kumpulan dikir barat Politeknik Temasek (TP) pada 2010.
Semangatnya itu terus membara, membawa beliau menerajui Festival Dikir Barat Singapura yang julung kali diadakan pada 2025.
Festival tersebut memperdalam penghargaan terhadap amalan tersebut di Singapura dari sudut sejarah, sosial dan intelektual.
Malah, beliau turut menerbitkan Serumpun: Jurnal Dikir Singapura – penerbitan yang mendokumentasikan secara mendalam serta mengemukakan refleksi kritis tentang dikir barat di Singapura.
Usaha tersebut menjadikannya antara enam penerima sulung Anugerah Belia Cemerlang dalam Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) pada 18 Mac, anjuran Lembaga Warisan Negara (NHB), di Auditorium Stephen Riady, One Marina Boulevard, NTUC Centre.
Acara tersebut dirasmikan oleh Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo.
Lima lagi penerima termasuk Syafiqah ‘Adha Sallehin (muzik tradisional Melayu); Adrian Ong Sin Yong (seni boneka Cina); Banupriya Ponnarasu (bentuk tarian India); Ng Si Ying (seni kraf produk rotan); serta Niranjan Pandian (tradisi muzik India).
“Saya seharusnya bersyukur dengan perjalanan saya dalam dikir barat kerana tak ramai yang berpeluang melalui apa yang saya lalui.
“Apabila saya mula berkecimpung dalam dikir barat di Politeknik Temasek, saya berpeluang bertemu tokoh-tokoh besar dalam dunia dikir barat seperti Allahyarham Zaidy Nandir dan ramai lagi, yang menjadi pembimbing saya di sana.
“Dan mereka tak pernah lokek kongsi ilmu. Semakin mereka melihat keinginan saya untuk belajar, semakin banyak yang mereka curahkan,” kongsinya kepada Berita Harian (BH) pada 18 Mac.
Namun, sebagai pendikir muda yang baru menjejakkan kaki dan sedang mematangkan diri dalam seni dikir barat, cabaran terbesarnya ketika itu adalah berdepan dengan kelompok penyaring maklumat dalam gelanggang tersebut.
Beliau tetap bersyukur kerana proses yang dilalui itu mematangkannya, terutama dalam usaha mengemudi persimpangan antara tradisi dengan kemodenan.
“Saya berada di tengah. Saya tak mengatakan tradisi itu tak penting. Saya juga tidak mengatakan inovasi itu tak penting.
“Cuma saya rasa tak cukup sekadar penggiat dikir barat itu membuat persembahan sahaja. Itu tak memadai untuk mengekalkan seni tersebut. Tak cukup untuk melestarikannya,” ujar beliau.
Bagi Muhammad Ilyia, aspek wacana juga perlu diberi perhatian.
Pemeliharaan warisan budaya Melayu ujar beliau penting bagi golongan muda kerana ia memberi kesedaran tentang siapakah kita dalam dunia ini, mengingatkan kita kepada akar dan asal usul, serta menyemai nilai murni seperti saling menghormati, kasih sayang dan empati.
Beliau berkongsi bahawa usaha melestarikan seni dikir barat berpaksikan tiga tunjang utama: Persembahan, pendidikan dan wacana.
“Apa yang saya rasa terdapat satu kelompongan adalah pada aspek wacana. Tiada ruang khusus untuk berwacana secara lebih mendalam, untuk mengorek apakah sebenarnya yang boleh ditawarkan oleh dikir barat.
“Saya rasa ini kerana komuniti dikir agak tertutup. Kita terlalu memberi tumpuan kepada perkara yang kurang penting, sehingga menjadi ‘domesticated’. Kita tak banyak bergaul dengan bentuk seni lain seperti tarian Melayu, muzik dan silat.
“Sedangkan, jika kita mahu mengangkat seni ini, kita perlu menjalin hubungan dan merapatkan jurang dengan bentuk seni yang lain.
“Sebab itu saya rasakan wacana itu penting. Dan mungkin melalui festival dan jurnal tersebut, komuniti dikir barat sudah mula memahami apa yang cuba kami lakukan,” tambah beliau, yang turut meraih tempat pertama bagi kategori puisi dalam Anugerah Pena Emas 2025, sebuah pertandingan penulisan kreatif cerpen dan puisi diterajui oleh Arts House Group sejak 2021.
Beliau turut berkongsi hasrat untuk menerbitkan sebuah buku kerja mengenai dikir barat di Singapura, dengan pendekatan yang lebih bersifat sosiologi, selepas mendapat cetusan inspirasi daripada karya Encik Khir Johari, Food of Singapore Malays: Gastronomic Travels Through the Archipelago.
“Kini saya ingin memberi tumpuan kepada wacana dan kolaborasi silang dengan bentuk seni daripada etnik lain. Kerana kita berkongsi satu perkara yang sama, iaitu nilai-nilai sosial,” katanya.
Muhammad Ilyia berharap masyarakat dikir barat dapat menghayati semangat yang lebih demokratik – berbeza pandangan tanpa perlu bermusuhan, dan bukan sekadar berlumba untuk menang.
“Kerana jika ekosistem dan cara kita fikir hanya berlegar pada persaingan, kita akan sentiasa melihat diri dan orang lain sebagai dua entiti yang berbeza. Kita sentiasa melihat ‘yang lain’ sebagai pesaing yang perlu ditandingi,” katanya.
Justeru, falsafah yang mendasari Festival Dikir Singapura adalah tentang meraikan kepelbagaian idea dan pandangan.
“Kita perlu terus bergerak ke hadapan, dan saya rasa itulah yang diperlukan oleh belia – seseorang yang memberi mereka ruang dan keberanian untuk bersuara,” tambahnya.
Apakah anda individu tersebut? “Saya tak lihat diri saya sebagai seorang pemimpin. Saya lebih lihat diri sebagai seorang penentang suara,” katanya berseloroh.
Bagi anugerah yang baru diterima dan disampaikan oleh NHB itu, ia khusus untuk mengiktiraf individu berusia 35 tahun ke bawah yang mengamal serta memupuk kemahiran dan pengetahuan ICH.
Di samping itu, penerima juga menunjukkan potensi kepimpinan dan menjadi teladan kepada golongan belia melalui usaha seperti penglibatan aktif bersama masyarakat untuk meningkatkan kesedaran terhadap amalan ICH masing-masing.
Setiap penerima Anugerah Belia Cemerlang dalam ICH menerima piala, sijil penghargaan, dan berpeluang mendapatkan geran sehingga $20,000 untuk melaksanakan projek yang diluluskan NHB.

