SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Penerima Anugerah Belia Cemerlang galas amanah isi jurang pembelajaran seni warisan

Penerima Anugerah Belia Cemerlang galas amanah isi jurang pembelajaran seni warisan

Syafiqah mahu bangunkan pembelajaran muzik tradisional Melayu; Muhammad Ilyia berhasrat terbit buku kerja mengenai dikir barat di Singapura
Mar 30, 2026 | 5:30 AM

Penerima Anugerah Belia Cemerlang galas amanah isi jurang pembelajaran seni warisan

Atas ketekunan dalam bidang muzik selama hampir 17 tahun, Syafiqah ‘Adha Sallehin, 35 tahun, menjadi antara enam penerima Anugerah sulung Belia Cemerlang dalam Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) pada 18 Mac, anjuran Lembaga Warisan Negara (NHB) di Auditorium Stephen Riady, One Marina Boulevard, NTUC Centre.
Atas ketekunan dalam bidang muzik selama hampir 17 tahun, Syafiqah ‘Adha Sallehin, 35 tahun, menjadi antara enam penerima Anugerah sulung Belia Cemerlang dalam Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) pada 18 Mac, anjuran Lembaga Warisan Negara (NHB) di Auditorium Stephen Riady, One Marina Boulevard, NTUC Centre. - Foto BH oleh KHALID BABA

Seramai enam anak muda telah menerima Anugerah Belia Cemerlang dalam Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) pada 18 Mac. Penganugerahan sulung oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) itu meraikan belia yang menunjukkan iltizam dan daya kepimpinan dalam memelihara warisan di Singapura. Berikut laporan mengenai dua penerima anugerah tersebut.

Pada mulanya, Syafiqah ‘Adha Sallehin, berdepan keraguan diri.

Ketiadaan guru atau pembimbing tetap merupakan cabaran besar untuk beliau meneruskan perjalanan dalam muzik tradisional Melayu.

Keadaan itu bermula selepas tamat sekolah menengah, ketika beliau mula mendalami dunia muzik Melayu.

Namun, bakatnya memainkan melodi hanya melalui pendengaran di piano sejak berusia empat tahun menjadi pendorong.

Ia membolehkannya belajar sendiri melalui usaha gigih dan improvisasi yang berterusan.

Akhirnya, melalui usaha advokasi dalam muzik tradisional Melayu, beliau menubuhkan Gendang Akustika pada 2009.

Ensembel tradisional-kontemporari di Singapura itu bertujuan memperkenalkan muzik tersebut kepada golongan baru menerusi gubahan yang menggabungkan ciri Barat dan kontemporari.

Berkat ketekunan dalam bidang muzik selama hampir 17 tahun, Syafiqah, 35 tahun, diiktiraf sebagai antara enam penerima sulung Anugerah Belia Cemerlang dalam Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH).

Anugerah anjuran Lembaga Warisan Negara (NHB) itu disampaikan pada 18 Mac, di Auditorium Stephen Riady, One Marina Boulevard, NTUC Centre.

Acara tersebut dirasmikan oleh Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo.

Lima lagi penerima termasuk Muhammad Ilyia Kamsani (dikir barat dan bentuk puisi Melayu); Adrian Ong Sin Yong (seni boneka Cina); Banupriya Ponnarasu (bentuk tarian India); Ng Si Ying (seni kraf produk rotan); serta Niranjan Pandian (tradisi muzik India).

Selain Syafiqah ‘Adha Sallehin (kanan), Muhammad Ilyia Kamsani, juga merupakan antara enam penerima sulung Anugerah Belia Cemerlang dalam Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) pada 18 Mac.
Selain Syafiqah ‘Adha Sallehin (kanan), Muhammad Ilyia Kamsani, juga merupakan antara enam penerima sulung Anugerah Belia Cemerlang dalam Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) pada 18 Mac. - Foto BH oleh KHALID BABA

Diperkenalkan buat julung-julung kali pada 2025, anugerah itu merupakan inisiatif untuk melabur dalam kelangsungan serta penakatan warisan budaya.

Ia dilakukan dengan mengiktiraf sumbangan penting penggiat muda dalam bidang ini.

Dalam wawancara bersama Berita Harian (BH) pada 18 Mac, pendidik yang berkhidmat sebagai anggota fakulti artis di Konservatori Muzik Yong Siew Toh, di Universiti Nasional Singapura (NUS), meluahkan rasa syukur meskipun terkejut apabila menerima berita tersebut:

“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur kerana ini satu pengiktirafan bahawa usaha yang saya lakukan dalam bidang ini tak sia-sia.

“Apa yang saya lakukan ada kesannya, dan ia memberi dorongan kepada saya untuk meneruskan usaha ini,” ujarnya.

Perjalanannya bermula dengan mempelajari akordion dalam muzik Melayu Asli pada 2007 bersama Orkestra Melayu Singapura.

Kini, beliau menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Muzik, Gendang Akustika.

Dalam kapasiti itu, beliau turut membimbing pemuzik muda dalam ensembel remaja, Gendang Akustika, yang sebahagiannya kini menjadi anggota teras organisasi tersebut.

Bagi Syafiqah, pengiktirafan itu laksana satu amanah dan penting baginya untuk melangkah ke hadapan, memberi ilham serta memastikan wujudnya golongan pelapis yang akan menyambung warisan tersebut.

“Saya rasa penting untuk kita sedar bahawa saya merupakan seorang wanita yang memainkan peranan dalam seni muzik Melayu ini. Tetapi persoalannya, mengapa hanya saya?

“Saya berada dalam kedudukan itu, dan saya melihat sendiri manfaat apabila kita berani mengambil langkah pertama dan memperkasa orang lain untuk turut melakukannya.

“Saya tak boleh hanya menunggu dan melihat. Kerana jika saya tak bertindak, kita tak tahu bagaimana seni ini akan berkembang,” ujarnya, yang juga penerima Anugerah Jauhari Inspirasi BH pada 2018.

Beliau berharap masyarakat dapat melihat muzik tradisional Melayu sebagai aset bernilai tinggi kerana terdapat pelbagai nilai murni yang boleh diperoleh apabila kita mendalami seni, sama ada dalam seni tarian, dikir barat mahupun muzik.

“Saya berharap suatu hari nanti, ibu bapa akan menghantar anak-anak mereka ke kelas muzik tradisional Melayu.

“Kita sering melihat ibu bapa menghantar anak-anak ke kelas piano klasik, sama seperti saya dahulu. Tetapi mengapa tidak, selain muzik klasik, kita turut mempelajari muzik tradisional Melayu?

“Namun, persoalan itu juga menimbulkan persoalan lain – adakah wujud sekolah khusus untuk belajar muzik tradisional Melayu?

“Di situlah peranan saya. Saya ingin mengisi jurang tersebut tentang bagaimana kita boleh meneruskan dan membangunkan pembelajaran muzik tradisional Melayu,” katanya, yang juga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Artis Muda oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC) pada 2025.

Syafiqah merancang untuk bermula secara kecil-kecilan, dengan membuka kelas persembahan akordion tradisional Melayu.

Ia merupakan sebahagian usaha beliau untuk berkongsi ilmu yang telah dipelajarinya dengan masyarakat, khususnya mereka yang berminat, termasuk kanak-kanak yang ingin mengenali muzik tradisional Melayu dengan lebih mendalam.

Selain itu, beliau turut merancang menganjurkan bengkel asas yang kandungannya disesuaikan mengikut tahap kanak-kanak.

Ini diharap dapat memupuk minat dan penghargaan mereka terhadap muzik tradisional Melayu sejak usia muda.

Bagi anugerah yang baru diterima dan disampaikan oleh NHB itu, ia khusus untuk mengiktiraf individu berusia 35 tahun ke bawah yang mengamal serta memupuk kemahiran dan pengetahuan ICH.

Di samping itu, penerima juga menunjukkan potensi kepimpinan dan menjadi teladan kepada golongan belia melalui usaha seperti penglibatan aktif bersama masyarakat untuk meningkatkan kesedaran terhadap amalan ICH masing-masing.

Setiap penerima Anugerah Belia Cemerlang dalam ICH menerima piala, sijil penghargaan, dan berpeluang mendapatkan geran sehingga $20,000 untuk melaksanakan projek yang diluluskan NHB.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg