Topik diikuti
Pergi ke BHkuBas SMRT terbakar di Woodlands, tiada cedera
Bas SMRT terbakar di Woodlands, tiada cedera
Bas SMRT terbakar di Woodlands, tiada cedera
Sebuah bas SMRT terbakar berhampiran Sekolah Rendah Woodgrove di Woodlands pada petang 5 Mei, menyebabkan kepulan asap hitam tebal menerawang ke udara.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), menjawab pertanyaan media, mengesahkan kejadian kebakaran bas di Woodlands Avenue 1 sekitar 1.40 petang.
SCDF berjaya memadamkan api menggunakan pancutan dan hos air.
Tiada kecederaan dilaporkan; punca kebakaran masih disiasat.
Dalam rakaman video kejadian itu, api dilihat marak di bahagian depan bas, dengan asap hitam pekat menerawang ke udara.
Video lain menunjukkan anggota bomba menyembur air ke bahagian atas bas.
Orang ramai dimaklumkan mengenai kebakaran dekat perhentian bas di luar Sekolah Rendah Woodgrove menerusi amaran di laman MyTransport.SG LTA sekitar 2 petang.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menambah, perkhidmatan bas 901, 901M, dan 967 terpaksa dilencongkan.
Timbalan Pengarah Urusan SMRT Buses, Encik Vincent Gay, memaklumkan pemandu bas 967 menyedari asap keluar dari ruang pemandu sekitar 1.30 petang, sejurus bas berhenti.
Pemandu itu dengan segera mengarahkan semua penumpang turun dan bergerak ke tempat selamat.
Api mula menjulang di bahagian depan bas sejurus selepas itu.
Encik Gay berkata pemandu segera menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bas, yang kemudian mengaktifkan SCDF.
Pemandu bas berusaha memadamkan api dari jarak selamat.
“Kapten bas itu tidak cedera. Kami sedang menyiasat punca kejadian sambil memastikan kesejahteraan kapten bas,” jelas Encik Gay.
Dalam hantaran Facebook, Anggota Parlimen (AP) GRC Marsiling-Yew Tee, Cik Hany Soh, menyatakan beliau berhubung rapat dengan agensi berkaitan bagi mengurus keadaan di lokasi.
“Saya lega semua penumpang dan pemandu selamat keluar,” katanya.
“Setinggi-tinggi terima kasih kepada pegawai SCDF dan polis, kakitangan Sekolah Rendah Woodgrove, serta penduduk sekitar yang pantas menghulurkan bantuan,” tambahnya.
Menurut perangkaan SCDF, bilangan kebakaran kenderaan berkurangan daripada 257 kes pada 2024 kepada 226 kes pada 2025.
