Topic followed successfully
Go to BHkuBas SBS Transit terbakar di TPE, tiada kecederaan dilapor
Bas SBS Transit terbakar di TPE, tiada kecederaan dilapor
Bas SBS Transit terbakar di TPE, tiada kecederaan dilapor
Sebuah bas SBS Transit terbakar di Ekspreswe Tampines (TPE) pada pagi 30 Mac.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia dimaklumkan mengenai kebakaran itu yang berlaku di TPE menuju ke Ekspreswe Seletar (SLE) selepas jalan susur keluar Tampines Avenue 10 pada sekitar 6.50 pagi.
Kebakaran itu melibatkan sebahagian enjin sebuah bas, dan dipadamkan menggunakan semburan air.
Foto yang dimuat naik di media sosial menunjukkan anggota bomba memadamkan kebakaran di bahagian belakang sebuah bas hijau yang telah berhenti di tepi jalan.
Dalam foto seterusnya yang disiarkan dalam bahagian komen hantaran itu, dua lelaki yang memakai jaket keselamatan berwarna cerah kelihatan sedang memeriksa bahagian belakang bas yang hangus terbakar, dengan api sudah dipadamkan sepenuhnya.
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), jurucakap SBS Transit, Cik Grace Wu, berkata kebakaran itu melibatkan perkhidmatan bas 53.
Tiada kecederaan dilaporkan, kata SCDF, sambil menambah bahawa punca kebakaran sedang disiasat.
“Penumpang di dalam bas telah dipindahkan ke bas lain untuk meneruskan perjalanan mereka.
“Kami memohon maaf kepada penumpang yang terjejas atas kesusahan dan kesulitan yang dialami.
“Sementara itu, kami sedang menyiasat punca kebakaran tersebut,” ujar Cik Wu.
Perangkaan tahunan yang dikeluarkan oleh SCDF pada Februari lalu menunjukkan bilangan kebakaran kenderaan berkurangan daripada 257 pada 2024 kepada 226 pada 2025.

