SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Penduduk Joo Chiat dilengkapi kemahiran tangani kebakaran kediaman

Penduduk Joo Chiat dilengkapi kemahiran tangani kebakaran kediaman

Mar 30, 2026 | 1:53 PM

Penduduk Joo Chiat dilengkapi kemahiran tangani kebakaran kediaman

Emergency Preparedness day, joo chiat, scdf
Pada Hari Kesediaan Menghadapi Kecemasan di Joo Chiat, kira-kira 300 orang penduduk diajar cara menggunakan alat pemadam api melalui sesi tunjuk ajar pemadaman kebakaran secara langsung oleh pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF). - Foto ZAOBAO

Kesedaran awam mengenai pencegahan dan pengendalian kebakaran di kediaman mesti dipertingkatkan, kata Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong.

Ketika kebakaran kediaman di Singapura semakin meningkat, penduduk perlu tahu langkah-langkah yang patut diambil sekiranya kebakaran berlaku, kata Encik Tong semasa melancarkan inisiatif untuk melengkapkan penduduk Joo Chiat dengan kemahiran tersebut pada 29 Mac.

Kesilapan biasa termasuk menyiram air ke atas api dapur, yang boleh menyebabkan minyak merebak lantas memarakkan lagi kebakaran.

Beliau turut menekankan ramai warga emas di Joo Chiat tinggal dan memasak bersendirian, yang meningkatkan risiko bahaya.

“Oleh itu, persediaan penduduk adalah amat penting,” tegas beliau.

Jumlah kebakaran meningkat kepada 2,050 kes pada 2025 berbanding 1,990 pada 2024.

Lebih separuh daripada kebakaran berlaku di bangunan kediaman.

Memasak tanpa pengawasan serta kebakaran elektrik – termasuk kerosakan pendawaian atau soket elektrik dengan terlalu banyak peralatan – kekal sebagai dua punca utama, menurut laporan statistik tahunan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada 11 Februari.

Terdapat enam kematian dan 94 kecederaan akibat kebakaran pada 2025, berbanding tujuh kematian dan 80 kecederaan pada 2024.

Pada Hari Kesediaan Menghadapi Kecemasan di Joo Chiat itu, kira-kira 300 penduduk diajar secara langsung oleh pegawai SCDF menggunakan alat pemadam api.

Peserta di Pusat Pemulihan dan Latihan Kemahiran Hidup Kampung Siglap turut diajar teknik pernafasan kecemasan (CPR) dan menggunakan Peranti Defibrilator Luaran Automatik (AED), iaitu alat menyelamatkan mangsa serangan jantung.

Mereka juga menerima pek mengandungi beg kalis air, alat pemadam api, kit pertolongan cemas, kipas mudah alih, lampu suluh dan bank kuasa atau ‘power bank’.

Program itu akan diperluas ke seluruh Joo Chiat dengan sasaran sekurang-kurangnya 3,000 isi rumah.

Latihan serupa juga sedang dipertimbangkan di kawasan lain di GRC East Coast.

Seorang penduduk Joo Chiat, Cik Josephine Ng, 54 tahun, berkata beliau tidak pernah terfikir untuk memiliki alat pemadam api.

“Saya sangka ia besar dan mahal, tetapi saya gembira menerimanya sekarang,” katanya, yang hadir bersama anaknya yang berusia 15 tahun.

Cik Azizah Mohd, 62 tahun, guru bersara, berkata beliau pernah belajar menggunakan alat tersebut 10 tahun lalu tetapi telah lupa.

Selepas menyertai sesi tersebut, beliau mendapati ia tidak sukar.

“Kemahiran ini penting untuk kecemasan di dalam dan luar rumah,” katanya.

Acara itu berlangsung selepas beberapa kebakaran berlaku di kedai makanan.

Pada 26 Mac, kebakaran di Pasar dan Pusat Penjaja Bukit Merah View menyebabkan kerosakan di tiga gerai.

Seminggu sebelumnya, kebakaran di sebuah kedai kopi di Queen Street menyebabkan seorang dikejarkan ke hospital akibat terhidu asap, serta menjejaskan bekalan elektrik dan air kepada 101 unit selama lebih sehari.

Kedua-dua kebakaran melibatkan saluran ekzos dapur.

Bagi kes Bukit Merah, pihak berkuasa percaya ia berpunca daripada kegiatan memasak yang tidak dipantau.

Encik Tong berkata kebakaran di kedai makanan berbeza daripada di rumah kerana kegiatan memasak yang lebih kerap dan berterusan.

Namun, beliau menegaskan mesej keselamatan perlu disampaikan dengan jelas agar orang ramai tidak mengambil ringan tentang keselamatan.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg