Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengamat: Peraturan baru EC beri keutamaan, lebih manfaat kepada pembeli kali pertama
Pengamat: Peraturan baru EC beri keutamaan, lebih manfaat kepada pembeli kali pertama
Pengamat: Peraturan baru EC beri keutamaan, lebih manfaat kepada pembeli kali pertama
Pembeli rumah kali pertama dijangka mendapat manfaat paling banyak daripada perubahan dasar terkini terhadap pasaran Kondominium Eksekutif (EC), kata penganalisis.
Langkah baru itu bertujuan menyokong pencari rumah tulen dengan memberi mereka bahagian peruntukan unit yang tersedia yang jauh lebih besar, selain lebih banyak masa untuk membuat keputusan.
Namun, pembeli rumah kali kedua akan mendapati lebih sukar memasuki pasaran EC ekoran peraturan pembayaran lebih ketat dan tempoh menunggu yang baru.
Pemilik hartanah lain dan pasaran yang lebih luas juga akan melihat perubahan, kerana rumah EC kini mesti dihuni selama 10 tahun sebelum ia boleh dijual kepada pembeli tempatan.
Penganalisis percaya langkah itu akan mengalihkan tumpuan pasaran EC daripada sekadar keuntungan pelaburan jangka pendek, kepada tujuan asalnya iaitu menyediakan perumahan jangka panjang.
Pada 8 Mei, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, mengumumkan kuota unit EC yang dikhaskan untuk pembeli rumah kali pertama akan ditingkatkan daripada 70 peratus kepada 90 peratus.
Golongan pembeli itu juga akan mempunyai tempoh keutamaan lebih panjang selama dua tahun untuk mendapatkan unit, naik dari sebulan sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex, Encik Kelvin Fong, menyatakan perubahan itu akan meningkatkan akses untuk pembeli kali pertama dan menambah peluang mereka mendapatkan unit dalam projek popular.
“Mempunyai lebih banyak unit yang diketepikan untuk pembeli rumah kali pertama semasa pelancaran juga boleh mengurangkan persaingan daripada pembeli rumah kali kedua yang mempunyai lebih banyak sumber kewangan, seperti hasil daripada penjualan flat mereka.
“Dengan tempoh keutamaan dilanjutkan kepada dua tahun, ia juga akan memberi lebih banyak masa kepada pembeli rumah kali pertama untuk merancang dan menimbangkan keputusan pembelian, sebelum lebih ramai pembeli rumah kali kedua membeli unit,” kata Encik Fong.
Pemansuhan Skim Pembayaran Tertunda (DPS) juga dijangka menyamakan kedudukan untuk pembeli rumah kali pertama yang tidak mempunyai kelebihan kewangan yang sama seperti pembeli rumah kali kedua.
CEO ERA Singapura, Encik Marcus Chu, menjelaskan walaupun pembeli rumah kali kedua sebelum ini boleh menggunakan keuntungan daripada penjualan rumah semasa mereka, pembeli rumah kali pertama selalunya kekurangan ekuiti perumahan sedemikian.
“Pemansuhan DPS juga boleh menggalakkan lebih banyak penjimatan wang dalam kalangan pembeli, kerana pembelian perlu disokong oleh kesediaan kewangan pendahuluan yang lebih kukuh,” kata Encik Chu.
Berikutan pengumuman mengenai pembelian EC pada 8 Mei, pembeli rumah kali kedua kini menghadapi peruntukan yang jauh lebih kecil iaitu hanya 10 peratus unit.
Tempoh menunggu dua tahun yang baru diperkenalkan untuk pembeli kali kedua juga akan mengurangkan lagi keupayaan mereka untuk menyertai pasaran.
Ketua Penyelidik dan Pakar Strategi di firma hartanah Realion (OrangeTee & ETC) Group, Cik Christine Sun, berkata pemansuhan DPS berkemungkinan memberi kesan ketara kepada pasaran kerana lebih 50 peratus pembeli EC semasa mengambil DPS.
“Pemansuhan DPS mungkin merupakan keputusan bijak,” kata Cik Sun.
“Namun, pembeli rumah kali kedua akan menghadapi cabaran membayar pinjaman rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan EC secara serentak, yang mungkin membebankan kewangan sesetengah keluarga.”
Ketua Pegawai Penyelidikan mogul.sg, Encik Nicholas Mak, berkata MOP yang dilanjutkan – dari lima tahun kepada 10 tahun – berkemungkinan menarik pembeli yang benar-benar memerlukan rumah, sambil mengurangkan permintaan daripada pembeli yang didorong oleh pelaburan.
Pemilik yang ingin menjual EC kepada warga asing pada masa hadapan juga harus maklum bahawa penswastaan penuh pembangunan EC kini hanya akan berlaku selepas 15 tahun, memanjangkan tempoh masa untuk pemilik EC menjual rumah kepada warga asing.
“MOP yang lebih lama boleh menyaring pelabur hartanah jangka sederhana yang merancang untuk menjual unit EC sejurus selepas MOP lima tahun, sambil menarik pembeli rumah sebenar yang merancang untuk melihat unit EC mereka lebih sebagai rumah daripada aset pelaburan,” kata Encik Mak.
