Indeks harga kediaman swasta secara keseluruhan meningkat 0.9 peratus pada suku pertama 2026, berbanding kenaikan 0.6 peratus pada suku keempat 2025. 

Namun, penganalisis berpendapat jumlah jualan yang semakin perlahan serta krisis tenaga yang berlarutan di Timur Tengah mungkin menyebabkan pembeli mengambil pendekatan lebih berhati-hati.

Kemas kini indeks harga bagi suku pertama itu lebih tinggi daripada anggaran awal 0.3 peratus oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada awal April. 

Penganalisis telah menjangkakan perkara tersebut memandangkan jualan rancak di pelancaran kediaman baru seperti Pinery Residences dan kondominium eksekutif (EC) Rivelle Tampines belum diambil kira pada waktu itu.

Buat masa ini, minat terhadap pembelian rumah dilihat masih kukuh memandangkan kadar faedah kekal pada tahap terendah sejak 2022, manakala kesan daripada krisis tenaga masih belum meresap ke dalam ekonomi secara lebih luas.

Meskipun begitu, permintaan daripada pembeli yang ingin menaik taraf kediaman mungkin menjadi lebih perlahan berikutan kejatuhan 0.1 peratus harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada suku pertama 2026.

Ini merupakan penurunan pertama dalam tempoh hampir tujuh tahun.

Sebaliknya, harga kondominium bukan berhalaman di kawasan pinggir bandar – yang biasanya menjadi pilihan golongan penaik taraf HDB kerana paras harga lebih rendah – melonjak 2.2 peratus pada suku pertama, berbanding 1 peratus pada suku sebelumnya.

“Jurang harga yang semakin lebar antara harga jualan semula HDB dengan perumahan swasta dari masa ke masa berpotensi menjadikan langkah peralihan bagi golongan penaik taraf HDB lebih mencabar,” kata Ketua Penyelidikan dan Kandungan PropNex, Cik Wong Siew Ying.

Pada suku pertama 2026, sebanyak 2,013 unit kediaman swasta baru (tidak termasuk EC) telah terjual, menurun daripada 2,940 unit pada suku sebelumnya, menurut data yang dikeluarkan URA pada 24 April.

Penurunan ini sebahagiannya disebabkan oleh pengurangan dalam pelancaran baru susulan cuti Tahun Baru Cina, dengan pemaju melancarkan 1,844 unit rumah swasta yang belum siap pada suku pertama 2026, berbanding 2,632 unit pada suku keempat 2025.