Topic followed successfully
Go to BHkuPengalaman di Edep, Turkey nyala inspirasi terus dalami pengajian Islam
Pengalaman di Edep, Turkey nyala inspirasi terus dalami pengajian Islam
Pengalaman di Edep, Turkey nyala inspirasi terus dalami pengajian Islam
Pertukaran budaya dan pengalaman bersama rakan-rakan sekuliah yang merupakan warga Eropah dan beragama Islam telah meluaskan perspektif Cik Siti Nur Fatimah Abdul Rashid mengenai cabaran dan dedikasi mereka mendalami ilmu keislaman.
Ketika berada di Egitime Destek Programlari Merkezi (Edep) Summer School for Advanced Islamic Studies, yang terletak di Turkey, selama empat minggu, Cik Fatimah, 22 tahun, melihat suasana pembelajaran yang begitu bersemangat.
Kata penerima Biasiswa Syed Isa Semait (SISS) itu:
“Saya sangat terinspirasi dengan rakan sekuliah yang datang dari negara Eropah. Mereka berkongsi cabaran mereka yang kekurangan akses dan wadah untuk mendalami pengajian Islam yang sebaiknya.
“Kesungguhan mereka terpancar jelas apabila mereka rancak bertanyakan soalan dan bertukar pendapat sesama kita.”
Menurut beliau, perkongsian pengalaman rakan-rakan sekuliah membuat beliau lebih bersyukur terhadap landskap agama Islam di Singapura.
Ini disebabkan beliau telah berkesempatan menjalani pengajian agama secara mendalam di tanah air sendiri walaupun Singapura merupakan negara sekular yang berbilang kaum dan agama.
Pelajar tahun ketiga jurusan Fiqh Usul di Universiti Yarmouk, Jordan itu turut berkongsi inti pati pengajian yang ditawarkan di Edep itu cukup intensif.
“Beberapa konsep dalam topik pelajaran tertentu agak sukar untuk saya faham awalnya kerana intinya agak kompleks,” katanya.
Namun begitu, cara topik ini diajarkan pensyarah di Edep telah membantu Cik Fatimah menggarap kandungan yang dianggapnya berat.
“Para pensyarah di Edep mempunyai kebolehan untuk memudahkan kandungan pelajaran yang sukar.
“Ini bukan sahaja dapat membuat saya faham dengan lebih baik, malah mendorong saya berfikir secara lebih kritis,” jelas anak keenam dalam lapan beradik itu.
Membandingkan suasana pembelajarannya di Universiti Yarmouk dengan Edep, Cik Fatimah berkata saiz kelas di Edep jauh lebih kecil dengan hanya sekitar 20 pelajar dalam satu kelas.
Dengan saiz kelas lebih kecil, pensyarahnya kerap menggalakkan pelajar agar melontarkan pendapat masing-masing dan berhujah.
Ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan Cik Fatimah untuk menyumbang pandangan dan saling bertukar fikiran sesama rakan sekuliah.
Bercakap tentang keluasan perspektif dalam pengajian Islam di Edep, Cik Fatimah terkesima dengan keluasan pengajian Islam di sana yang meliputi pelbagai cabang keilmuan.
“Walaupun di Edep kita mempelajari teks Islam seperti hadith, para pensyarah di sana turut memperkenalkan metodologi baharu dalam pengajian kita.
“Sebagai contoh, penerapan perspektif sejarah dalam memahami teks-teks Islam. Ini mencerahkan aspek sosial yang kita kurang beri perhatian apabila kita membaca pelbagai kitab,” jelas bekas pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah itu.
Tuntasnya, pengalaman Cik Fatimah di Universiti Yarmouk dan Edep itu telah meningkatkan penghargaannya kepada kepelbagaian budaya dan pengalaman manusia yang rencam.
Menurutnya, ia memupuk sifat rahmah dan sikap berlapang dada dalam berdepan dengan perbezaan.
“Ini secara tidak langsung membantu saya menyesuaikan apa yang saya perolehi dalam pengajian Islam kepada konteks Singapura yang berbilang kaum dan agama,” tambahnya lagi.
“
“Saya sangat terinspirasi dengan rakan sekuliah yang datang dari negara Eropah. Mereka berkongsi cabaran mereka yang kekurangan akses dan wadah untuk mendalami pengajian Islam yang sebaiknya. Kesungguhan mereka terpancar jelas apabila mereka rancak bertanyakan soalan dan bertukar pendapat sesama kita... Para pensyarah di Edep mempunyai kebolehan untuk memudahkan kandungan pelajaran yang sukar. Ini bukan sahaja dapat membuat saya faham dengan lebih baik, malah mendorong saya berfikir secara lebih kritis.”

