Topic followed successfully
Go to BHku‘Kejutan budaya’ di Eropah celikkan mata tentang kesesuaian dakwah
‘Kejutan budaya’ di Eropah celikkan mata tentang kesesuaian dakwah
Belia imbangi budaya Barat, Melayu dalam interaksi dan pembelajaran
‘Kejutan budaya’ di Eropah celikkan mata tentang kesesuaian dakwah
Sewaktu menjalani program pertukaran pelajar musim panas di Universiti Oxford, Britain, dan Institut Européen d’Administration des Affaires (Insead), Perancis, selama empat minggu, Cik Nur Zahratul Humairah Hilmi, mengalami semacam ‘kejutan budaya’.
Ini lantaran beliau dikelilingi pelbagai orang daripada latar belakang dan budaya berbeza, khususnya dari Eropah.
Perbezaan budaya ini, secara tidak langsung, mencorak sikap dan pemahamannya untuk menyesuaikan diri dalam perbezaan dan kepelbagaian.
Berkongsi tentang pemerhatiannya, Cik Zahratul, atau lebih mesra disapa Zahra, 22 tahun, menjelaskan:
“Pelajar di Eropah lebih berani bersuara. Budaya mereka lebih berterus terang dan tidak akan menapis percakapan mereka.
“Ini berbeza dengan budaya kita sebagai orang Melayu yang lebih beralas dalam menyampaikan pendapat.
“Pada awalnya, saya agak terperanjat dan tidak biasa dengan kelantangan dan sikap terus terang mereka. Namun, saya mula faham dan menyedari itu merupakan budaya mereka dalam berinteraksi,” tambah pelajar tahun akhir dalam jurusan Usuluddin di Universiti Al-Azhar, yang juga penerima Biasiswa Syed Isa Semait (SISS).
Di satu sisi, anak kedua dalam tiga beradik itu berpandangan budaya jujur bersuara ini baik dari segi menyuarakan pandangan agar ia tepat disampaikan dan tidak disalah faham.
Di sisi yang lain, beliau juga merasakan perlu adanya keseimbangan dalam mengamalkan budaya pertuturan yang lebih beralas.
Menurutnya, budaya Eropah mahupun budaya Melayu mempunyai kelebihan masing-masing dalam berinteraksi, lebih-lebih lagi dalam konteks pembelajaran.
Justeru, Cik Zahra berpandangan beliau perlu mencari titik tengah antara kedua-dua budaya ini demi memastikan pertuturannya itu dapat mencapai matlamat dan tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.
Secara tidak langsung, pengalaman rentas budaya ini telah mengajarnya akan kesesuaian berdakwah mengikut konteks.
Berkat pengalaman ini, beliau mula sedar akan kepentingan memahami masyarakat dan mengetahui keperluan mereka apabila ingin menyampaikan dakwah.
Bercakap tentang pengalamannya di Oxford dan Insead, beliau menjalani pembelajaran yang tersusun dengan bahan bacaan yang begitu lumayan.
Beliau berkongsi:
“Semasa di Universiti Oxford, pelajarannya begitu tersusun dan luas. Di sana, mereka mementingkan bacaan awal atau pre-reading.
“Bahan bacaan yang banyak juga disediakan untuk memastikan kita mempunyai pemahaman asas tentang pelajaran yang akan disampaikan.”
Menurut bekas pelajar Madrasah Alsagoff Al-Arabiah itu, kaedah mengajar dan pembelajaran di Universiti Oxford dan Insead berbeza berbanding di Universiti Al-Azhar.
Jika di Universiti Oxford dan Insead, para pensyarah akan memanfaatkan waktu kuliah untuk mengikuti secara rapat perkembangan pelajar di samping membimbing mereka dalam pembelajaran.
Berbeza halnya di Universiti Al-Azhar, Cik Zahra lebih terpandu untuk melakukan pembelajaran yang lebih kendiri dengan bahan dan kuliah yang sedia ada.
“Di Al-Azhar, mereka lebih melatih kita untuk mengambil inisiatif dan berusaha sendiri dalam menguasai pelajaran.
“Jadi, lazimnya, usai kelas, saya akan menghampiri beberapa guru atau masyaikh untuk bertanyakan beberapa soalan dan demi mendapatkan bimbingan lebih rapat,” jelas beliau.
Justeru, Cik Zahra bersyukur atas pengalaman pembelajaran yang berbeza dari pelbagai institusi di serata dunia.
Selain memantapkan penguasaan pengajian Islam, beliau turut mempunyai minat yang besar terhadap bidang pengajian yang lebih kontemporari seperti psikologi Islam.
Malah, beliau mengambil inisiatif sendiri untuk menyertai kursus dan seminar di Singapura yang berkisar tentang kaitan bidang psikologi dan Islam.
Cik Zahra berharap satu hari nanti, beliau dapat menyumbang kepada sektor Islam di Singapura melalui bidang psikologi Islam, menjadikan masyarakat lebih peka akan kaitan kesihatan mental dan agama Islam.
“
“Pelajar di Eropah lebih berani bersuara. Budaya mereka lebih berterus terang dan tidak akan menapis percakapan mereka... Pada awalnya, saya agak terperanjat dan tidak biasa dengan kelantangan dan sikap terus terang mereka. Namun, saya mula faham dan menyedari itu merupakan budaya mereka dalam berinteraksi.”

