Topic followed successfully
Go to BHkuPenerima Anugerah Guru Pendidikan Khas Harapan gigih selami jiwa anak autisme
Penerima Anugerah Guru Pendidikan Khas Harapan gigih selami jiwa anak autisme
Pendekatan unik lengkapi pelajar dengan kemahiran praktikal bagi hadapi perubahan
Penerima Anugerah Guru Pendidikan Khas Harapan gigih selami jiwa anak autisme
Payung biru yang kelihatan biasa mungkin tidak membawa makna besar bagi kebanyakan orang, namun bagi seorang kanak-kanak yang mengalami spektrum autisme, ia boleh menjadi sumber ketenangan ketika berdepan dengan ketidakpastian.
Detik-detik sebegini menjadikan tugas guru Sekolah Autisme St Andrew’s, Cik Nursyafiqah Mohamed, 34 tahun, lebih bermakna apabila beliau dapat membimbing pelajar istimewanya dalam mengurus kebimbangan serta melengkapi mereka dengan kemahiran praktikal bagi menghadapi perubahan.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), beliau berkongsi pendekatan yang diambil dalam memperjelas keadaan seharian yang dapat dipecahkan menjadi langkah mudah yang boleh diajar, bermula dengan dirinya menunjukkan contoh tingkah laku yang boleh diteladani.
Ini disusuli dengan bimbingan bersama pelajar, sebelum dirinya memberi ruang kepada anak-anak didik ini agar dapat berlatih secara berdikari.
Dalam contoh payung tadi, seorang pelajar diajar agar mengaitkannya bukan sekadar dengan hujan, tetapi sebagai alat yang boleh menyuntik rasa selamat tatkala mereka berasa cemas dengan perubahan cuaca.
Justeru, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya mendidik pelajar berkeperluan khas tahap sederhana hingga teruk, Cik Nursyafiqah telah disampaikan dengan Anugerah Guru Pendidikan Khas Harapan Kementerian Pendidikan SG-Enable (PSTA) 2025, dalam satu majlis tertutup di Hotel Grand Copthorne Waterfront pada 14 April.
Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, telah menyampaikan anugerah tersebut yang mengiktiraf guru pendidikan khas yang berpotensi menjadi pemimpin dan mentor inspirasi.
Cik Nursyafiqah merupakan antara dua guru yang dipilih daripada 179 pencalonan oleh rakan sekerja, ibu bapa, pelajar dan orang awam.
Di dalam beliau rasa dihargai, dirinya turut berharap pengiktirafan ini juga menyuntik rasa bangga dalam kalangan guru pendidikan khas lain.
“Walaupun anugerah ini mengiktiraf usaha saya, dalam sektor ini, kami tidak dapat melaksanakan tugas sebaik mungkin tanpa kerjasama utuh sesama guru lain,” katanya.
Dengan pengalaman selama sedekad, beliau mengakui cabaran komunikasi masih wujud, memandangkan pelajar berkeperluan khas mempunyai cara komunikasi berbeza.
“Kita perlu melihat di sebalik tingkah laku seseorang. Seorang kanak-kanak mungkin mengetuk meja dan dianggap agresif, tetapi sebenarnya mungkin ia boleh bermaksud ‘saya lapar’, ‘datang sini’ atau ‘saya perlukan bantuan’,” tambahnya.
Guru pendidikan khas juga bekerjasama rapat dengan ahli terapi pertuturan dan bahasa untuk mengenal pasti pendekatan terbaik membantu pelajar.
Sebagai guru kanan, beliau turut membimbing guru lain dengan menyediakan pedagogi serta rangka kerja pengajaran. Antaranya termasuk pendekatan ‘I do, We do, You do’ – di mana guru terlebih dahulu menunjukkan contoh, diikuti latihan bersama, sebelum pelajar mencuba sendiri.
Pendekatan itu turut melibatkan proses refleksi berterusan bagi menilai keberkesanan pengajaran dan menambah baik proses pembelajaran seterusnya.
Menurut beliau, pendidikan di sekolah pendidikan khas bersifat holistik dan disesuaikan dengan keperluan individu setiap pelajar.
“Walaupun kami mengajar bahan yang sama, kami mungkin menyesuaikannya dengan bantuan visual untuk pelajar yang memerlukan,” katanya, yang mesra dipanggil ‘Teacher Fiqah’ oleh pelajarnya.
Di sebalik tuntutan kerja, ibu dua anak itu berusaha memastikan beliau dapat mengimbangi masa sebaiknya untuk kesejahteraan dirinya.
“Saya ambil langkah demi langkah dan jalani hari demi hari. Ini membantu saya mengurus kerja dan tidak membawa apa jua bebanannya pulang.
“Masa bersama keluarga adalah waktu untuk saya pulih secara mental dan fizikal sebelum kembali ke sekolah dengan takrifan pemikiran baharu,” ujarnya.

