Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Malaysia’ boleh! Datuk dua cucu raih diploma ke-9
‘Malaysia’ boleh! Datuk dua cucu raih diploma ke-9
Eksekutif kemudahan kanan gigih tingkat kemahiran kerja seiring perkembangan teknologi
‘Malaysia’ boleh! Datuk dua cucu raih diploma ke-9
Meniti laluan berbeza dalam mengejar ilmu dan kerjaya, tiga lulusan diploma Politeknik Singapura (SP) membuktikan pembelajaran tidak mengenal usia, laluan mahupun batas pengalaman. Pada majlis tamat pengajian ke-66 SP dari 4 hingga 8 Mei lalu, pencapaian 5,604 lulusan Latihan Prapekerjaan (PET) serta Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET) diraikan. Berita Harian (BH) mengetengahkan kisah inspirasi mereka.
Bagi kebanyakan individu dalam lingkungan usia 60-an tahun, fasa ini lazimnya menjadi waktu untuk memperlahankan rentak kehidupan, menikmati persaraan dan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
Namun, bagi Encik Mohamad Malaysia Kassim, 63 tahun, beliau mengikuti program Diploma Lanjutan Kejuruteraan Sistem Kuasa di Politeknik Singapura (SP) pada 2025.
Lebih menarik lagi, ini merupakan diploma politekniknya yang kesembilan.
Sepanjang tempoh beliau bekerja di syarikat pengedar peralatan mesin dan enjin terkemuka, Tractors Singapore Limited (TSL), eksekutif kemudahan kanan itu giat meneruskan pembelajaran dalam pelbagai bidang.
Ia termasuk pengurusan kemudahan, pengurusan rantaian bekalan, dan kejuruteraan fotovoltan solar – teknologi yang menukar tenaga cahaya matahari secara langsung kepada tenaga elektrik.
Di samping itu, jawatannya turut berkembang dari seorang juruelektrik kepada eksekutif kemudahan kanan, setelah lebih 26 tahun berkhidmat dengan syarikat tersebut.
Encik Mohamad Malaysia merupakan antara 1,516 lulusan Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET), daripada keseluruhan 5,604 lulusan, sempena Majlis Penyampaian Diploma SP yang ke-66, dari 4 hingga 8 Mei lalu.
Daripada jumlah keseluruhan lulusan tersebut, SP turut meraikan pencapaian 4,088 lulusan Latihan Prapekerjaan (PET) dalam acara tamat pengajian itu.
Encik Mohamad Malaysia, bapa lima anak, berjaya meraih Gred Purata Mata (GPA) 3.23.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH) menerusi Zoom, Encik Mohamad Malaysia, berkongsi usaha meningkatkan kemahiran secara berterusan itu penting, bagi memastikan beliau dapat menyesuaikan diri dengan teknologi baharu.
Dengan itu, beliau juga dapat kekal relevan dalam tenaga kerja seiring peningkatan usia.
“Semakin usia meningkat, kita perlu memastikan diri terus relevan dalam persekitaran kerja sekarang.
“Tanpa pendidikan dan peningkatan kemahiran, saya rasa sukar menyesuaikan diri dengan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) serta perubahan dunia pekerjaan hari ini.
“Jika anda lihat, tenaga kerja hari ini datang daripada pelbagai pelosok dunia, dengan tahap pengetahuan dan kemahiran teknologi yang berbeza-beza,” ujarnya, yang juga datuk dua cucu.
Antara contoh paling ketara dalam perjalanannya memburu ilmu adalah keupayaannya menyesuaikan diri dengan perkembangan terkini, apabila syarikat tempat beliau bertugas mula meneroka pemasangan panel suria.
Encik Mohamad Malaysia menyedari terdapat jurang pengetahuan dalam aspek teknologi tersebut di tempat kerja.
Dari situ, beliau mengambil keputusan mengikuti kursus Diploma Pakar dalam Kejuruteraan dan Pemantauan Fotovoltan Solar di Politeknik Ngee Ann (NP) selama setahun pada 2022.
Ia merupakan diploma politekniknya yang ketujuh ketika itu.
Berbekal ilmu yang ada, beliau dapat memberi nasihat kepada syarikat mengenai pendekatan yang boleh digunakan dalam pemasangan panel suria.
“Semua inisiatif yang perlu untuk saya tingkatkan pengetahuan dalam bidang tertentu datang daripada tempat kerja saya.
“Apabila kita belajar dan mengikuti perkembangan semasa, kita boleh berbincang tentang teknologi terkini (dengan lebih yakin).
“Meskipun ada yang lihat saya sudah mencecah usia 60-an tahun, lantas meragui kebolehan saya, mereka terkejut apabila mereka mendapat tahu saya sebenarnya lebih mengikuti perkembangan terkini, berbanding sebahagian orang muda,” ujar beliau.
Dalam mencari keseimbangan masa antara kerja, pelajaran dengan keluarga, sokongan daripada pihak majikan turut memainkan peranan penting dalam membolehkannya terus melanjutkan pengajian sepanjang kerjaya.
Ini termasuk dalam bentuk penajaan kursus, diberi kebenaran cuti untuk menduduki peperiksaan, serta galakan dan kata-kata positif daripada pihak pengurusan dan sumber manusia (HR) setiap kali beliau menamatkan kursus pengajian.
Di samping itu, Encik Mohamad Malaysia menghargai sokongan isterinya, Cik Hawa Bee Mohd Kassim, 63 tahun, yang banyak membantu di rumah ketika beliau memberi tumpuan kepada kerja dan pengajiannya.
“Orang selalu kata di sebalik kejayaan seorang lelaki ada seorang wanita yang kuat, dan bagi saya wanita itu ialah isteri saya.
“Ketika saya sibuk dengan kerja dan pengajian, beliau yang menguruskan hal ehwal rumah dan anak-anak.
“Ia agak mencabar, tetapi saya bersyukur kerana isteri saya seorang yang amat memahami,” jelasnya.
Apabila ditanya tentang rancangan menggenggam diploma politekniknya yang ke-10, Encik Mohamad Malaysia berkata beliau mungkin akan menangguhkan sementara hasrat tersebut.
“Anak-anak saya akan melangsungkan majlis perkahwinan tahun ini (2026) dan tahun depan (2027).
“Jadi, saya mungkin perlu berehat seketika untuk uruskan persiapan perkahwinan mereka,” katanya sambil tersenyum.
“
“Semakin usia meningkat, kita perlu memastikan diri terus relevan dalam persekitaran kerja sekarang. Tanpa pendidikan dan peningkatan kemahiran, saya rasa sukar menyesuaikan diri dengan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) serta perubahan dunia pekerjaan hari ini. Jika anda lihat, tenaga kerja hari ini datang daripada pelbagai pelosok dunia, dengan tahap pengetahuan dan kemahiran teknologi yang berbeza-beza.”