Topic followed successfully
Go to BHkuLebih banyak prasekolah tawar bahasa ibunda, minat mengajar bertambah
Lebih banyak prasekolah tawar bahasa ibunda, minat mengajar bertambah
Lebih banyak prasekolah tawar bahasa ibunda, minat mengajar bertambah
Lebih banyak prasekolah kini menawarkan ketiga-tiga bahasa ibunda, iaitu Melayu, Cina dan Tamil, selari dengan usaha melatih lebih ramai guru khusus dalam memperkukuh keupayaan dwibahasa pada usia awal.
Sehingga Mac 2026, sebanyak 270 prasekolah menawarkan ketiga-tiga bahasa, meningkat daripada 160 pada 2021, menurut jurucakap Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda).
Lagi 270 pusat lain menawarkan dua bahasa, manakala selebihnya satu bahasa.
Hampir semua daripada 1,800 prasekolah berlesen Ecda dan tadika Kementerian Pendidikan (MOE) kini menawarkan sekurang-kurangnya satu bahasa ibunda.
Terdapat 18,500 pendidik bahasa ibunda dalam pendidikan awal kanak-kanak, dengan 80 peratus daripadanya warga Singapura dan penduduk tetap, kadar yang kekal kukuh sejak 2021, lapor akhbar The Straits Times.
Saluran bakat ini dijangka berkembang melalui kursus di politeknik, dengan kumpulan pertama pelajar menamatkan pengajian pada April 2026.
Minat terhadap pengkhususan bahasa ibunda turut meningkat, dengan Politeknik Ngee Ann (NP) dan Politeknik Temasek (TP) menambah kelas sejak kohort pertama pada April 2025.
Laluan bahasa ibunda – Bahasa Cina atau Tamil di Ngee Ann, dan Bahasa Melayu di Temasek – ditawarkan kepada pelajar tahun akhir Diploma Pembangunan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, yang diperkenalkan oleh Institut Pendidikan Awal Kanak-kanak (NIEC) pada 2019.
Menurut NIEC, kemasukan pelajar bagi laluan Bahasa Melayu dan Bahasa Cina dijangka melebihi kohort perintis.
Laluan Bahasa Melayu bertambah kepada dua kelas dengan purata 25 hingga 30 pelajar setiap satu, manakala laluan Tamil kekal kecil kerana pendaftaran turut melibatkan diploma khusus.
Pengkhususan lain dalam pendidikan awal kanak-kanak di kedua-dua politeknik termasuk seni visual dan intervensi awal.
Program bahasa ibunda mendapat permintaan tinggi daripada pelajar yang ingin meningkatkan penguasaan bahasa dan kemahiran mengajar.
“Keperluan terhadap lebih ramai pendidik bahasa ibunda terlatih semakin meningkat,” kata seorang jurucakap NIEC.
Guru semasa boleh meningkatkan kemahiran melalui pelbagai sijil dan kelayakan.
Sebagai contoh, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) menawarkan program Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Program Pendidikan Bahasa Cina.
Cik Dinah Syaqilah, pelajar tahun terakhir di TP, berkata beliau terdorong menjadi guru bahasa Melayu untuk memupuk minat kanak-kanak terhadap warisan mereka.
Beliau mendapati semakin kurang belia Melayu bertutur bahasa itu dengan fasih seperti dahulu.
“Ini mendorong saya menghubungkan kanak-kanak dengan asal usul mereka serta membantu membina jati diri yang lebih kukuh,” katanya.
Kurikulumnya memperkukuh kefasihan dan kemahiran mengajar fonik, serta mendedahkan budaya melalui aktiviti praktikal seperti makanan dan permainan tradisional.
“Kaedah ini membuatkan saya berfikir lebih kreatif tentang cara mengajar secara bermakna dan menarik,” katanya.
Semangat sama turut mendorong pelajar lain seperti Cik Lee Tong dalam laluan Bahasa Cina dan Cik Purveeka Durai dalam laluan Tamil di NP.
Bagi Cik Purveeka, 23, pengajaran Bahasa Tamil ialah usaha merapatkan jurang budaya dan mengatasi kekurangan guru.
Walaupun kelasnya kecil, mereka berkongsi matlamat menghidupkan semula bahasa tersebut.
“Saya percaya yang penting ialah memupuk minat terlebih dahulu,” katanya.
Cik Lee menggunakan pembelajaran berasaskan permainan semasa latihan industri untuk menarik minat kanak-kanak terhadap Bahasa Cina, dan mendapati pendekatan berasaskan pergerakan meningkatkan penerimaan pelajar.
Beliau merancang memulakan kerjaya sebagai guru Bahasa Inggeris sebelum kembali mengajar Bahasa Cina.
Menurut Cik Dinah, bahasa ibunda tidak wajar dipinggirkan kerana ia penting dalam membentuk jati diri serta memahami asal-usul dan warisan.

