Pemerintah tiada rancangan meluaskan skim Saham Diskaun Khas (SDS) Singtel, kata Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash, di Parlimen pada 7 Mei.

Ini memandangkan rakyat Singapura kini sudah biasa dengan pemilikan saham dan tidak lagi memerlukan titik permulaan sedemikian.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) sewaktu Perbahasan Rang Undang-Undang Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) (Pindaan) pada hari yang sama ia diluluskan.

Para AP ingin tahu sama ada peluang serupa akan diwujudkan bagi golongan lebih muda.

Skim SDS, yang diperkenal pada 1993, adalah inisiatif legasi bagi membolehkan rakyat Singapura berkongsi kejayaan ekonomi negara melalui pemilikan saham.

Dengan pindaan rang undang-undang itu, SDS Singtel yang kini dipegang sebagai amanah oleh CPF, akan dipindahkan terus ke akaun Depositori Pusat (CDP) individu pelabur pada November 2026.

Berkongsi butiran lanjut, Encik Dinesh berkata skim tersebut telah berjaya mencapai matlamatnya.

“Hari ini, tiga daripada lima pemegang SDS mempunyai akaun CDP. Justeru, keperluan untuk skim serupa yang berfungsi sebagai titik permulaan pemilikan saham kian berkurangan,” katanya.

Menurut beliau, ketika SDS dimulakan pada 1993, ramai pencarum CPF belum biasa dengan pemilikan saham.

Oleh itu, bagi menyokong mereka, Lembaga CPF dilantik sebagai pemegang amanah untuk memudahkan pembelian saham.

Pencarum CPF diberi pilihan membeli SDS menggunakan simpanan CPF mereka semasa dua fasa, iaitu pada 1993 dan 1996.

Namun, kerana skim itu telah memenuhi sasarannya, dan peranan Lembaga CPF sebagai pemegang amanah untuk menyokong pemilikan saham tidak lagi diperlukan, pemerintah menyokong pemindahan yang disarankan ini.

Melalui pindaan itu, kira-kira 615,000 pemegang SDS di Singapura hari ini akan mendapat kawalan langsung ke atas saham mereka, termasuk akses kepada wang tunai jika mereka memilih untuk menjualnya.

Encik Dinesh turut menjelaskan pilihan yang tersedia bagi pemegang SDS buat masa ini.

Bagi mereka yang mahu mengekalkan saham itu, tiada tindakan perlu diambil.

Saham akan disatukan secara automatik ke dalam akaun CDP bagi yang sudah memilikinya, atau akaun CDP baharu akan dibuka jika belum ada.

Dividen akan terus dimasukkan ke dalam Akaun Biasa (OA) CPF mereka.

Pemindahan itu dijadual pada November kelak, kata Encik Dinesh.

Sementara itu, bagi yang ingin menjual saham mereka sebelum November, mereka boleh memilih untuk menerima hasil jualan itu sama ada ke dalam akaun OA CPF atau secara tunai.

Beliau mendedahkan bahawa sehingga akhir April, sekitar 83,000 pemegang SDS, atau 13 peratus, telah menjual saham mereka.

Menariknya, sembilan daripada 10 orang memilih untuk menerima hasil jualan secara tunai.

Bagi yang belum membuat keputusan, mereka masih ada pilihan untuk menjual pada bila-bila masa akan datang, termasuk selepas urusan pemindahan selesai, ujar Encik Dinesh.

Beliau menambah: “Pemegang SDS mempunyai fleksibiliti untuk memutuskan bila mereka mahu menjual, malah boleh menjualnya selepas pemindahan tersebut.

“Mereka yang menjual SDS yang disimpan dalam akaun CDP khas masih akan dapat mengeluarkan hasil jualan secara tunai tanpa tertakluk kepada syarat pengeluaran CPF.”

Lapan AP berkongsi pandangan mereka semasa perbahasan rang undang-undang itu di Parlimen pada 7 Mei.

Beberapa AP menggesa perlindungan lebih teguh bagi kalangan warga emas dan golongan rentan dari segi kewangan.

Walaupun langkah itu bertujuan memberikan lebih autonomi kepada pemegang saham, mereka menyuarakan kebimbangan mengenai risiko penipuan dan potensi terhakisnya simpanan persaraan.

Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) bertanya mengenai langkah keselamatan yang disediakan untuk melindungi pemegang saham, terutama warga emas, semasa tempoh peralihan.

Menjawab mengenai potensi penipuan, Encik Dinesh menjelaskan, kedua-dua pihak Singtel dan Lembaga CPF telah menyertakan nasihat penipuan yang jelas dalam semua komunikasi kepada pemegang SDS.

“Pemegang SDS diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan hanya merujuk kepada komunikasi serta pusat perhubungan rasmi,” kata Encik Dinesh, sambil menambah bahawa mereka boleh menghubungi talian bantuan penipuan pada bila-bila masa sahaja jika ragu.

“Kami sedang memantau rapat keadaan pascapelaksanaan ini,” tambah beliau.

Setakat ini, Encik Dinesh menambah, proses berjalan lancar tanpa sebarang aduan mengenai penduduk yang ditipu.

Sementara itu, Encik Dinesh menjelaskan bahawa pemerintah telah mengenal pasti lebih 20,000 pemegang SDS yang berkemungkinan memerlukan lebih banyak bantuan.

Beliau berkata pemerintah menyediakan pelbagai saluran bantuan fizikal, termasuk lebih 30 cawangan SingPost dan lima pusat perkhidmatan CPF.

Ini berserta jangkauan pintu ke pintu melalui kerjasama dengan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) bagi memastikan pemegang SDS yang tidak mahir digital atau mempunyai masalah pergerakan dapat menguruskan saham mereka dengan lancar.