Topic followed successfully
Go to BHkuS’pura perlu nilai semula sistem dengan masyarakat kian panjang umur
S’pura perlu nilai semula sistem dengan masyarakat kian panjang umur
Indranee: Perlu sedia bukan sahaja untuk penduduk menua, malah dengan semakan semula sistem sokongan, masyarakat
S’pura perlu nilai semula sistem dengan masyarakat kian panjang umur
Dengan semakin ramai mencapai usia lebih panjang, bahkan melebihi 100 tahun, Singapura perlu meneliti semula cara ia mengatur dunia kerja, masyarakat dan sistem sokongan.
Ini penting untuk membantu setiap individu mengharungi pelbagai perubahan fasa hidup, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, pada 14 April.
Idea segar perlu diwujudkan tatkala Singapura membentuk semula masyarakat agar warganya terus aktif, bersemangat dan saling berhubung sepanjang hayat yang panjang, tambah beliau.
“Kita harus bersedia untuk sebuah masyarakat dengan jangka hayat panjang, bukan sekadar penduduk yang menua,” tegas Cik Indranee yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara).
“Ini bermakna model tradisional tiga peringkat – iaitu pendidikan, kerja dan persaraan – mungkin tidak lagi relevan.
“Sebaliknya, kehidupan akan melibatkan pelbagai fasa yang silih berganti: belajar, bekerja, menjaga orang tersayang dan menyumbang kembali kepada masyarakat.”
Sebagai contoh, seseorang mungkin mengundur diri sebentar daripada pekerjaan untuk menjaga anak kecil atau ibu bapa yang uzur, sebelum kembali semula ke arena tenaga kerja.
Cik Indranee berkata demikian di Pesta Penuaan Dunia semasa melancarkan Institut Masyarakat dan Ekonomi Berjangka Hayat Panjang (LSEI) di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).
Institut itu menumpukan kajian penuaan dari sudut ekonomi dan sosial, dengan matlamat menterjemahkan penyelidikan seperti perubahan tenaga kerja, sistem persaraan dan keselamatan kewangan.
Semua itu bertujuan membantu Singapura meraih manfaat sepenuhnya daripada peluang yang ditawarkan dengan jangka hayat yang semakin panjang.
Singapura telah bersiap siaga menghadapi masyarakat yang menua, namun, lebih banyak perlu diusahakan seiring perubahan demografi.
Kini, sekitar 1,800 individu berusia 100 tahun ke atas berada di sini, melonjak daripada 700 pada 2010.
Sekitar seorang daripada lima warga berusia 65 tahun ke atas; dan menjelang 2030, nisbahnya menjadi seorang daripada empat.
Dalam 15 tahun, seorang daripada tiga warga emas akan mencecah 80 tahun ke atas.
Di SMU, Pusat Penyelidikan Penuaan Berjaya (Rosa) telah mengkaji kunci menua dengan baik.
Pusat itu akan terus meneliti bagaimana masyarakat perlu berevolusi apabila manusia hidup lebih lama.
Ia termasuk mengalihkan tumpuan daripada penuaan sebagai fasa hidup kepada jangka hayat panjang sebagai anjakan struktur yang membentuk semula masyarakat secara mendalam, lantas membuka peluang kepada semua, kata Cik Indranee.
Penyelidikan mendedahkan bahawa lelaki dan wanita lebih aktif secara sosial selepas bersara, namun, lelaki yang bersara lebih berisiko kehilangan rasa sumbangan bermakna.
“Penemuan ini mengemukakan peluang ke arah penggubalan dasar dan masyarakat yang disasarkan,” katanya.
Apabila institut itu melebarkan sayap, terdapat ruang untuk meneroka model perniagaan dan pembiayaan baru, memperkukuh rangka kerja kawal selia, serta menangani isu tadbir urus seperti privasi, keselamatan siber dan penerimaan masyarakat, tambah beliau.
LSEI bekerjasama dengan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Tenaga Kerja Singapura (WSG), Lions Befrienders, St Luke’s Eldercare dan SingLife untuk penyelidikan bersama.
Meskipun Singapura sebelum ini lebih memberi tumpuan kepada golongan muda, peningkatan jangka hayat dan kadar kelahiran rendah kini pesat mengubah penawaran tenaga kerja, permintaan penjagaan kesihatan, perancangan persaraan, serta rangka kerja sokongan masyarakat.
Pengarah Rosa yang juga dan Pengarah Bersama Sementara LSEI, Profesor Paulin Straughan, berkata Singapura berhadapan persoalan bagaimana memanfaatkan peluang jangka hayat panjang itu, terutama apabila semakin ramai warga emas menua dengan baik.
“Kita tidak mahu mereka dipinggirkan. Masyarakat perlu berubah untuk menerima individu berkemampuan ini agar mereka dapat terus menjalani hidup yang bermakna dan produktif selama 15 hingga 20 tahun lagi,” katanya.
“Tiada gunanya berkata ‘Saya berumur 65 tahun, sihat dan bersedia melakukan yang terbaik’ jika tiada peluang kerana laluan belum tersedia.”
Singapura perlu mengubah proses, mencetus peluang baru dan tidak lagi bergantung pada pendekatan usang, tambah beliau.
Pesta Penuaan Dunia diadakan pada 14 dan 15 April di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands.
“
“Kita harus bersedia untuk sebuah masyarakat dengan jangka hayat panjang, bukan sekadar penduduk yang menua. ... Kehidupan akan melibatkan pelbagai fasa yang silih berganti: belajar, bekerja, menjaga orang tersayang dan menyumbang kembali kepada masyarakat.”
